“Kalau sampai Gua Hira’ nanti kau akan nampak satu lubang kecil yang nampak terus ke Kaabah. Itulah petanda Nabi SAW gunakan untuk solat ketika ber’uzlah.”
Alasan inilah yang saya gunakan untuk memujuk lutut kiri yang sakit supaya terus kuat berjalan agar boleh melihat dan merasai sendiri pengalaman berada di gua yang menjadi lokasi penurunan wahyu pertama kepada Rasulullah SAW.
Memanjat bukit setinggi 642 meter pada pukul 2.30 pagi (waktu tempatan) pada 1 Jun lalu benar-benar menguji mental dan fizikal.
Walaupun saya pernah mendaki Gunung Kinabalu dan Gunung Ledang yang jauh lebih tinggi dan susah, Jabal Nur mempunyai cabarannya yang tersendiri kerana laluannya dipenuhi batuan tajam selain menegak.
Kalau mendaki waktu siang lebih mencabar kerana gunung itu langsung tiada pokok untuk berlindung daripada panas matahari. Apa yang ada hanyalah pondok buatan malim gunung warga
Pakistan menjual cenderahati dan minuman.
Gua Hira’ sering dikunjungi orang ramai. Jika dapat naik dan sampai di puncak, kita akan kelam-kabut untuk solat sunat kerana tertekan dengan orang belakang yang juga tak sabar berbuat demikian.
Bagaimanapun, rezeki kami petugas media Tabung Haji (TH) kerana pada awal pagi itu langsung tiada jemaah yang mendaki.
“Ini peluang baik untuk dapat duduk di Gua Hira’ lama sedikit. Selalunya di sini ramai jemaah. Untung naik ketika waktu sahur,” kata staf TV Al-Hijrah, Muhammad Sadiq Hakim Azman.
Peluang itu digunakan untuk terus mendaki secara berkumpulan sehinggalah berpecah dengan masing-masing mengikut keupayaan diri sebaik masuk sepertiga perjalanan.
Keadaan muka bumi yang menegak dan langsung tiada denai landai menambah ‘sengsara’ pendaki hingga ada yang hampir menyerah walaupun baru separuh perjalanan.
Manakan tidak, tanpa latihan dan senaman pemanas badan sudah tentu membuatkan pendaki ‘pancit’, namun disebabkan semangat hendak berada di lokasi berkat, akhirnya semua berjaya tiba di puncak dan menikmati pemandangan yang hebat di sekitar Mekah.
Kami lihat betapa Masjidilharam yang bermandikan cahaya kelihatan seperti berlian berkilauan di atas kain hitam.
Di sekeliling gunung itu pula lampu-lampu rumah dan bangunan yang ada di sekitar Mekah menambahkan lagi seri malam.

Terdapat batuan tajam, licin, besar dan tangga menjunam jika mahu pergi ke Gua Hira’. Kami terpaksa bersusah payah melepasinya sebelum bertemu dengan pintu masuk gua.
Perkara pertama yang saya lakukan bila sampai ialah mencari lubang yang dimaksudkan.
Rupanya ia adalah ruang menegak yang terhasil daripada celahan batu-batu besar menghala tepat ke Kaabah.
Ruang di dalam gua itu pula hanya muat untuk seorang dewasa solat berdiri dan ada ruang di sebelahnya yang hanya boleh duduk ekoran di atasnya ada batu.
Di tempat solat itu diletakkan sejadah dan karpet bagi keselesaan pengunjung solat. Saya membayangkan di situlah Nabi SAW pernah solat dan berdoa, manakala tempat duduk di sebelahnya pula ialah lokasi Jibril membacakan wahyu pertama kepada Baginda.
Saya solat dan berdoa semahunya di situ ekoran masih ramai rakan yang belum sampai. Saya pendaki kedua tiba selepas rakan media dari TV Al-Hijrah.
Antara rakan media lain yang turut serta dalam pendakian termasuk Radio Ikim, Bernama, Sinar Harian, RTM, TV3 dan beberapa wakil TH.
Ketika solat, kawasan sujudnya tidak rata dan timbul sebak apabila memikirkan keadaan Nabi pada 1,400 tahun lalu. Sudahlah perlu panjat gunung berbatu tanpa laluan, kena pula berada dalam gua sempit.
Waktu sahur di situ sangat tenang dan entah bagaimana Nabi boleh mencari lokasi sedemikian yang siap ada ruang antara celahan batu menghala tepat ke Kaabah.
Selepas puas berdoa, barulah seorang demi seorang rakan media tiba dan mereka turut solat di situ untuk mengambil berkat.
Saya sempat membuat live di media sosial Kosmo! untuk berkongsi momen paling indah iaitu laungan azan subuh yang bersahut-sahutan tanpa henti selama 15 minit.
Pergi atau klik pautan https://www.facebook.com/kosmo.online/videos/277516618029819 untuk lihat rakaman siaran langsung itu.
“Sungguh indah saat ini yang tidak ada di tempat lain. Hanya puji-pujian diucapkan ketika ini sebagai tanda syukur di atas kurniaan ini,” kata penyampai radio Ikim, Norhayati Paradi sambil menahan sejuk.
Selesai solat sunat, kami naik kembali ke dataran yang agak kecil tetapi rata untuk solat subuh berjemaah. Ketika itu tiada orang lain dan hanya kami.
“Sebagai memberi penghormatan, maka kami mahu kau menjadi imam,” kata salah seorang rakan kepada saya.
Saya menolak pada awalnya dan mempelawa rakan dari TV AL-Hijrah untuk memimpin solat tetapi takdir sudah tertulis saya menjadi imam di situ pada pagi berkenaan.
Sepanjang perjalanan turun, barulah kami bersua dengan beberapa malim gunung Pakistan yang ingin naik bagi menghantar minuman dan stok makanan.
Ketika itu, semakin ramai jemaah yang telah tiba dan kami bersyukur dapat menyempurnakan hajat dalam suasana yang aman dan tidak bersesak.
Satu masalah ketika turun ialah keadaan lutut kiri yang sakit ketika menerima hentakan ke anak tangga yang disediakan.
“Masa naik tak rasa sangat, masa turun barulah nak sakit. Tolonglah lutut kita jalan dan mesti sampai ke bawah walaupun perlahan,” kata saya dalam hati.
Inilah taktik yang digunakan ketika mendaki di gunung-gunung lain, walaupun perlahan yang penting sampai.
Apa yang pasti, pendakian itu memberikan 1,001 pengalaman dan keinsafan di benak hati saya mengenai kecekalan Nabi SAW berulang alik ke Gua Hira’ untuk ber’uzlah.
Lebih mengharukan dan membuatkan saya menangis apabila isteri Baginda, Saidatina Khadijah Al-Kubra juga memanjat gunung itu untuk menghantar makanan pada setiap malam hingga menerima kiriman ucapan salam daripada Allah SWT.














