PETALING JAYA – Pertama kali mengadakan konsert di Malaysia, penyanyi Indonesia Andmesh Kamaleng mengakui telah dilamun cinta.
Jatuh cinta bukan dengan mana-mana wanita tempatan tetapi dengan juadah yang disajikan di negara ini terutama, mi goreng mamak.
Kata Andmesh, 26, sebelum bertandang ke Malaysia, dia telah ‘merisik’ lokasi makanan enak yang ada di negara ini daripada rakan-rakan yang pernah datang ke sini.
“Soalan pertama yang saya tanya kepada rakan-rakan yang pernah ke Malaysia ialah tempat makan yang enak.
“Saya kemudiannya telah dibawa ke restoran mamak dan mencuba mi goreng mamak. Ternyata rasanya enak!
“Saya juga memesan teh ‘o’ ais, tetapi tersalah sebut dengan memesan ‘teh ais’ (teh bersama susu). Rasanya juga enak,” ujar Andmesh kepada Kosmo! Online.
Bahkan, penyanyi asal Nusa Tenggara Timur itu juga sempat membungkus mi goreng mamak untuk dinikmati di hotel tempatnya menginap.
“Saya sangat suka mi goreng mamak kerana rasanya lengkap dengan rempah. Terasa unik sekali,” jelasnya.
Ketika disoal tentang persiapannya menjelang hari konsert pada 4 Jun depan, Andmesh memberitahu, dia mendapat rujukan daripada rakan-rakan artis yang pernah melakukan persembahan di Malaysia seperti Rizky Febian dan Mahalini.
“Saya meletakkan prinzip dalam diri iaitu untuk tampil dengan idea kreatif dan tersendiri.
“Kata teman-teman (Rizky dan Mahalini), sambutan peminat di Malaysia sangat ‘asik’ (hebat). Itu yang membuatkan saya bertambah teruja, ” katanya.
Andmesh yang ditemui sewaktu sidang media di The Curve Mutiara Damansara turut menghiburkan tetamu dengan lantunan vokal dua buah lagu popularnya, Cinta Luar Biasa dan Hanya Rindu.
Konsert Andmesh Kamaleng Live in Kuala Lumpur akan berlangsung pada 4 Jun 2023 bertempat di Dewan Plenary KLCC. – KOSMO! ONLINE














