PETALING JAYA – Bergelar ‘insan istimewa’ tidak menjadi penghalang buat pelajar untuk berjaya dengan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 yang diumumkan di seluruh negara semalam.
Biarpun diuji dengan kecacatan fizikal termasuk buta dan menghidap penyakit autisme, mereka tidak pernah menganggap sebagai kekurangan, malah berusaha gigih mencari ilmu mengejar cita-cita termasuk bergelar sejarawan.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah masing-masing apabila mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM 2022.
Di Seberang Perai, Pulau Pinang, Nur Farrisha Hashim, 18, bangga apabila memperoleh 8A biarpun terpaksa berkerusi roda disebabkan kecacatan fizikal sejak lahir.
Bagi bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mak Mandin itu, dia berasa puas apabila usahanya selama ini membuahkan hasil.
“Saya perlu berusaha dua kali ganda. Mujur rakan-rakan membantu jika saya tidak hadir ke sekolah kerana perlu ke hospital untuk rawatan susulan.
“Ibu dan ayah banyak berkorban menghantar saya ke sekolah dan hantar bekal jika ada kelas tambahan. Saya jangka dapat 3A, namun percaturan Allah itu lebih baik,” katanya.
Remaja itu bercadang melanjutkan pengajian dalam bidang seni atau animasi.

Di Kuantan, Calon Berkeperluan Pendidikan Khas, SMK Bukit Rangin, Muhammad Aziq Asri, 18, yang menghidap mild autisme sejak berusia lima tahun memperoleh 8A1B.
Budaya membaca sama ada buku atau internet ternyata membuahkan hasil. Muhammad Aziq bercita-cita mahu bergelar sejarawan kerana minat mendalam dalam bidang sejarah.
Di Kuala Terengganu, Khairulanwar Zakaria, 19, dari SMK Bukit Besa yang cacat penglihatan pula tidak menyangka memperoleh 5A+ dan 2A sekali gus menjadi antara calon SPM terbaik Terengganu.
Remaja itu dilahirkan normal sebelum disahkan buta pada usia 13 tahun.
“Saya akui memang sedih dan tidak bersemangat kerana merasakan masa depan sudah gelap. Namun, perkongsian insan senasib yang cemerlang dan sokongan keluarga menjadi pembakar semangat,” katanya.
Khairulanwar mempelajari tulisan Braille sehingga berjaya menguasainya dalam tempoh setahun. Selain itu, dia turut mendengar video di YouTube bagi menambahkan lagi pemahamannya dalam pelajaran.
Remaja itu merancang untuk melanjutkan pelajaran ke Institut Pendidikan Guru bagi mencapai cita-cita bergelar guru.
Di Kuala Pilah, calon orang kelainan upaya (OKU) pembelajaran, Khor Wei Qian, 18, membuktikan usaha bersungguh-sungguhnya berhasil apabila mendapat keputusan 7A.
Bekas pelajar SMK Chan Wa II, Seremban itu merupakan antara empat pelajar istimewa yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.
“Mula-mula memang sukar hendak fokus belajar. Saya ada abang OKU dan dia membantu walaupun masing-masing kekurangan. Ibu dan bapa saya sanggup menghantar ke kelas tuisyen, saya berjanji tidak akan sia-siakan mereka,” katanya.
Di Gua Musang pula, rabun mata kiri tidak menghalang Nurul Izatul Husna Ismaliah, 18, untuk mendapat 9A.
“Saya menggunakan mata kanan untuk melihat dan belajar dengan bersunguh-sungguh.
“Yang penting sentiasa fokus, saya belajar rajin-rajin kerana mahu bergelar seorang pensyarah suatu hari nanti,” katanya.















