PETALING JAYA – Pejabat lama MyTown Shopping Centre kini berubah menjadi menjadi pusat pendidikan antarabangsa yang akan dikendalikan sepenuhnya oleh Ideas Academy, sekolah rendah dan menengah swasta yang diperakui IGCSE.
Pengurus Besar MyTownKL, Mohd. Azhan Che Mat berkata, bangunan empat tingkat seluas 22,000 kaki persegi di bangunan itu dijangka dibuka pada awal 2024.
Menurut beliau, melalui pusat pendidikan terbaharu itu, Institusi tersebut yang bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bakal menyediakan akses pendidikan yang lebih luas kepada kanak-kanak kurang bernasib baik dan pelarian di Malaysia serta murid-murid am.

“Bagi merealisasikan projek tersebut berjaya, Ikano Centres dan Boustead Ikano Sdn. Bhd., bakal melaburkan lebih RM5 juta untuk membaik pulih dan menghidupkan semula bangunan sedia ada menjadi sebuah institusi pendidikan yang dilengkapi
dengan segala kemudahan dan peralatan moden yang diperlukan bagi membentuk dan memupuk persekitaran pembelajaran holistik untuk generasi muda,” katanya.
Mohd. Azhan menjelaskan, kampus Ideas Academy MyTown KL ini mampu menampung lebih daripada 650 pelajar dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk tanjakan papan selaju, gelanggang pelbagai guna, kawasan hijau dan bilik rehat bagi mencipta persekitaran yang sihat dan seimbang untuk mereka belajar, berkembang dan maju jaya.
“Usaha kami untuk menghidupkan semula pejabat projek lama dengan mengubahnya menjadi sebuah institusi pendidikan yang terletak bersebelahan MyTownKL adalah selaras dengan strategi tawaran campuran kami.
“Ia adalah untuk memenuhi aneka penawaran dari pengalaman runcit yang unik hinggalah kepada pelbagai hidangan makanan dan minuman termasuk ruang pertemuan yang selesa untuk para pelajar, keluarga, dan profesional semasa waktu rehat atau selepas kuliah dan kerja,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.
Tambah beliau, penambahan terbaharu ini akan mengukuhkan lagi cita-cita kami untuk menjadikan MyTownKL sebagai sebuah hab komuniti bersepadu untuk membeli-belah, meneroka, belajar dan bermain. -KOSMO!ONLINE











