fbpx
PARA pengunjung Stress Out melepaskan tekanan dan kemarahan dengan memecahkan barang-barang menggunakan penukul.

Amukan di bilik kemarahan Stress Out

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DENGAN penuh rasa amarah, botol kaca yang digenggam erat oleh Zulaikha Alfia, 25, dilempar ke dinding yang ada di hadapannya.

Kemudian, dia mengambil penukul besi dan menghentak mesin cetak yang ada berhampiran, sebelum menjerit dengan sepuas hatinya.

Sesekali dia terduduk sambil menangis seakan meluahkan segala yang ada di dalam benak fikirannya.

Zulaikha Alfia yang merupakan salah seorang pelajar bertindak sedemikian dalam ‘rage room’ atau bilik kemarahan di Stress Out, Kangar, Perlis.

Tujuannya adalah untuk menghilangkan rasa tekanan dan marah yang bersarang dalam dirinya.

Bilik kemarahan merupakan satu ruang yang direka khas bagi mereka yang ingin lepaskan tekanan dan marah.

Di ruang itu, seseorang individu boleh menghancurkan barang-barang seperti botol, cawan kaca, alat elektronik dan lain-lain lagi sepuasnya.

“Saya rasa lega apabila dapat berbuat demikian dan tekanan yang dirasai bagaikan terbang menghilang.

“Di sini, saya dapat pecahkan pelbagai barang yang disediakan sesuka hati sebagai salah satu cara untuk melepaskan tekanan,” ujar Zulaikha kepada K2.

Skrin komputer dan pinggan merupakan antara barangan yang boleh dipecahkan
di Stress Out.

Tambahnya, sebagai seorang pelajar, dia tidak terlepas daripada tekanan terutamanya dari segi pelajaran.

Sebelum ini, cara dia melepaskan tekanan adalah dengan menangis.

Bagaimanapun, setelah mengetahui kewujudan Stress Out, dia terus pergi ke sana untuk menghilangkan tekanan yang dirasakan.

Zulaikha mengakui, dia berasa lega dan puas apabila bertindak sedemikian.

“Sekurang-kurangnya di sini saya tidak pecahkan barangan sendiri atau awam untuk melepaskan tekanan dan amarah.

“Di sini adalah tempat yang betul untuk berbuat demikian kerana pengunjung telah disediakan dengan barangan yang boleh dipecahkan,” jelasnya.

Dalam pada itu, pengasas Stress Out, Anuar Hamizan menjelaskan, kebanyakan masyarakat kini berhadapan dengan masalah tekanan.

Menurutnya, atas sebab itu, dia tergerak hati menyediakan tempat sedemikian bagi membolehkan mereka di luar sana melepaskan tekanan atau amarah di tempat yang betul.

“Terkadang apabila seseorang berada dalam tekanan dan kemarahan, mereka mungkin akan hancurkan barang-barang yang tidak sepatutnya di rumah.

“Oleh demikian, kami menyediakan ruang khas ini bagi membolehkan mereka menghancurkan barang-barang yang telah disediakan,” terangnya.

ANUAR merupakan pemilik Stress Out.

Tambahnya, niat dia membuka ruang tersebut bukan untuk perniagaan semata-mata, sebaliknya ingin membantu orang ramai melepaskan tekanan di tempat yang betul.

Melalui pemerhatian Anuar sendiri di luar negara, ruang melepas tekanan telah banyak dibuka.

Namun, di Malaysia, ia masih baharu dan tidak banyak.

Antara barang-barang yang disediakan untuk dipecahkan adalah botol, cawan, pinggan kaca serta barang elektronik yang telah rosak.

Pengunjung boleh memecahkannya sama ada melemparkan objek ke dinding atau menggunakan penukul besi yang disediakan.

Pada masa sama, Anuar turut mendapatkan bahan-bahan tersebut daripada penduduk setempat.

“Saya membeli bahan-bahan buangan ini daripada penduduk setempat, sekali gus membantu mereka menjana pendapatan.

“Kemudian, bahan-bahan yang telah dipecahkan akan diuruskan dengan betul, kami tidak membuangnya begitu sahaja,” jelasnya.

Sementara itu, Anuar berkata, dia amat menekankan aspek keselamatan kerana ia boleh mengundang bahaya jika diabaikan.

“Kami mewajibkan mereka yang ingin melepaskan tekanan di ruang ini mengenakan pakaian khas disediakan merangkumi kasut, sarung tangan dan penutup muka.

“Sebagai contoh, mereka ingin memecahkan kaca dan jika aspek keselamatan ini tidak dititikberatkan mungkin kecederaan boleh berlaku,” terangnya.

Sementara itu, pengunjung yang datang ke Stress Out kebanyakan berhadapan dengan pelbagai masalah yang membuatkan mereka rasa tertekan.

Anuar menjelaskan, pihaknya bukan saja menyediakan ruang untuk melepaskan tekanan.

“Kami juga kadangkala akan mengajak pengunjung bersembang dan menjadi pendengar kepada masalah yang diluahkan.

“Kadangkala mereka mahu orang yang tidak dikenali untuk mendengar luahan hati. Itu juga boleh memberi ketenangan kepada diri.

“Melalui sesi bersembang ini, kami dapati ramai hidup tertekan kerana pelbagai masalah sama ada keluarga, kerja, pelajaran, perhubungan dan lain-lain lagi,” katanya.

Tambahnya, rata-rata mereka yang datang dan berhadapan dengan masalah tekanan berumur di bawah 30-an.

Sejak dibuka pada Mac lalu, Anuar menjelaskan, maklum balas yang diterima daripada pelanggan amat baik.

Malah, ramai pelanggan yang mengakui bahawa berkunjung ke tempat tersebut merupakan salah satu cara untuk melepaskan tekanan.

“Melihat kepada sambutan baik yang diterima, saya mempunyai perancangan untuk membuka cawangan Stress Out di beberapa lokasi lain selepas ini.

“Ia bagi membolehkan lebih ramai orang menggunakan kaedah ini melepaskan tekanan hidup,” jelasnya.

Sementara itu, Ahli Psikologi Klinikal di Klinik Cleveland, Dr. Scott Bea menjelaskan, apabila seseorang itu memendam kemarahan ia boleh menghasilkan pelbagai jenis masalah seperti kebimbangan.

Menurutnya, ‘rage room’ adalah salah satu cara untuk melepaskan perasaan marah, tetapi ia tidak memberi banyak perbezaan pada jangka masa panjang.

“Mungkin terdapat pelepasan emosi yang terpendam pada saat itu.

“Menghancurkan barang mungkin memberi anda sedikit kelegaan jangka pendek, tetapi ia tidak akan membantu menyelesaikan masalah kemarahan yang kronik,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN