MENURUT laporan terbaru kumpulan saintis di Atribusi Cuaca Dunia, gelombang haba April-Mei di Asia Tenggara mencatatkan rekod terburuk di rantau ini.
Fenomena tersebut menyebabkan peningkatan bilangan pesakit akibat strok haba di hospital, keadaan jalan raya rosak, kebakaran hutan secara semula jadi dan penutupan sekolah.
Malah, MetMalaysia sebelum ini telah mengeluarkan amaran tahap satu gelombang haba apabila suhu berlegar sekitar 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tiga hari berturut-turut di sesetengah tempat.
Laporan mengenai fenomena El Nino yang dijangka pada bulan ini sehingga September turut menimbulkan desas-desus mengenai pengisytiharan darurat iklim di Malaysia.
Justeru wartawan Kosmo! Ahad, SITI SARAH NURUL LIYANA berpeluang menemu bual Pakar Meteorologi Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah untuk merungkai persoalan-persoalan di sebalik fenomena alam tersebut.
KOSMO! AHAD : Keadaan cuaca di Malaysia dilihat tidak menentu. Ada ketikanya terlalu panas dan ada masanya hujan lebat berterusan. Adakah, ia merupakan fenomena normal?
AZIZAN ABU SAMAH: Suhu maksimum bagi negara kita sewaktu musim Monsun Barat Daya adalah sekitar 31 hingga 32 darjah Celsius (°C). Bila bercakap tentang cuaca ini, kita perlu faham bahawa ia sentiasa berubah dari masa ke masa mengikut aturan alam.
Secara definisi, gelombang haba bermaksud satu tempoh suhu tinggi luar biasa yang melebihi suhu maksimum purata harian dengan keadaan cuaca yang agak panas di sesuatu negara.
Bagi Malaysia, gelombang haba ditakrifkan apabila suhu maksimum harian melebihi 37°C untuk tiga hari berturut-turut. Tapi ini bukan perkara baharu dan tidak perlu ‘overreact’ (terlebih bertindak balas).
Tiada yang tidak normal tentang suhu kita buat masa ini. Jadi, media dan ahli politik tidak perlu sensasikan keadaan melebihi apa sepatutnya.
Membantu masyarakat peka tentang cuaca semasa berbeza dengan mendorong masyarakat untuk ‘overreact’.
Apakah faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya fenomena cuaca ekstrim dan kesannya kepada masyarakat?
Negara kita berada di kawasan tropika. Suhu kita memang boleh mencecah 34 hingga 37°C.
Apa yang penting adalah masyarakat tahu bagaimana untuk beradaptasi dengan perubahan suhu ini seperti pakai payung ketika panas, kekal hidrat, tidak berjemur di tengah panas dan sebagainya.
Sesiapa yang tidak melakukan perkara yang dinyatakan pasti terdedah kepada strok haba, walaupun ketika suhu 32°C.
Ini tidak semestinya berlaku sekiranya suhu mencecah 40°C.
Berdasarkan laporan Kumpulan Bank Dunia 2021, Malaysia diunjurkan akan mengalami peningkatan suhu purata sebanyak 0.8 hingga 3.11 °C menjelang era 2090. Apakah impaknya kepada negara?
Peningkatan sebanyak 0.8 hingga 3.11 °C tidaklah banyak. Sebagai contoh, sekiranya suhu purata sekarang 32°C, menurut data tersebut, suhu akan naik sekitar 36°C.
Musim Monsun Timur Laut dan Monsun Barat Daya tetap akan berlaku dan sentiasa ada. Tetapi tidak dinafikan, terdapat kemungkinan yang kita tidak dapat jangka dan ia hanyalah kebarangkalian.
Bagi saya, perkara lebih penting adalah membina daya tahan sekiranya kebarangkalian itu berlaku. Ini bermakna masyarakat dan ekonomi kita mampu beradaptasi dengan perubahan tersebut.
Di kawasan kita, perubahan suhu yang dikaitkan dengan pemanasan global hanya berlaku dalam 2°C atau 3°C, tetapi di Artik pula berlaku pada 6°C ke 8°C.
