KEHIDUPAN ini bagi sebahagian individu amat mencabar yang menguji daya tahan dan juang diri seseorang. Cabaran hidup bertambah kuat tatkala berdepan konflik demi konflik tanpa diundang.
Mereka yang sukses mengharunginya boleh berbangga menceritakan ia suatu pengalaman yang mendewasakan.
Bagi sesiapa yang masih tewas terpaksa terus berdepan tekanan sehingga mampu mengundang implikasi kesihatan.
Rakan penulis yang hanya mahu dikenali sebagai Amy, 44, mengakui dia antara insan yang berdepan banyak cabaran hidup.
Dia berdepan dengan kegagalan demi kegagalan dalam perniagaan sehingga mengalami tekanan kewangan yang amat teruk.
“Sekarang aku kerap kena serangan panik sampaikan aku tak berani pandu kereta. Tiba-tiba jadi cemas dan ketakutan. Berdebar, berpeluh dan gelisah tidak tentu arah.
“Aku sangat susah hendak tidur. Kalau cerita kepada orang lain, tidak ramai yang boleh faham apa aku alami.
“Keadaan kewangan yang teruk dengan kos sara hidup yang tinggi buat aku makin tertekan. Satu hari aku boleh kena dua, tiga kali serangan panik,” katanya kepada penulis baru-baru ini.
Amy berkata, keadaan fizikalnya kian merosot sehingga berat badan menurun dengan ketara kerana terlalu runsing memikirkan masalah dihadapi.
Bagaimanapun, dia belum bercadang mendapatkan rawatan psikiatri kerana mahu cuba memperbaiki keadaannya tanpa makan sebarang ubat.
Pengakuan ikhlas Amy mungkin antara secebis kisah permasalahan tekanan hidup yang sedang dihadapi oleh sebahagian anggota masyarakat ketika ini.
Laman Twitter Menteri Kesihatan pernah memaklumkan, serangan panik yang teruk boleh menyebabkan seseorang hilang kepentingan dalam sosial, pekerjaan dan personaliti.
Serangan panik antara lain menyebabkan seseorang berasa pening kepala, mata berpinar, nafas tidak lancar, berdebar dan rasa tercekik secara tiba-tiba.
Antara langkah atau rawatan awal yang boleh diambil adalah dengan mengamalkan teknik relaksasi pernafasan, otot progresif, ibadah dan meditasi.
Meskipun seseorang pesakit bercadang merawat sendiri penyakit dialami, namun masih memerlukan panduan pakar kesihatan agar ia berkesan.
Kesimpulannya, isu tekanan hidup sehingga mengundang kepada serangan panik wajar diberikan perhatian secara serius oleh semua pihak.
Ia bukan lagi soal siapa berjaya atau gagal dalam kehidupan, tetapi menjurus kepada aspek kesihatan termasuk risiko mengalami kemurungan.
Peningkatan kes serangan panik bukan sesuatu yang diingini kerana mampu memberi kesan kepada produktiviti selain menambah beban kos rawatan kesihatan.
Bekas juara tenis, Simona Halep pernah tersingkir di Terbuka Perancis tahun lalu akibat mengalami serangan panik.
Pemain Romania itu tiba-tiba rebah dari kerusi pada hujung set pertama sehingga memerlukan rawatan doktor.
“Ia adalah serangan panik. Saya tidak tahu bagaimana menanganinya kerana jarang berlaku,” kata bekas juara Terbuka Perancis pada 2018 dan Wimbledon pada 2019 itu.














