BEBERAPA tahun kebelakangan ini kebanyakan jenama kereta di Malaysia memfokuskan kepada kenderaan elektrik (EV) dan agak jarang yang melancarkan jentera berprestasi untuk peminat di negara ini.
Dalam pada giat melancarkan model-model EV, Mercedes Benz Malaysia (MBM) sebenarnya masih menjual model barisan kenderaan berprestasi (performance vehicle) dengan tanda nama AMG.
Semua kenderaan AMG menggunakan enjin yang dibina atau disiapkan oleh seorang individu dan setiap enjin AMG akan ditempa dengan nama individu tersebut pada enjin berkenaan.
Baru-baru ini penulis telah dipelawa untuk memandu uji salah satu unit dalam barisan kenderaan AMG yang ditawarkan MBM. Pihak MBM telah memberikan model AMG A45S 4MATIC+ berwarna hitam selama beberapa hari.
Keterujaan penulis pada model ini adalah pada enjinnya yang diberi gelaran sebagai enjin 2.0 paling berkuasa di dunia.

Model ini menggunakan enjin empat silinder 2.0 liter turbo dengan transmisi lapan kelajuan DCT. Kombinasi itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 421hp dan tork tertinggi pada 500Nm.
Dengan pacuan semua roda yang ditawarkan, kereta ini mampu memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam masa 3.9 saat. Penulis dimaklumkan kelajuan maksimumnya mencecah 270km/j.
Pada pandangan penulis, sistem pacuan semua roda antara faktor yang menyumbang kepada pemanduan dinamik pada jentera ini.
Ciri AMG ride control suspension juga memberi pengendalian lebih mantap dengan kawalan lebih baik untuk sebuah kenderaan berprestasi tinggi.
Model yang penulis pandu uji ini sebenarnya merupakan model gantian dan dipertingkat selepas kejayaan model AMG A45S 4MATIC+ Edition 1 pada tahun 2020.
AMG A45S 4MATIC+ menawarkan rekaan pada bahagian luaran yang unik dan menarik seperti jeriji gril AMG, selain digayakan dengan rim AMG berukuran 19 inci.
Ia juga hadir lengkap dengan sistem brek berprestasi tinggi serta kaliper berwarna merah dan tulisan AMG berwarna hitam.

Antara kemasan luaran yang hadir bersama jentera ini seperti AMG front splitter, panel ambang sisi dengan sisipan AMG, aero belakang AMG dan corong ekzos pada apron belakang dalam warna hitam berkilat yang mengukuhkan lagi watak sporty dan garang.
Masuk ke bahagian dalam, jentera ini turut ditambah dengan elemen AMG untuk memberi mod sukan. Sebagai contoh, ia dilengkapi dengan stereng AMG Performance dengan kulit nappa dan tempat duduk AMG
Performance yang hadir dengan gentian mikro DINAMICA serta tali pinggang keledar berwarna merah yang memberi mood ‘racing’.
Selain itu, ciri-ciri keselamatan turut diberi perhatian kerana mereka menawarkan antara yang terbaik seperti Active Brake Assist,Active Lane Keeping Assist, Active Parking Assist dengan PARKTRONIC, Anti-theft Alarm System dan Blind Spot Assist.
Ia juga hadir bersama KEYLESS-GO, Kneebag, sistem PRE-SAFE®, kamera undur, TIREFIT dan sistem pemantauan tekanan angin tayar.
Kesimpulannya model ini antara hatchback berprestasi tinggi yang ditawarkan dalam Malaysia dan mungkin bersaing dengan Volkswagen Golf R dan Audi RS3.
Tawaran diberikan Mercedes pada model ini pada penulis lebih daripada memadai untuk sebuah kenderaan pakej prestasi untuk mereka yang inginkan sebuah kenderaan berkuasa.
Mercedes turut menawarkan pakej yang sama pada sebuah sedan dengan tanda nama AMG CLA45 4MATIC+ cuma kadar pecutannya perlahan 0.1 saat berbanding hatchback.