Dari segi keseluruhan, kalau kita bandingkan kawasan tropika yang dikelilingi air seperti kita dan yang tidak seperti Thailand, perubahan suhu negara kita lebih kurang ketara.
Ini kerana air yang ada di keliling tanah kita akan menyederhanakan perubahan tersebut, namun ia tidak bermaksud kita berada dalam keadaan selesa. Cuaca kita, khasnya semasa Monsun Timur Laut) dipengaruhi oleh fenomena yang berlaku di benua Asia.
Sejak bulan lalu, MetMalaysia sering mengeluarkan amaran cuaca panas tahap satu di beberapa kawasan di negara ini. Apakah faktor utama yang menyebabkan berlakunya fenomena ini?
Amaran yang dikeluarkan MetMalaysia hanya semasa tempoh gelombang haba. Tempoh ini lebih kurang dalam masa beberapa hari sahaja.
Apa yang perlu kita faham adalah perubahan cuaca sentiasa berlaku.
Fenomena monsun itu sama saja, perbezaannya hanya kekuatan iaitu lemah atau kuat.
Sebagai penyelidik, kami mengkaji proses apa menyebabkan fenomena ini berlaku. Proses ini agak kompleks dan tidak boleh diterangkan dalam bahasa mudah.
Ini kerana setiap fenomena yang berlaku memiliki sedikit perbezaan dan perlu dirujuk secara spesifik.
Adakah suhu di negara ini mampu mencapai 40°C dalam masa terdekat?
Fenomena El Nino paling teruk melanda Malaysia adalah pada 1998. Suhu tertinggi 40.1°C direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis pada 9 April 1998. Namun, ia bukanlah sesuatu yang kita perlu panik. Ini kerana suhu gelombang haba bermaksud ia hanya melebihi suhu purata di sesuatu negara.
Walaupun di Asia Tenggara, tahap kecemasan adalah ketika suhu mencecah 40°C , namun kita perlu ingat bahawa suhu ini sangat normal di negara-negara seperti Arab Saudi.
Tidak kira sama ada cuaca panas itu berangin atau panas kering, tahap suhu tersebut tidak menyebabkan ‘malapetaka’ besar sekiranya masyarakat cakna tentang gaya hidup ketika fenomena berkenaan.

Baru-baru ini, saintis iklim Dr. Nick Dunstone menegaskan suhu global pada tahun ini dijangka lebih panas dan dianggap antara terburuk dalam rekod dunia. Boleh ulas mengenai kenyataan ini?
Fenomena El Nino yang dijangka melanda dunia secara global, setelah tiga tahun dalam fasa La Nina menyebabkan suhu panas meningkat.
Dari segi takrifan rekod terburuk itu bermaksud suhu sudah melebihi tahap tertinggi dalam rekod. Namun, ia hanya akan berlaku dalam tempoh singkat iaitu ketika gelombang panas.
Ayunan Selatan atau ENSO merupakan mod utama keragaman semula jadi iklim akibat interaksi lautan dan atmosfera di Lautan Pasifik. Berdasarkan kenyataan Dr. Nick Dunstone, beliau berkata,
kita kini sudah ada ENSO, sekiranya ditambah lagi dengan pemanasan global, maka suhu akan lebih meningkat.
Pada Jun hingga September, negara dijangka mengalami fenomena El Nino. Boleh Prof. ulas mengenai fenomena ini?
El Nino bermaksud suhu permukaan laut melebihi purata yang berkembang secara berkala merentasi Pasifik Khatulistiwa timur-tengah. Ia mewakili fasa hangat kitaran ENSO. La Nina merujuk kepada penyejukan suhu permukaan laut secara berkala merentasi Pasifik Khatulistiwa timur-tengah.
Fenomena ini berlaku secara global. Secara ringkas, ketika El Nino Malaysia mengalami cuaca panas dan kering, manakala ketika La Nina Malaysia mengalami taburan hujan tinggi sehingga menyebabkan banjir.
