fbpx
GAMBAR HIASAN

Peguam tetap fokus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sejak Oktober lalu, terdapat beberapa kes perbicaraan menarik yang menjadi tumpuan umum di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.

Antaranya ialah kes rasuah melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datin Seri Rosmah Mansor.

Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor yang dikuatkuasakan pada 14 Oktober lalu, ketiga-tiga kes itu terpaksa ditangguhkan.

Tiga kes itu adalah antara contoh terdekat apabila perbicaraan yang disifatkan ‘public interest’ itu terpaksa ditangguh selepas pengumuman PKPB. Sebenarnya banyak juga kes yang terpaksa ditangguh.

Sudah tentu ia menjadi satu cabaran kepada para peguam untuk mengendalikan kes di saat mereka sudah bersedia namun kes-kes mereka pula ditangguh. Namun situasi itu sesekali tidak membuatkan golongan profesional ini untuk hilang fokus.

Bagi peguam Muhammad Amin Abdullah, walaupun terpaksa mengharungi PKPB dan beberapa kesnya terpaksa ditunda, beliau tetap fokus.

‘Ini bahagian ‘kedua’ selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dengan menjadikan contoh apa yang telah saya lakukan sebelum ini, saya tetap fokus dengan kes-kes yang saya kendalikan.

“Saya akan menghubungi anak guam melalui telefon, e-mel dan panggilan video untuk memaklumkan perkembangan kes mereka dan sentiasa bersedia sekiranya berlaku sebarang perubahan,” katanya.

Muhammad Amin berkata, dia sentiasa bersedia dan membuat kajian berkenaan kes-kes yang dikendalikannya meskipun dibicarakan pada tahun hadapan.

Mengulas lanjut, Muhammad Amin berkata, dia tidak boleh berjumpa dengan anak guamnya di penjara sehingga PKPB tamat.

Sementara itu, bagi Peguam Syarie Mohd. Ridhwan Husin, walaupun tidak ke mahkamah, beliau tetap fokus dalam me­ngendalikan kes di Mahkamah Syariah.

Beliau berpendapat kecanggihan telekomunikasi membantunya untuk fokus kepada kes yang dikendalikan.

Katanya, walaupun begitu, beliau menganggap cara itu sukar kerana pada hakikatnya perlu bekerja dua kali ganda demi memastikan setiap fakta dan pe­nerangan yang diberikan kepada anak guamnya adalah tepat.

“Masalah yang timbul adalah berkaitan lokaliti yang mana mungkin ada anak guam saya yang tinggal di kawasan zon-zon merah menyebabkan kita tidak dapat berjumpa dengan mereka.

“Selain itu kesukaran tersebut berkaitan dengan dokumentasi apabila kita perlu fokus dan meneliti sebagai contoh tuntutan-tuntutan yang dibuat pasangan untuk melawan kes,” katanya.

Beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia bagaima­napun berkata, mahkamah membolehkan pasangan untuk menyelesaikan kes melalui persetujuan kedua-dua pihak sepanjang PKPB.

Ia apabila Hakim Syarie hanya merekodkan persetujuan tanpa ada perbalahan atau perbicaraan daripada kedua-dua pihak se­perti kes pelakon Sharifah Sakinah dan bekas suaminya yang menyelesaikan kes mereka secara baik.

Semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan dikenakan PKPB sehingga 6 Di­sember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dipetik sebagai berkata, negeri yang terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Ne­geri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Beliau berkata, pelaksanaan PKPB ini juga akan meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Sabah yang sepatutnya berakhir 9 November ini.

Sebelum itu, pada 14 Oktober lalu PKPB telah pun dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN