PADA usia 11 tahun, kanak-kanak itu terpaksa berdepan dengan dugaan hebat dalam hidup ekoran penyakit yang dihidapinya.
Disahkan menghidap sejenis kanser tulang yang jarang didiagnosis sejak berusia lapan tahun, Alex Goodwin terpaksa menjalani pembedahan radikal, kemoterapi dan radioterapi untuk terus hidup.
Bagaimanapun, di sebalik sisi yang membebankan itu, Goodwin, masih bersemangat untuk meneruskan kehidupan apatah lagi ditemani oleh ‘pembantu rahsia’ iaitu seekor burung hantu dengan panggilan Murray.
Menurut bapa kepada Goodwin iaitu Jeff, Murray merupakan sumber kegembiraan buat anaknya yang selama ini sangat terkesan dengan penyakit tersebut.
“Alex tidak seperti kanak-kanak lain, zaman kanak-kanaknya diragut dengan rawatan yang sangat invasif hingga menyebabkan dia trauma dan mengalami mimpi buruk.
“Di laman sosial, Twitter saya sering berkongsi tentang kisah sakit Goodwin yang tanpa disangka menarik perhatian pemilik Murray iaitu Anita Morris sekitar dua setengah tahun lalu,” katanya yang sejak itu akan membawa anaknya sejauh 160 kilometer (km) dari Leicestershire ke Cheshire, Britain untuk bertemu Murray setiap beberapa bulan.
Tambahnya lagi, Morris yang juga merupakan ahli psikologi tampil untuk membantu mengembalikan semangat Goodwin melalui kaedah terapi menggunakan haiwan pemangsa unik iaitu burung hantu.
Morris yang juga merupakan pengasas perniagaan terapi, Hack Back CIC yang ditubuhkan pada tahun 2005 menawarkan terapi psikologi menggunakan burung pemangsa tersebut bagi membantu menyembuhkan manusia.
Pertemuan antara Goodwin dan Murray telah banyak mengubah hidup kanak-kanak itu, malah kondisinya juga semakin baik.
Goodwin yang berkerusi roda semasa pertama kali bertemu dengan Morris, kini sudah boleh berjalan dan pada masa ini sedang berlatih untuk menjadi falconer (penjaga burung hantu).
Kata Morris yang memiliki Murray sejak tahun 2013, burung hantu mempunyai keupayaan memahami bahasa badan manusia dan bersama mereka yang mempunyai masalah kesihatan, haiwan itu dengan sendiri akan datang memberi kenyamanan.
“Begitu juga buat Goodwin yang memperoleh tumpuan dan alasan untuk bertahan, sekali gus membantunya berkembang dalam keyakinan ketika dia bersama Murray,” ujarnya.
Selain Goodwin, terapi burung hantu turut menjadi kaedah rawatan buat beberapa individu lain yang mempunyai masalah kesihatan yang berbeza.
Horst Demsky, seorang pesakit yang tidak lagi cukup kuat untuk bangun di sebuah hospital di Jerman juga menjalani terapi tersebut.
Dua burung hantu merenungnya dengan mata jingga terang, duduk bertenggek di sarung tangan burung yang diletakkan di atas selimutnya.
Demsky membelai bulu haiwan itu dengan lembut sambil berkata dengan perlahan, “Sayang, baiklah.”
Selepas beberapa ketika, dia menambah, “Saya dahulu pernah mempunyai dua ekor burung kakak tua.”
Senyumannya semakin bertambah apabila falconer, Katharina Hafner memperkenalkan burung tersebut kepadanya.
Terdapat burung hantu kandang (barn owl) Emma dan burung hantu berwajah putih Merlin yang telah menjadi pengunjung tetap di hospital St. Martin di Koblenz, barat daya Jerman.
Menurut Hafner yang menjadi pencetus idea di sebalik penggunaan burung hantu sebagai haiwan terapi di hospital berstatus hospis tersebut, kehadiran dua burung itu mencetuskan kegembiraan di wajah Demsky.
Pasukannya, Falconers of the Heart, yang berpangkalan di Bisterschied, 100 km barat daya Frankfurt melawat hospital dan institusi penjagaan paliatif untuk kanak-kanak di seluruh negara.
