PUTRAJAYA – Individu yang memilih jalan hidup untuk kekal bujang mempunyai risiko sunyi menjelang usia emas kerana tidak mempunyai sokongan seperti anak-anak atau pasangan untuk berkongsi masalah.
Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar, Universiti Sains Malaysia, Muhammad Firdaus Abu Mansor berkata, perkara berkaitan emosi adalah subjektif kerana ia tertakluk bagaimana seseorang itu menterjemahkannya.
“Ya, individu bujang mungkin berasa sunyi apabila mereka berada pada usia emas atas beberapa faktor seperti hidup seorang diri tanpa pasangan dan anak-anak.
“Keadaan itu terjadi apabila wujudnya pemikiran mereka akan sunyi kerana tiada sesiapa di sisi, semuanya perlu dilakukan sendiri.
“Namun begitu, jika golongan tersebut berfikiran positif, mereka mungkin menjalani hari-hari menua dengan ceria,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Beliau mengulas laporan Kosmo! yang mendedahkan ramai golongan muda memilih untuk hidup bujang berikutan mempunyai kerjaya selesa selain tidak mahu berdepan masalah rumah tangga termasuk penderaan fizikal.
Mengulas lanjut, beliau berkata, rasa sunyi adalah subjektif yang mana bukan sahaja individu bujang yang mungkin merasainya, malah mereka yang berkahwin juga berdepan situasi sama.
“Ada juga orang yang sudah berkahwin ada anak-anak, tetapi rasa sunyi. Ini kerana, mereka tidak mendapat perhatian dan perlu hidup bersendirian.
“Pada masa sama, ada orang bujang hidup ceria kerana mempunyai ramai kawan dan keluarga yang memberi sokongan,” jelasnya.
Ditanya mengenai kesan jangka panjang peningkatan golongan bujang, Muhammad Firdaus berkata, kadar kelahiran akan menurun pada masa akan datang sekali gus tidak berupaya meningkatkan statistik kependudukan negara.