SEBERANG PERAI – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini menggesa kerajaan negeri khususnya wakil rakyat setempat agar lebih cakna dalam isu melibatkan pelarian asing warga Rohingya yang tinggal di kawasan masing-masing.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang (Surplus), Sophian Mohd. Zain berkata, kumpulan pelarian itu bukan sahaja semakin berkembang dan mampu membentuk sebuah komuniti yang lebih besar, malah kehadiran mereka juga telah menidakkan hak warga tempatan dalam sesetengah kes.
“Macam mana mereka boleh biarkan pelarian ini masuk dan tinggal di sini untuk tempoh yang lama?
“Mahu duduk di sini, kena ikut apa yang ditulis dalam kad UNHCR (Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian). Dalam kad kata tak boleh kerja. Kalau mereka kerja juga, mereka sudah rampas hak rakyat Malaysia untuk bekerja,” katanya ketika mengetuai pasukan Terjah Surplus Pulau Pinang di pekarangan sebuah pangsapuri di Bagan Dalam, Butterworth di sini baru-baru ini.
Dianggarkan, lebih 200 warga Rohingya tinggal di kawasan pangsapuri itu sejak lebih dua dekad yang lalu.
Selain ‘berlagak’ seperti warga tempatan, sebahagian daripada etnik Rohingya turut dikatakan membuka perniagaan sendiri serta mampu membeli motosikal secara tunai walaupun menggunakan nama orang lain dalam geran kenderaan tersebut.
Mengulas lanjut, Sophian berkata, niat kumpulan NGO sepertinya adalah untuk membantu kumpulan pelarian itu dan bukan menyusahkan lagi kehidupan mereka.
Bagi Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Raudhatul Huda, Azmi Jaafar, program gempur warga Rohingya itu bertujuan membuka mata dan memberi ‘signal’ yang jelas kepada NGO atau aktivis prokemanusiaan untuk turun padang dan membantu golongan berkenaan.
“Kita tahu mereka ini tak boleh bekerja di sini. Tapi, kalau mereka tak kerja, siapa nak bagi mereka makan? Anak-anak nak sekolah?
“Katanya UN ada salurkan dana kepada kumpulan pelarian ini melalui NGO-NGO hak asasi manusia ini. Di manakah dana itu? Mengapa tak sampai kepada mereka?” soalnya.
Dalam pada itu, seorang wakil kepada penduduk Rohingya di kawasan itu memberitahu, sebahagian besar daripada mereka telah memohon untuk ke negara ketiga dan ada yang telah menjalani sesi temu duga bersama Jabatan Imigresen untuk tujuan itu.
“Sepanjang tinggal di Pulau Pinang ini, memang kami tak pernah dapat sebarang bantuan daripada UN. Jadi terpaksa bekerja untuk teruskan kehidupan,” katanya yang berterima kasih kepada kerajaan serta rakyat Malaysia kerana diberi peluang untuk tinggal di negara ini.