Haiwan-haiwan itu membawa keselesaan kepada mereka yang sakit tenat semasa fasa-fasa terakhir kehidupan mereka.
“Kami membawa kegembiraan dan mungkin sedikit kebahagiaan kepada orang di situ.

“Ia adalah satu kejutan yang bagus dan dalam kes Demsky, ia merupakan satu kejayaan,” katanya yang berusia 29 tahun.
Sementara itu, timbalan pengarah hospis Ingrid Ferdinand memberitahu, ini merupakan kali ketiga burung tersebut ke hospital berkenaan dan ia sentiasa menjadi ‘acara yang sangat istimewa’.
“Saya telah menyaksikan sendiri bagaimana burung hantu berjaya mengembalikan semangat mereka yang sakit tenat.
“Orang selalu kata, semuanya sangat menyedihkan ada di hospital, tetapi salah satu prinsip kita ialah menjalani hari yang kita ada sebaik mungkin dan ini adalah satu kemuncak,” katanya mengenai lawatan burung itu.
Di salah satu daripada 10 bilik lain di hospital tersebut, Swen Pinkatschek, yang menghidap tumor otak dikelilingi oleh ahli keluarganya.
Isterinya, Tamara Pinkatschek yang duduk di sisi katilnya tersenyum apabila anak lelaki mereka Claas masuk ke dalam bilik dengan burung hantu kecil Merlin, manakala Hafner membawa Emma di belakangnya.
“Ini adalah kali pertama burung hantu berada begitu dekat dengan kami,” katanya.
Claas yang baru berusia tujuh tahun, meletakkan burung hantu itu di atas katil dan memberitahu bapanya, supaya mengusap burung itu.
“Burung hantu membawa banyak kedamaian dan ketenangan serta membantu anda menjadi tenang.
“Inilah yang membezakan haiwan itu daripada haiwan terapi lain dan apabila saya membawa burung hantu, pesakit lebih banyak berkomunikasi,” kata Hafner yang berasal dari utara Jerman.
Tambahnya, interaksi itu juga mencetuskan banyak kenangan dan membuka pintu dalam minda meskipun buat pesakit Alzheimer atau demensia.
Hal ini terbukti apabila ada penjaga kepada pesakit yang berkongsi bahawa ada penghidap penyakit tersebut yang tiba-tiba dapat mengingat nama mereka sendiri, walaupun mereka tidak dapat mengingatnya selama lima tahun yang lalu.
Seorang lagi pesakit, Jose Lay juga dengan penuh semangat menanti kunjungan burung itu.
“Saya telah menjadi peminat burung hantu sejak kecil dan pada waktu malam di rumah, saya juga mendengar bunyi burung hantu.
“Selain itu saya juga mempunyai koleksi patung burung hantu yang diperbuat daripada seramik di dalam bilik.
“Burung hantu adalah makhluk yang sangat pintar dan sangat cantik,” katanya yang duduk di hospital sama.
Semasa lawatan itu, dia hanya melihat burung hantu dan membelai haiwan tersebut yang bersaiz besar.
“Saya tidak pernah begitu rapat (dengan fizikal haiwan) sebelum ini. Ia satu pengalaman yang indah,” tambahnya lagi.
Kata Hafner pula, pesakit yang menjalani terapi burung hantu biasanya akan memeluk, membelai dan mencium haiwan tersebut.
Hafner menyertai Falconers of the Heart enam tahun lalu, tetapi suaminya Achim Hafner pula mempunyai pengalaman merawat dengan burung hantu selama lebih 20 tahun.
Pasukan mereka juga melawat rumah orang tua, sekolah, tadika dan institusi untuk orang kelainan upaya, yang membayar untuk lawatan mereka.
Kebanyakan tempahan mereka datang dari institusi-institut di Berlin, kata Hafner.
“Kami pergi dua kali setahun selama dua hingga tiga minggu pada satu masa. Para falconers melawat hospital seperti St. Martin di Koblenz secara percuma.
“Jika saya bertemu seseorang yang saya berjaya membuat mereka sentuh burung hantu secara rapat, maka saya telah melakukannya demi orang itu.
“Kemudian, ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan buat mereka,” katanya.














