MENGGALAS peranan sebagai seorang ibu kepada dua cahaya mata ‘memaksa’ Jihan Muse memperlahankan seketika langkah seninya sebagai pengacara dan pelakon ketika ini.
Setiap kali nama Jihan Muse diumumkan sebagai pengacara untuk sesebuah program, pasti ramai tidak sabar menantikan untuk menyaksikan gelagat bersahajanya.
Program paling sinonim pastinya Gegar Vaganza yang dikendalikan bersama pelawak, Nabil Ahmad sejak 2014.
Sayangnya, kelibat pemilik nama penuh Nuur Jihan Musa semakin hilang dari radar televisyen sejak melahirkan anak keduanya, Ungku Altamis Barr Ungku Faizal Haris pada September tahun lalu.
Bukan sengaja meminimakan kemunculannya, Jihan menegaskan keluarga dan anak-anak menjadi prioriti pada hari ini.
Akuinya, melihat dua cahaya mata iaitu Ungku Arsalan Haq dan Ungku Altamis membesar di depan mata merupakan kepuasannya sebagai seorang ibu.
“Sejak kebelakangan ini, ramai bertanya pada saya mengapa jarang muncul dalam televisyen sehingga ada menyangka sudah bersara.

Jaga anak
“Saya belum bersara tetapi cuma perlahankan aktiviti seni dan beri fokus menjaga dua orang anak yang sedang membesar,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Katanya, memilih untuk menguruskan keluarga dan menjaga sendiri anak-anak juga merupakan cabaran yang diberikan suami, Ungku Hariz kepadanya.
“Suami mencabar saya untuk menguruskan sendiri keluarga dan saya menyahutnya, sekali gus ingin membuktikan mampu melakukannya dengan baik.
“Apabila menjadi suri rumah, baru saya sedar tugas ini sangat berat dan mencabar tetapi syukur suami sangat membantu,” jelasnya.
Enggan terlepas momen anak-anak membesar, itu yang berulang kali diucapkannya.
“Ada rakan artis beritahu mereka kesal sebab terlalu sibuk bekerja dan tidak dapat meluangkan masa melihat anak-anak sepanjang proses pembesaran.
“Perkara itulah yang saya jadikan pengajaran sebab tidak mahu apabila terlalu sibuk bekerja dan terlepas banyak momen bahagia bersama anak-anak,” katanya lagi.
Dalam masa sama, walaupun sudah mempunyai dua orang anak, Jihan mengakui dirinya bukanlah seorang ibu yang hebat.
“Saya sendiri yang mahu cabar diri. Saya tiada masalah untuk bekerja di hadapan ribuan orang. Tetapi kalau di rumah, saya akui, masih belum cukup hebat.
“Mungkin saya rasa hebat dalam kerjaya seni tetapi sebagai seorang ibu, belum hebat,” jelasnya.

Dera
Melanjutkan bicara, selebriti yang memulakan langkah seni selaku pelawak itu mengakui, kes penderaan kanak-kanak yang kerap berlaku memberi kesan terhadap emosinya.
Pelakon drama Keluarga Baha Don itu juga tidak akan menonton video-video penderaan yang tular dalam media sosial.
“Saya sangat terkesan. Apabila ramai yang berkongsi video-video penderaan kanak-kanak, saya tak tonton pun.
“Saya tak mampu nak menonton tragedi tragis sebegitu. Bagi saya, lebih baik jangan tonton sebab sebelum ini pernah tertengok kemudian beri impak sehingga berhari-hari stres,” katanya lagi.
Kata Jihan, kes penderaan kanak-kanak yang semakin meruncing juga antara antara asbab dia memilih menjaga anak sendiri di rumah.
Baginya, tiada individu yang mampu untuk mengasuh kanak-kanak sehebat ibu bapa sendiri.Enggan sesal esok hari – Jihan Muse
“Kes-kes penderaan merupakan antara salah satu punca saya tidak menghantar anak ke pusat asuhan.
“Rasa susah nak percaya pada orang lain untuk menjaga anak. Pendapat saya, kita jaga anak sendiri pun tidak sempurna, inikan pula orang lain.
“Siapa yang mahu menjaga anak orang lain sehebat ibu bapa sendiri?” ujarnya lagi.

Penyiasat
Berkongsi perihal kerjaya, wanita berusia 39 tahun itu bakal muncul dalam program I Can See Your Voice Malaysia musim keenam sebagai panel penyiasat tetap.
“Gandingan saya bersama Khir Rahman, Ropie Baby Shima memang cetuskan huru-hara program.
“Sangat seronok apabila mendapat tawaran ini kerana pendapat panel penyiasat mampu memberi impak kepada pemilihan pemenang untuk setiap episod,” ungkapnya.
Dia turut memuji gandingan pengacara iaitu Shiha Zikir dan Izzue Islam yang berjaya mengawal kekecohan dalam setiap episod.
“Mereka berdua sangat energetik, musim kali ini memang lain dan gamat,” ujarnya seraya mengakhiri perbualan.















