BALING – Lebih setahun peristiwa bencana kepala air Kampung Bukit Iboi, di sini berlaku dan merosakkan tanaman serta tanah pertanian penduduk kampung, namun tiada pihak bertanggungjawab yang tampil membantu.
Ketua Unit Peladang, Abdul Wahab Samah, 71, berkata, lebih 120 relong (kira-kira 35 hektar) tanah sawah tidak dapat diusahakan 18 peserta akibat mendapan tanah lumpur yang dihanyutkan arus sungai hingga menenggelamkan petak-petak sawah.
“Masalah petak sawah yang ditenggelami tanah merah ini sejak 2019 apabila air Sungai Iboi mulai keruh akibat projek tanaman musang king dan projek lain di Gunung Inas.
“Sebelum itu, air sungai yang masuk ke petak sawah adalah jernih dan sedikit keruh apabila hujan. Apabila berlaku beberapa projek tarahan bukit di Gunung Inas, air sungai mulai keruh, berlumpur memasuki petak sawah, ia akan merosakkan tanaman padi,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Ujarnya, 18 peserta yang sama-sama mengerjakan sawah itu mengalami kerugian dan sejak itu mereka tidak lagi menanam padi menyebabkan tanah sawah terbiar itu dipenuhi semak samun.
“Ramai peserta termasuk saya beralih ke tanaman lain seperti pisang, jagung dan sebagainya untuk mencari rezeki.
“Sebelum kejadian banjir, tanaman jagung dan pisang di tanah sawah seluas 30 relong (kira-kira lapan hektar) memberi hasil sehingga RM20,000 dalam tempoh enam bulan
Kata Abdul Wahab, namun malangnya keseluruhan tanaman itu musnah sama sekali akibat banjir kepala air yang berlaku setahun lalu.
“Lebih setahun kami hilang pendapatan daripada pertanian, kami memerlukan bantuan daripada agensi-agensi kerajaan untuk bangkit semula kerana kami bukanlah orang berduit.
“Sehingga kini, ada juga beberapa kali mereka datang untuk melihat dan ada juga yang berjanji untuk membantu, tetapi sehingga sekarang tiada apa-apa yang kami terima.
“Semuanya sepi seribu bahasa sehinggakan kami sudah serik dan tidak mahu berharap lagi kerana kecewa,” katanya.

Katanya, turut dirosakkan bencana kepala air itu termasuk pagar keselamatan, alatan pam air dan pagar elektrik turut dihanyutkan.
Sementara itu, Muhamad Kamal Taha, 37, berkata, tanaman getahnya musnah hampir keseluruhannya akibat ditenggelamkan banjir kepala air dan meninggalkan sisa pasir dan lumpur apabila surut.
“Puncanya kebun getah saya ini hanya berjarak 100 meter dengan Kuala Sungai BokBak dengan Sungai Iboi, ketika bencana itu, air sungai yang keruh telah masuk ke kawasan kebun dan meninggalkan lumpur yang tebal menyebabkan akar pokok getah rosak dan masam.
“Hampir semua pokok-pokok getah yang berusia lapan tahun itu rosak dan tidak boleh ditoreh lagi, yang tinggal hanya beberapa pokok yang ditanam agak tinggi sikit di kawasan bukit,” katanya.
Katanya, mereka juga tidak menerima bantuan daripada mana-mana pihak, malah borang yang telah diisi sehingga ke hari ini masih tiada apa-apa jawapan.
Sebelum bencana kepala air itu, bapanya, Taha Lahman, 78, dapat juga hasil torehan kira-kira RM1,500 sebulan, tetapi sejak ditenggelami air sehingga kini mereka terputus pendapatan.
“Kami perlu tanam semula pokok-pokok getah itu dan bina semula sistem perparitan, ia akan mengambil masa panjang dan juga kos yang tinggi.”
“Kami berharap pihak berwajib atau mana-mana agensi kerajaan yang terlibat dapat membantu kami untuk menanam semula tanaman getah ini agar tanahnya tidak terbiar begitu sahaja,” katanya. -KOSMO! ONLINE














