fbpx
UYAINA ARSHAD

Uyaina Arshad gah di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEDAR skil pengacaraan memerlukan daya kreativiti dan keunikan identiti untuk terus relevan, Uyaina Arshad menjadikan kemampuan bertutur dalam bahasa asing sebagai senjata penting.

Satu per satu rezeki datang bersilih ganti mewarnai kariernya. Bermula sebagai pengacara, wajahnya kini menjadi penyeri naskhah televisyen serta duta produk.

Semua pencapaian tersebut secara tidak langsung menjadi bekal, untuk pemilik nama lengkap Saidatul Naseha Uyaiana Arshad itu terus mekar dalam landskap hiburan.

Dari segi pengacaraan, ternyata Uyaina bukan jaguh kampung. Sayap pengacaraannya pernah menyerlah sehingga ke Indonesia sebaik menerima tawaran sebagai hos program hiburan D’Academy Asia musim keempat pada 2018.

Tidak terhenti untuk satu musim, kali ini rezeki D’Academy Asia masih memihak kepadanya apabila sekali lagi ditawarkan sebagai hos musim keenam selepas rancangan televisyen berkonsepkan pertandingan nyanyian dangdut itu ditangguhkan dua tahun akibat Covid-19.

“Bagi menyempurnakan D’Academy Asia, saya terikat dengan kontrak selama tiga bulan, selain perlu berada di sana untuk melunaskan amanah sebagai hos.

“Begitupun, ini bukan masalah kerana saya boleh berulang alik antara Kuala Lumpur dan Jakarta sepanjang tempoh itu.

“Sebelum ini pun saya sudah biasa berulang terutama bagi menunaikan amanah mengendalikan Wanita Hari Ini (WHI) sejak tujuh tahun lalu,” katanya.

Sejak mendirikan rumah tangga dan sudah mempunyai putera sulung bernama Raja Urhan, Uyaina menyangka pihak pengelola rancangan tersebut tidak memerlukan khidmatnya.

Bahasa Turki

Bagi memantapkan kemahiran sebagai pengacara, pelakon drama Love Elsa itu turut mempelajari bahasa Turki memandangkan tahun ini D’Academy Asia menjemput wakil dari negara yang kaya dengan warisan sejarah itu.

Peluang mempelajari bahasa Turki digunakan sebaiknya oleh Uyaina yang diharap dapat meningkatkan lagi kefahaman mengemudikan program terbabit.

MESKIPUN jadual yang agak sibuk, Uyaina sangat bersyukur mempunyai suami yang sentiasa memberikan sokongan kepadanya. – FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR.

“Tahun ini, D’Academy Asia lagi besar kerana selain peserta negara Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina, Brunei, Singapura dan Timor Leste, mereka mengambil penyertaan daripada Turki.

“Jadi, saya mengambil inisiatif untuk belajar bahasa Turki kerana kekuatan saya mengacarakan sesebuah program adalah dari segi kemahiran berbahasa.

“Bahasa Turki adalah bahasa yang ingin saya pelajari sejak dahulu lagi kerana saya suka dengan sejarah negara itu,” katanya kepada HibGlam.

Biarpun keinginan mempelajari bahasa Turki sangat menebal, bekas pengacara Ratu Hijabista itu akui agak sukar untuk memahami dan mencari guru yang sesuai.

“Sekarang saya belajar dengan seorang tutor dan agak susah cari sehingga saya perlu ke kedutaan negara itu.

SEDAR dengan kebolehan pengacaraan yang tidak mampu melawak, Uyaina mempelajari bahasa asing sebagai strategi mengacara.

“Boleh tahan susah juga mempelajari bahasa Turki tetapi harapan saya dapat memperbaiki lagi pengetahuan bahasa asing.

“Meskipun sukar, saya sanggup mencabar diri mempelajari bahasa luar kerana dapat menambah kemahiran dalam diri,” jelasnya yang mahu terus menjadi pengacara prolifik selagi diterima dalam industri.

Letak syarat

Untuk musim baharu, Uyaina, 30, bakal bergabung dengan barisan rakan seperjuangan lain seperti Ramzi, Gilang Dirga, Irfan Hakim dan Jirayut Afisan.

“Saya fikir mereka tidak mahu menjemput saya lagi memandangkan saya sudah berkahwin dan mempunyai anak.

“Apabila menerima tawaran itu, saya cuma memberikan syarat menginginkan sebuah tempat selesa untuk didiami kerana saya ingin bawa anak, pembantu dan ibu saya.

“Nyata pihak produksi sangat bertimbang rasa apabila memenuhi permintaan berkenaan,” tuturnya yang pernah dua musim berturut-turut mengacarakan program D’Academy Asia.

Bercakap tentang perkembangan terbaharu, Uyaina kini merupakan duta kepada produk kesihatan, Herbs of Gold keluaran syarikat Australia yang diasaskan pada tahun 1989.

Duta jenama Australia

Diberi tanggungjawab sebagai duta untuk jenama yang sekian lama diyakini pengguna, dia teruja meraih kepercayaan jenama luar negara apatah lagi menjadi wajah pertama jenama tersebut bagi memperkenalkan rangkaian produk halal.

“Alhamdulillah dapat menjadi tawaran sebagai duta produk kesihatan ini bermula pada hujung Mei sehingga Disember kelak.

“Saya sangat berbesar hati kerana dikenali dan mendapat kepercayaan sebuah syarikat jenama antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, selebriti asal Kuala Kangsar itu juga sibuk menyusun jadual lakonan dan pengacaraan yang perlu dipenuhi dalam tempoh terdekat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN