PIHAK berkuasa memeriksa bangkai pesawat MH17, berdekatan kampung Hrabove di wilayah Donetsk, Ukraine pada Julai 2014. - Agensi

Masih sukar lupakan walau sudah 9 tahun – Ibu mangsa MH17

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Perasaan sedih dan pilu masih dirasai waris-waris kepada mangsa nahas pesawat MH17 yang ditembak jatuh pada 17 Julai 2014 lalu sekalipun kejadian itu telah berlaku sembilan tahun lalu.

Mengakui tragedi itu sesuatu yang sukar dilupakan, para waris terutama keluarga terdekat turut mengharapkan agar kematian semua mangsa akan mendapat keadilan dan pembelaan sewajarnya.

Habibah Ismail, 74, iaitu ibu kepada ketua pramugari pesawat MH17, Azrina Yakob berkata, walaupun insiden menyayat hati itu sudah hampir sedekat berlaku, hatinya masih terusik setiap kali tibanya tarikh 17 Julai.

“Hati saya masih sebak dan sayu. Malah, setiap kali teringat arwah, air mata akan jatuh. Semalam (kelmarin), kakak sulung arwah telefon dan mengingatkan kami tentang hari ini (semalam).

“Saya beritahu keluarga, saya sentiasa ingat tarikh ini. Apa yang saya harap sama seperti keluarga mangsa yang lain iaitu pengadilan ke atas tragedi ini selesai sepenuhnya dan tak ada apa-apa konflik lagi yang timbul walaupun penjenayah sudah menerima hukuman,” katanya ketika ditemui di Kampung Kelompang di sini semalam.

Azrina, 41, adalah salah seorang daripada 298 penumpang dan anak kapal yang terkorban selepas pesawat berkenaan yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Daripada jumlah itu, 43 yang terkorban merupakan rakyat Malaysia.

Tahun lepas, Mahkamah Daerah The Hague menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Russia, Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat itu.

Pada 17 Mac lalu, Majlis Pe­nerbangan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengundi dan memutuskan untuk mendengar kes terhadap Russia berhubung insiden itu.

Menurut Habibah, ketika ini hanya gambar Azrina yang menjadi pengubat rindunya setiap hari.

“Nasib baik arwah suami ketika hayatnya suka kumpul gambar-gambar keluarga kami termasuk gambar Azrina. Bila rindu, gambar itu sahaja yang saya ada untuk hilangkan rasa rindu.

“Saya tahu semua daripada kita akan meninggal dunia, tetapi mengenangkan cara arwah me­ninggal dunia buatkan saya jadi sebak. Atas sebab itu susah untuk saya lupakan apa yang mereka lakukan dan berdoa agar keadilan untuk anak saya dan semua mangsa akan terbela juga satu hari nanti,” katanya.

Di George Town, Pulau Pinang, Sharom Ibrahim, 60, yang merupakan ibu kepada pramugari pesawat MH17, Nur Sha­zana Mohamed Salleh turut melahirkan rasa sedih dan sayu setiap kali mengenangkan tragedi yang menimpa anaknya.

Menurut Sharom, suaminya, Mohamed Salleh Samsuddin juga berkesempatan menziarahi pusara anak sulung mereka itu di Putrajaya kira-kira pukul 11.30 pagi semalam sempena ulang tahun kesembilan nahas ber­kenaan.

“Sedih tetap sedih. Selalu pergi tak menangis tetapi hari ini sangat berbeza. Saya rasa kejadian ini seperti baharu sahaja berlaku sedangkan sudah sembilan tahun berlalu,” katanya.

Menurut beliau lagi, pihak keluarga sehingga saat ini hanya menunggu dan mahu melihat wajah si pelaku sebenar selepas kelibat mereka tidak kelihatan semasa keputusan mahkamah dibuat pada 17 November 2022.

“Kami hanya mahu lihat wajah sebenar si pelaku, di mana mereka dan siapa individu utama. Kami masih mahu jawapan yang pasti dan benar.

“Walaupun sudah ada bukti, tapi kami masih mahu menge­tahuinya sebab semua tahu yang pesawat berkenaan telah ditembak,” ujarnya.

Ditanya mengenai kotak pakaian arwah yang diterimanya selepas kejadian berlaku, Sharom berkata, bungkusan yang dibalut dengan kertas berwarna coklat itu masih belum dibuka dan kini di­simpan dengan baik .

“Tunggu semua selesai, sampai keputusan akhir baru kotak dibuka. Kotak itu berada dalam keadaan sama, seperti semasa kami menerimanya dahulu. Walaupun nenek minta saya buka, saya masih tetap dengan pendirian sebelum ini,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN