PETALING JAYA – Measurement & Verification Sdn. Bhd. (M&V) dan Measurement & Verification Pte Ltd (M&V SG) mengumumkan bahawa kontrak yang dimilikinya kini telah terkumpul sebanyak RM128 juta.
Kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada hasil Kumpulan induk tidak langsungnya iaitu PRG Holdings Berhad untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Naib Pengerusi Eksekutif PRG, Datuk Lua Choon Hann berkata, dengan nilai kontrak yang diperoleh sepanjang bulan Januari hingga Mei lalu sebanyak RM38 juta, maka jumlah terkumpul kontrak yang dimiliki kini adalah sebanyak RM128 juta.
Ini melibatkan kerja-kerja berkaitan resort bersepadu, pusat data dan juga pelbagai tempahan daripada projek sedia ada di Singapura dan Malaysia.
“Pencapaian ini menjadikan kami sebagai salah satu pemimpin pasaran dalam segmen kecekapan tenaga tempatan.
“Untuk perancangan masa depan, kami berkeyakinan bahawa pencapaian ini akan memberi impak positif kepada Kumpulan ekoran fokus kami berasaskan kepada ekonomi hijau,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan.
Tambah beliau, kontrak baharu yang dianugerah itu membayangkan keyakinan pelanggan dan kepercayaan mereka terhadap kemahiran serta kedudukan syarikat dalam bidang penyelesaian kecekapan tenaga. KOSMO!ONLINE














