Kerajaan diminta bertindak membuat persediaan dari sekarang dalam menjaga kebajikan warga emas lebih-lebih lagi Malaysia akan menuju negara tua pada tahun 2030. – GAMBAR HIASAN

Segerakan gubal Akta Warga Emas lindungi ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kerajaan diminta mengambil tindakan segera mewujudkan akta khas bagi melindungi kebajikan warga emas daripada terus menjadi mangsa penganiayaan pihak tidak bertanggungjawab terma­suk anak-anak sendiri.

Setiausaha Persatuan Kebajikan Mahmudah Malaysia, Muhammad Syafiq Mohiadin berkata, langkah itu adalah perlu memandangkan terdapat ba­nyak kes penganiayaan melibatkan golongan tersebut yang dilaporkan ketika ini

“Kita mahu akta itu menjadi undang-undang tegas dalam melindungi warga emas berkaitan kes penganiayaan termasuk dibuang oleh darah da­ging sendiri lebih-lebih lagi ketika mereka sakit.

“Jika kita lihat, ada akta bagi ibu bapa yang membuang anak-anak seperti Akta Kanak-kanak 2001, namun tidak ada peruntukan bagi anak-anak yang membuang ibu bapa.

“Jadi, perkara itu perlu diperhalusi dengan segera lebih-lebih lagi ketika Malaysia menuju negara tua pada 2030,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Berita berkaitan: Hospital tempat si tanggang moden ‘buang’ orang tua

Sebelum ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dilaporkan akan mewujudkan Akta Warga Emas bagi melindungi kebajikan golongan itu sebagai persediaan Malaysia mencapai status negara tua pada 2030.

Kementerian itu akan meneliti kesesuaian undang-undang bagi mewajibkan potongan gaji kepada anak yang menghantar ibu bapa ke pusat penjagaan.

Sementara itu, Peguambela dan peguamcara, Mohd. Zainuddin Omar berkata, cadangan denda untuk anak yang mengabaikan ibu bapa perlu diperhalusi secara menyeluruh sebelum sebarang akta diwujudkan.

“Sebelum denda dikuatkuasakan, kerajaan perlu wujudkan obligasi atau senarai tanggungjawab yang perlu dipatuhi. Jika gagal, baru denda. Ia perlu dibuat secara menyeluruh bukannya secara tergesa-gesa,” katanya

Senarai itu bukan tertumpu kepada anak semata-mata, sebaliknya masyarakat dan kerajaan.

“Di India, obligasi bukan untuk anak, tetapi kerajaan perlu sediakan fasiliti dan bertanggungjawab atas warga emas,” jelasnya.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Universiti Utara Malaysia, Prof Dr. Ahmad Martadha Mohamed pula berkata, kerajaan perlu memberi fokus kepada fasiliti seperti pembinaan nursing home selain elemen perundangan bagi memastikan kebajikan warga emas kekal terjaga.

“Apa diperlukan ketika ini ialah memperhebatkan pembangunan rumah kebajikan untuk warga emas mengikut standard serta sesuai keadaan semasa,” ujarnya.

Selain itu, JKM juga disaran menyediakan talian khas bagi membolehkan warga emas terlibat kes aniaya atau dibuang keluarga membuat aduan seterusnya diselamatkan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN