KETIKA di usia enam tahun, pemuda itu sudah tertarik dengan permainan yo-yo Cina yang dimainkan oleh abangnya selepas pulang dari sekolah.
Seperti kanak-kanak lain yang berminat dengan segala bentuk mainan, Teo Kai Shan, 13, tidak berfikir dua kali untuk mencuba permainan tradisional masyarakat Cina itu apabila dipelawa oleh abangnya.
Sejak itu, bermain yo-yo Cina atau dikenali sebagai diabolo sudah menjadi hobi masa lapang dan aktiviti selepas sekolah bersama rakan-rakan.
“Awalnya ia sekadar suka-suka, namun selepas melihat abang menyertai kumpulan pemain yo-yo Cina di sekolah, saya juga ikut sama dan berlatih dengan kawan-kawan.
“Tidak hanya itu, kami juga berlatih untuk menyertai pertandingan diabolo serta buat persembahan sekiranya terdapat jemputan,” katanya ketika ditemui di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tshing Nian, Klang, Selangor baru-baru ini.
Tambah anak bongsu daripada dua beradik itu, hasil bermain yo-yo Cina, dia menjadi lebih akrab dengan abangnya kerana mereka sering berlatih bersama.
Yo-yo Cina atau diabolo merupakan mainan dari China yang terdiri daripada dua cakera sama saiz disambungkan dengan gandar panjang.
Berbeza dengan yo-yo biasa, bermain diabolo memerlukan penggunaan kedua-dua tangan dengan melakukan satu gerakan seli mengangkat dan menjatuhkan cakera (yo-yo).
Yo-yo digerakkan menggunakan dua batang ‘tongkat’ yang diikat tali bagi membolehkannya berputar.
Pemain akan memegang hujung kedua-dua tongkat dan mengimbangi yo-yo daripada jatuh.
Permainan tersebut boleh dimainkan dengan pelbagai gaya termasuk melontar yo-yo ke udara atau melambung di sekitar pemain.
Pembuatan yo-yo Cina secara tradisional dibuat daripada buluh, sekali gus menjadikannya mudah patah dan tidak sesuai untuk aksi lasak.
Sesetengah yo-yo Cina dimasukkan alat yang menghasilkan bunyi apabila dipusingkan dengan laju.
Bunyi itu membolehkan pemainnya mengimbangi kelajuan yo-yo. Bagaimanapun, yo-yo Cina sekarang diperbuat daripada plastik untuk menambah daya tahan.
Manakala, ‘tongkat’ masih menggunakan kayu keras sebagai bahan utama kerana lebih murah dan sesuai buat mereka yang baru belajar bermain.

Berkongsi tentang diabolo, jurulatih dan Presiden Persatuan Diabolo Kuala Lumpur, Tay Keng Sin, 40, memberitahu, permainan itu dipercayai telah wujud sejak 800 tahun lalu dan dimainkan di China dan Taiwan.
Pada zaman moden, ia digunakan sebagai mainan kanak-kanak dan alat persembahan di sarkas serta tarian Cina.
“Di Malaysia, permainan ini mula menapak sejak tahun 1995 selepas mendiang jurulatih, Feng Ya Ping tertarik dan mempelajari cara bermain yo-yo Cina semasa belajar di Taiwan.
“Setahun kemudian, dia mula mengajar cara bermain yo-yo Cina kepada warga tempatan di Kuala Lumpur dan saya merupakan salah seorang yang terawal mempelajarinya,” katanya yang juga
Timbalan Presiden Persekutuan Diabolo Antarabangsa.
Katanya lagi, gurunya itu sempat mengajar selama dua tahun sebelum menghembuskan nafas terakhir pada tahun 1998.
Melihat kepada nilai tradisi dan keunikan permainan yo-yo Cina terutama kepada bangsa Cina, Keng Sin seterusnya mengasah lagi bakatnya dengan mendalami seni permainan tradisional itu.
Kemudian, dia mengajarnya kepada generasi baharu dan menubuhkan Zone D Studio pada tahun 2000.
Zone D Studio merupakan persatuan yang mengajar diabolo untuk persembahan pentas dan membawa nama Malaysia ke pertandingan antarabangsa.
Sehingga hari ini, pasukan di bawah bimbingan Keng Sin dan beberapa rakan jurulatih lain itu aktif membuat persembahan sempena perayaan, acara korporat dan lain-lain.
Tidak hanya itu, mereka juga berjaya mengharumkan nama negara dengan menjuarai pertandingan kategori persembahan pasukan pada Pertandingan Diabolo Antarabangsa di Taiwan pada tahun 2007.
Jelasnya lagi, yo-yo Cina juga berjaya menarik ramai anak muda untuk belajar dan mahir dengan permainan tersebut.
Kata bapa kepada seorang cahaya mata itu, rata-rata pelajarnya berusia antara enam hingga 40 tahun dan ada di antara mereka yang masih meneruskan pembelajaran bagi memantapkan lagi kemahiran.
“Di Lembah Klang sahaja kami mempunyai antara 1,000 hingga 2,000 pelajar, manakala di seluruh negara kira-kira 5,000 orang.
“Mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang.
“Yo-yo Cina ini mempunyai tarikan dan keunikan tersendiri.
“Menariknya, ia tidak mempunyai had dalam mempelajari kemahirannya.
“Hal ini kerana setiap hari pasti ada teknik baharu yang dicipta dan menjadi ikutan pemain,” kongsinya.
Tambahnya, pemain tidak akan jemu untuk terus bermain kerana ia berawal daripada 10 kemahiran asas, sebelum berkembang kepada lebih banyak teknik dengan tahap kesukaran lebih tinggi.
Hal itu turut diakui oleh dua pemain senior dan jurulatih, Valentino Yeow, 30, dan Tiew Hui Xuan, 21, yang kini masih meneruskan minat mereka dalam seni permainan yo-yo Cina.
Kata Valentino, pemain di peringkat awal akan belajar cara mengendalikan satu yo-yo terlebih dahulu, sebelum ditambah kepada dua hingga lima mengikut kemampuan.
Saya sudah belajar bermain yo-yo Cina sejak umur enam tahun dan masih terus belajar serta mencipta teknik-teknik baharu.
“Kini, saya sedang belajar untuk mengendalikan lima yo-yo yang merupakan rekod terkini jumlah yo-yo yang dimainkan pada satu-satu satu masa,” ujarnya.
Sementara itu, Hui Xuan pula memberitahu bahawa dia belajar bermain yo-yo Cina sejak mula menyertai pasukan Zone D Studio ketika berada di sekolah rendah.
“Apabila bermain yo-yo Cina, saya sentiasa mencabar diri untuk memahir dengan teknik baharu setiap masa.
“Pada masa sama, ia mengajar saya untuk kekal fokus serta menerapkan sifat tidak putus asa.
“Ia bukan permainan yang membuang masa kerana yo-yo Cina dapat membentuk disiplin.
“Hal ini kerana, untuk mahir kita perlu sentiasa berlatih dan bertindak cerdas serta pantas semasa bermain,” jelasnya.