El Nino memiliki berkaitan dengan perubahan iklim tetapi kaitannya agak samar. Saya tidak boleh kaitkan El Nino dengan apa yang terjadi pada tahun lepas kerana kita ada perubahan semula jadi dan pemanasan global.
Mengikut Pusat Ramalan Iklim di Amerika Syarikat yang dikemas kini pada 5 Jun 2023, kebarangkalian berlakunya El Nino pada Mei, Jun dan Julai adalah 80 peratus, manakala Jun Julai dan Ogos adalah 90 peratus.
Sekarang ini (awal bulan Jun), belum lagi berada dalam fasa fenomena El Nino, walaupun bibit-bibitnya sudah ada. Kita sekarang berada di fasa ENSO neutral. Jadi setakat ini, kebarangkalian itu adalah besar.
Apakah impak El Nino kepada iklim dan cuaca di Malaysia? Adakah akan berlaku gelombang haba lebih panas selepas ini?
Bagi keadaan di Malaysia, fenomena El Nina lebih merugikan dari segi sosioekonomi berbanding ketika fenomena El Nino. Ini kerana keadaan banjir bukan sahaja merosakkan hasil tanaman dan harta benda, malah menyebabkan kehilangan banyak nyawa.
Masalah paling besar ketika El Nino adalah jerebu akibat daripada kebakaran terbuka hutan di Kalimantan dan Sumatera, Indonesia.
Berdasarkan data pada 2019, negara kita mengalami masalah jerebu yang sangat teruk dan pencemaran udara yang tinggi.
Namun, jumlah kerugian tidak sebanyak ketika bencana banjir yang berlaku pada negara kita tiga tahun belakangan ini.
Peningkatan suhu ini pastinya akan memberi kesan kepada masyarakat dan alam sekitar. Justeru, apakah usaha yang harus diambil oleh kerajaan bagi mengurangkan impak panas ini?
Pada saya, komuniti tempatan perlu lebih memainkan lebih peranan dalam hal ini berbanding kerajaan secara umum.
Bagi fenomena El Nino, kita berkemungkinan menghadapi jerebu dan risiko paling tinggi adalah penyakit asma.
Seperti di Singapura, mereka menyediakan bilik khas untuk pelajar-pelajar yang memiliki penyakit asma yang memiliki penghawa dingin dan penapis udara.
Sememangnya perkara ini tidak boleh dilakukan di seluruh sekolah kita, tetapi sekolah boleh sediakan satu bilik khas untuk mereka yang cenderung kepada masalah kesihatan.
Sebelum ini, Malaysia telah membangunakan Pelan Tindakan Pengurusan Kesihatan Akibat Gelombang Haba pada 2021. Boleh Prof. ulas mengenai pelan ini secara lebih mendalam?
Pelan tindakan daripada Kementerian Kesihatan tersebut bertujuan memberikan panduan dalam aspek pengurusan risiko, kesan terhadap kesihatan, survelan penyakit dan panduan penjagaan kesihatan semasa gelombang haba.
Tiada apa yang perlu ditambah atau diubah berdasarkan pelan sedia ada. Cuma pada saya, sepatutnya pelan ini hanya dilaksanakan pada tempoh gelombang haba tersebut agar tidak menimbulkan rasa panik yang tidak perlu.
Suhu sebegini pernah berlaku sejak saya kecil lagi dan bukan fenomena baharu. Jadi, masyarakat perlu cakna tentang perubahan suhu di negara ini.
Biarpun kesan perubahan iklim semakin dirasai, namun masyarakat tidak ada usaha untuk membuat perubahan. Apakah sebab perkara ini berlaku Prof?
Penyumbang pembebasan gas rumah hijau paling tinggi adalah daripada karbon dioksida.
Selain itu, tamadun kita secara global masih lagi bergantung kepada pembakaran bahan api dan perjalanan masih panjang untuk kita betul-betul mampu mengurangkan pembebasan gas rumah hijau.














