PETALING JAYA – Dianggarkan ribuan individu termasuk anak-anak tanpa kad pengenalan terpaksa hidup seperti ‘pelarian’ disebabkan ketiadaan dokumen lengkap bagi mendapatkan status kewarganegaraan walaupun dilahirkan di negara ini.
Mereka terdiri daripada anak-anak yang ditinggalkan ibu bapa kandung sejak kecil tanpa sebarang dokumen selain anak tidak sah taraf dan anak angkat.
Ekoran ketiadaan MyKad, golongan ini tidak mendapat hak keistimewaan sebagai rakyat Malaysia, antaranya rawatan perubatan di klinik dan hospital kerajaan, akses pendidikan, mengundi dan memiliki hartanah.
Selain itu, mereka juga didakwa tidak boleh keluar negara termasuk mendaftarkan perkahwinan kerana dikhuatiri akan menyebabkan anak yang dilahirkan turut dikategorikan sebagai bukan warganegara.
Pengarah Perlindungan Sosial, Pembangunan Sumber Manusia untuk Kawasan Luar Bandar (DHRAA) Malaysia, Maalini Ramalo berkata, setakat ini pihaknya merekodkan sebanyak 8,000 kes stateless (tiada warganegara) antara 2015 hingga 2023 berpandukan bukti-bukti yang dimiliki oleh individu berkenaan.
Menurutnya, kebanyakannya kes diterima berlaku di semenanjung meliputi Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Johor di mana mereka telah membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk mendapatkan warganegara sejak 2015, namun masih gagal.
“Rekod ini tidak termasuk di Sabah dan Sarawak yang mana keadaan di sana adalah lebih teruk serta sudah menjadi tidak terkawal.
“Daripada jumlah itu, isu warganegara paling banyak melibatkan anak tidak sah taraf (yang dilahirkan di luar perkahwinan yang sah) diikuti anak angkat dan anak terbiar,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Maalini menambah, kegagalan mereka mendapatkan status warganegara menyebabkan mereka tidak dapat MyKad termasuk akses kepada pendidikan, kesihatan, perbankan selain memiliki lesen kenderaan.
Katanya, golongan stateless ini hanya boleh membuat permohonan warganegara sebelum berusia 21 tahun di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Jadi, keutamaan kita sekarang adalah untuk melindungi kanak-kanak atau individu yang tidak mempunyai pilihan lain. Ia kerana, dengan jelas mereka dilahirkan di Malaysia dengan ibu atau bapa berstatus warganegara tetapi telah diabaikan.
“Sebagai contoh, jika bapa mereka warganegara dan ibu mereka warga asing, namun telah melarikan diri atau meninggal dunia, bagaimana seorang anak yang masih kecil dan tidak memahami situasi tersebut ingin menjejaki ibunya yang sudah tiada,” ujarnya
Sehubungan itu, kata Maalini, anak terbiar atau diabaikan ibu bapa yang dilahirkan termasuk dijumpai di Malaysia di bawah usia 12 tahun perlu diberikan status warganegara secara automatik kerana mereka tidak mempunyai pilihan untuk memiliki kerakyatan negara lain.
Menurutnya, langkah itu juga selaras Perkara 14(1(b) Jadual Kedua, Bahagian II Seksyen 19B Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf kanak-kanak dijumpai atau terbiar sebagai warganegara.
Jelasnya, bagi anak tidak sah taraf, status warganegara mereka ditentukan oleh ibunya sepertimana yang termaktub di bawah Seksyen 17 Jadual II Bahagian III Pelembagaan Persekutuan.

Rentetan itu, jelasnya, bagi jangka masa panjang, akta itu perlu dipinda dengan membenarkan lelaki atau bapa untuk memindahkan taraf kewarganegaraan kepada anak mereka bagi mengurangkan jurang dalam dasar kewarganegaraan.
“Ini adalah matlamat utama kita dan merupakan jalan penyelesaian terbaik. Namun, untuk sampai tahap ini, saya akui kita perlukan lakukan pelbagai langkah terlebih dahulu dan boleh dibuat dalam tempoh lima tahun.
“Kita perlu tingkatkan kesedaran mengenai isu perkahwinan dan prosedur dokumentasi terutama di kawasan luar bandar termasuk perkampungan estet kerana masyarakat di sana masih tidak memahami undang-undang yang perlu mereka ikuti.
“Kalau kita lihat di kampung, apabila mereka lahirkan anak, ada antaranya yang tidak membuat laporan polis malah sebahagian mereka ada yang tidak tahu bagaimana hendak mendaftarkan anak mereka.” jelasnya
Tambahnya, JPN perlu mempertimbangkan penyenaraian sebab-sebab atau dokumentasi yang hilang untuk membolehkan pemohon memperbaiki permohonan seterusnya.
“Kerajaan boleh tubuhkan tribunal untuk kes-kes yang tidak dapat diproses terdiri daripada pihak JPN, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.














