fbpx
SEORANG penghuni menceritakan kisah sedih hidupnya yang diabaikan anak-anak di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia di Semenyih baru-baru ini.

Anak tinggal bapa di pusat jagaan lepas bolot RM140,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Seorang warga emas yang merupakan mualaf mendedahkan dirinya diabaikan keluarga selepas anak kandungnya membolot wang pampasan kemalangan bernilai RM140,000 yang diterimanya pada 2020.

Menceritakan peristiwa malang itu, lelaki yang ingin dikenali sebagai Lim, 74, berkata, wang pampasan itu diterimanya selepas terlibat kemalangan pada 2018, namun semuanya diambil anaknya hingga menyebabkan dia hidup terabai dan tidak mempunyai wang.

“Saya memeluk Islam pada 2016 dan bekerja sebagai penjaga sebuah projek di Batang Kali, Selangor. Bagaimanapun, pada 2018 saya terlibat kemalangan dan tidak mampu be­kerja.

“Semasa menunggu pampasan, anak-anak begitu baik dengan saya dan menjanjikan untuk membeli pelbagai kelengkapan hari­an menggunakan wang berke­naan.

“Tetapi, selepas menerima wang tersebut, mereka mula berubah sikap dan mengabaikan saya hingga ada kalanya diberi sisa makanan yang tidak dihabiskan mereka,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mohamad Lim merupakan antara penghuni yang menetap di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia sejak tahun 2020 selepas tidak lagi dipedulikan oleh empat anaknya yang dipercayai menetap di sekitar Lembah Klang.

Ketika ditanya mengenai keberadaan isterinya, Lim berkata, suri hatinya itu kini tinggal dengan salah seorang anaknya, tetapi turut hidup menderita kerana dilayan seperti orang suruhan.

“Saya tahu isteri juga tidak gembira tinggal dengan mereka, sewaktu anak pergi kerja, dia perlu menjaga cucu walaupun sudah tua.

“Isteri beritahu, dia juga pernah makan nasi sejuk yang dipanaskan dengan air panas bersama kicap masin kerana anak-anak jarang sediakan makanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, seorang lagi penghuni Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia memasang impian agar dapat bertemu dengan cahaya mata tunggalnya sebelum ‘menutup mata’ berikutan lama memendam rasa rindu selepas kali terakhir berjumpa pada 2015.

Penghuni yang ingin dikenali sebagai Ahmad,53, sentiasa berdoa agar Allah mempermudahkan urusan bertemu anak perempuannya yang kini berusia 22 tahun.

“Saya pernah berkahwin dan dikurniakan cahaya mata perempuan sebelum bercerai d­engan isteri pada 2015. Selepas bercerai, difahamkan anak saya dibesarkan neneknya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

“Sebelum jatuh sakit, saya sentiasa berusaha untuk bertemu dengannya, tetapi tidak mempunyai maklumat tepat tentang keberadaannya.

“Justeru, saya begitu berharap agar dapat bertemu dengannya sebelum meninggal kerana terlalu merinduinya. Doa dan harapan saya tidak pernah putu,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mengulas mengenai kehidupannya, Azhari berkata, dia hidup sebatang kara selepas bercerai dengan isterinya dan bekerja sebagai pembantu restoran di Bangsar, Kuala Lumpur.

“Selepas itu, saya disahkan menghidap penyakit gout dan hospital merujuk ke rumah perlindungan memandangkan saya hidup bersendirian.

“Alhamdulillah, semuanya terjaga di sini dan saya anggap ia sebagai peluang kedua untuk memperbaiki diri,” ceritanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN