fbpx
ANUAR ZAIN

Anuar Zain pegang prinsip ‘jangan menyombong’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BAGAI mendengar alunan dendangan, patah bicara penyanyi Anuar Zain mengenai ketenangan dalam hidup membayangkan betapa harmoninya situasi yang dilalui lelaki budiman itu.

Tiada lagi perkara yang hendak dikejarkan, mahu pun kemasyhuran yang menjadi dambaan selepas hampir empat dekad mengukuhkan nama sehingga mampu berdiri sebagai penghibur kesayangan ramai.

Buat figura yang selesa dipanggil abang Nuar itu, sama ada dalam bekerja mahupun kehidupan bermasyarakat, sikap mesra dan hormati orang sekeliling menjadi amalannya.

Tidak hairan, walaupun sudah berada di puncak kehidupan dan karier, penyanyi berusia 53 tahun itu tidak keberatan untuk bergandingan seiringan dengan pelajar sekolah, bakat muda daripada Orkestra Simfonik Wind Seri Puteri (SPWinds).

Perkongsian menerusi Flourishes 23: Symphonic Gala Concert di Istana Budaya tempoh hari sebenarnya bermatlamat mengumpul dana untuk pelajar-pelajar itu berlepas ke kejohanan orkestra di Barcelona, Sepanyol antara 12 sehingga 17 September depan.

NOSTALGIA lalu sentiasa mengingatkan Anuar supaya sentiasa berpijak di bumi nyata dan tidak mudah tenggelam dengan pujian.

“Be friendly (berbuat baik). Itu saja. Dengan sesiapa pun kita jangan menyombong. Hormati insan di sekeliling kita membuatkan orang lain melakukan tindakan sama kepada kita.

“Macam tempoh hari, saya dijemput untuk membawakan tiga lagu dalam konsert istimewa di Istana Budaya dengan diiringi kumpulan orkestra membabitkan 91 pemuzik remaja berbakat besar.

“Apabila bekerja kita perlu ada keserasian dan saya yang berbangga dapat bersama mereka merealisasikan konsert khas ini memulakan komunikasi menerusi kemesraan.

“Kita sendiri kena mulakan. Bukan tumpukan pada latihan saja, sebaliknya dekati emosi mereka dengan berkawan seterusnya dari situ kita bina keyakinan dan persefahaman.

“Kalau tidak setuju dengan sesuatu perkara pula, kita nyatakan secara baik. Hidup ini mudah, kita pilih harmoni dan tenang-tenang saja,” katanya yang membawa tiga lagu dalam konsert berkenaan.

Nyanyi itu kerja

Menurut pelantun lagu Sedetik Lebih itu lagi, pembawaan bersederhana sejak usia awal belasan tahun terbabit dalam dunia rakaman juga antara yang membuatkannya sentiasa beringat.

Kata pemilik nama lengkap Shahrul Anuar Zain itu, ibu bapanya menitikberatkan sopan santun selain mengingatkannya, menyanyi sebagai sebahagian daripada tanggungjawab, bukan lesen untuk bermegah.

AKUI Anuar, persahabatannya dengan rakan duet, Ellina sejak berusia belasan tahun terus mekar sehingga ke hari ini.

“Dahulu kalau cuti sekolah saya akan berada di RTM selama lima hari untuk kerja rakaman persembahan dan beberapa tugasan lain.

“Masa itu saya sekitar umur 13, 14, tahun. Tak rasa pun saya ini artis atau orang kenal, sebab macam ayah cakap itu juga tuntutan kerja yang perlu dilunaskan.

“Pemahaman sebegitu terus saya pegang sampai sekarang. Tak kira di mana pun jangan lupa diri,” katanya yang pernah menyerlah bersama rakan duet, Ellina Razak.

Berkongsi pengalaman lalu, terutama ketika pertama kali digandingkan untuk membawakan lagu raya, Anuar sebenarnya sangat kekok semasa di studio rakaman.

Seperti Ellina, Anuar yang ketika itu berumur 14 tahun malu-malu, namun akhirnya dendangan yang malar segar hingga kini dapat direalisasikan.

“Biasalah budak-budak lagi, segan sebab belum kenal. Kami ikut saja apa dipinta dan tak sangka selepas berpuluh tahun Suasana Hari Raya masih menjadi siulan musim Aidilfitri,” ujar Anuar.

Ellina macam adik-beradik

Mengakui masih berhubung dengan rakan duetnya hingga sekarang, bekas ketua pramugara itu menghormati keputusan Ellina meninggalkan dunia seni untuk fokus terhadap keluarga.

Menurut Anuar lagi, sahabat yang sudah dianggap sebagai ahli keluarga sendiri itu sedang menikmati jalur kehidupan serba harmoni bersama suami dan empat cahaya mata yang sudah dewasa.

“Kali terakhir saya jumpa hari raya tahun lalu, tetapi kami kerap berhubung sebab dia pun tinggal di Kuala Lumpur.

“Ellina lebih selesa dengan kehidupan bersama keluarganya.

“Apa pun sebagai kawan saya pun tumpang gembira. Sampai sekarang dia antara insan yang selalu bagi dorongan,” luahnya dengan nada teruja.

Enggan jadi juri

Menyentuh pendirian enggan menjadi juri, ulas penghibur berpengalaman itu, elemen negatif dicetuskan pihak yang tidak boleh menerima komen menjadi alasan kuat penolakannya.

Sejak 15 tahun lalu, sudah banyak tawaran sebagai juri program nyanyian ditolaknya secara berhemah selepas mengambil kira pelbagai faktor.


BERAKSI bersama bakat muda Orkestra Simfonik Wind Seri Puteri (SPWinds) dalam Flourishes 23: Symphonic Gala Concert di Istana Budaya memberi pengalaman manis buat Anuar.

“Secara peribadi, penjurian bukan bidang saya. Ini bagi pihak saya sendiri, jangan salah anggap pula. Terpulang pada orang lain untuk menerima tanggungjawab tersebut.

“Biarlah saya menyanyi dan buat persembahan sahaja. Saya rasa tak sesuai dan tak layak menilai orang lain walaupun acara hiburan itu berprestij.

“Penyokong yang terlalu sayangkan seseorang penyanyi, adakalanya beremosi sampai tidak dapat menerima komen juri, sedangkan pihak terbabit memberi teguran jujur demi kebaikan peserta,” ungkapnya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN