TIDAK keterlaluan jika dikatakan perjalanan cef selebriti kecil molek, Anis Nabilah untuk sampai ke tahap ini bukanlah perkara yang mudah.
Segala jerih perih dan pahit manis telah dilalui wanita kelahiran Kuala Lumpur ini, sekali gus mematang serta mendewasakan dirinya.
Diangkat sebagai antara cef muda paling berpengaruh di Malaysia, Anis Nabilah telah melalui transisi yang besar dalam dunia masakan apabila berjaya menempuh pelbagai fasa perubahan sejak berkecimpung hampir dua dekad lalu.
Kejayaannya dinobatkan sebagai Cef Paling Berpengaruh ASEAN (ASEAN’S Most Influential Chef) dalam satu majlis anugerah pada tahun lalu jelas menunjukkan siapa gerangannya wanita bernama penuh Anis Nabilah Umaruddin ini.
Mengimbas kembali perjalanan kariernya, wanita berdarah kacukan Melayu-Pakistan ini mengakui seakan-akan tidak percaya masa yang berputar begitu pantas dan dirinya telah melalui banyak perubahan dalam fasa-fasa kariernya sebagai cef.
“Ketika saya mula-mula bertapak dalam industri ini iaitu memasak di televisyen lebih 15 tahun lalu, keadaannya jauh berbeza. Tiada program realiti memasak, tiada YouTube dan tiada resipi yang anda boleh cari dalam carian di internet.
“Saya masih ingat sebagai seorang pelajar, cara untuk belajar mengenai masakan lain atau resipi adalah dengan membaca buku masakan atau menonton rancangan masakan yang disiarkan di kaca televisyen.
“Tapi kini, saya melihat kanak-kanak mencipta kandungan masakan di media sosial. Malah, perkara itu (memasak) dah jadi sebahagian hiburan harian. Maksudnya, betapa ia sesuatu yang menakjubkan,” katanya membuka bicara bersama Aura.

melalui pelbagai fasa dalam kerjaya kulinarinya, sekali gus mendewasakan dan mematangkan dirinya.
Anis Nabilah mengakui minat memasak dalam dirinya datang secara tiba-tiba dan berkembang lebih-lebih lagi selepas mendaftar masuk ke sekolah masakan usai tamat sekolah menengah.
“Saya datang daripada keluarga yang memang minat memasak. Tapi sebenarnya keluarga saya tiada satu pun yang terlibat dalam bidang masakan atau bergelar cef.
“Minat memasak memang ada dalam darah masing-masing sejak dari muda. Kami pula sekeluarga memang suka makan, berkumpul dan masak bersama. Jadi, mungkin minat memasak itu datang dari situ.
“Masa bersekolah tiada pun cita-cita nak jadi cef, tapi bila dah habis sekolah, rasa jatuh cinta dalam bidang masakan. Minat itu bercambah apabila berpeluang kerja separuh masa di hotel setelah tamat sekolah.
“Jadi, untuk teruskannya, saya ambil keputusan untuk sambung belajar di sekolah masakan iaitu Food Institutes of Malaysia. Dari situlah saya mula belajar memasak dan kenal dunia kulinari secara formal,” ujarnya yang hadir dengan rancangan masak pertamanya di saluran TV3, Icip-Icip pada tahun 2007 selepas berjaya mendapat diploma dalam bidang masakan.
Jelas Anis Nabilah lagi, dari situ jugalah kariernya sebagai cef selebriti mula diasah dan dipertonton di kaca televisyen buat semua.
Anis Nabilah akui terlalu banyak pengalaman indah, tidak kurang juga pahit sepanjang bergelar tukang masak.
“Sepanjang terlibat bidang kulinari, banyak pengalaman terindah terutama dapat melancong ke setiap negeri dan dapat belajar masakan tradisional.
“Ada juga kita pergi ke negara-negara yang ada kaum Melayu bukan dari Malaysia. Antaranya Cape Town di Afrika Selatan dan ada juga pergi ke Eropah. Kita dapat belajar banyak perkara dalam dunia masakan.
“Alhamdulillah pengalaman tersebut bukan sahaja memberi ilmu kulinari, tetapi memberi input luar biasa bagi saya yang memang lahir di bandar untuk belajar memasak daripada orang kampung serta secara tradisional.
“Boleh dikatakan banyak pengalaman manis. Daripada situ juga, saya dapat melihat skop kulinari secara lebih besar dan buatkan saya lebih jatuh cinta dan sayang dalam bidang masakan,” katanya.

Seiring perkembangan teknologi yang begitu bergerak pantas dan berubah, wanita berzodiak Scorpio ini mengakui dia juga ‘terpaksa’ mengikut trend untuk kekal diterima dan dikenali.
“Saya pun kena ikut trend. Kalau orang tahu, saya kerja mula dari 2007 sampailah ke pandemik, memang 100 peratus saya kerja dengan produksi. Dalam setahun, mesti banyak travel ke luar dan berada dalam studio.
“Sumpah saya sendiri tak pernah terfikir akan buat content (kandungan) dalam media sosial seperti sekarang. Sebelum ini simple (ringkas) sahaja. Mula-mula memang tak pernah terfikir nak jadi content creator (pencipta kandungan) atau apa.
“Kita faham, masa pandemik ramai tertekan begitu juga saya. Ramai DM (mesej) minta resipi yang berlainan sebab masing-masing duduk di rumah.
“Jadi, saya sahut cabaran tersebut. Memang pengalaman baharu bagi saya dan secara tidak langsung buat saya lebih bersemangat nak buat video.
“Jujur saya memang tak pandai nak edit atau sunting video, namun bila dah jadi macam itu, nak tak nak, kena belajar dan buat sendiri. Apapun ia satu perkara yang menarik. Benda itu ilmu yang baharu dan bermanfaat untuk semua,” tuturnya.
Ditebak bagaimana dia membahagikan masa sementelah mula sibuk dengan pelbagai program masakan dan kerja luar, Anis Nabilah tidak menafikan sekarang ini dia memang agak sibuk.
Akuinya, memang amat susah untuk membahagi masa, tetapi dia berusaha melakukan yang terbaik untuk itu.
“Status saya yang masih belum bernikah, sibuk macam mana pun sekurang-kurang seminggu sekali saya cuba untuk bertemu dengan keluarga dan balik ke rumah orang tua.
“Alhamdulillah, Ramadan lalu kami lagi banyak masa bersama. Dalam kesibukan, dapatlah juga kami bertarawih, solat, masak dan makan bersama. Bercakap bab pengurusan masa, bagi saya kita kena pandai urus dan rancang sendiri,” katanya.
Ditemu bual untuk mengisi ruangan Aura sempena Syawal, memang tidak sah jika tidak diminta berkongsi perihal Aidilfitri.
Katanya, setiap kali Aidilfitri, dia menjadi orang utama memasak pelbagai juadah termasuk nasi minyak, nasi jagung, nasi beriani berserta lauk-pauk bagi dijamu kepada sanak saudara, tetamu, peminat yang datang berkunjung ke rumah keluarganya.
“Walaupun nasi-nasi dan lauk bagi juadah tersebut agak remeh untuk disediakan, tetapi setahun sekali tak mengapa. Kalau rumah terbuka biasanya saya akan masak begitu.
“Sejak sebelum Covid-19 lagi orang memang ziarah dan tak putus-putus datang rumah ibu saya. Ada masanya lebih 200 orang datang. Jadi, saya seronok masak dan bagi mereka sama-sama rasa air tangan saya sendiri,” katanya.
Ditanya mengenai juadah wajib di pagi hari raya yang gemar dimasaknya, Anis memberitahu sudah pastinya rendang, lontong, ketupat palas dan nasi berperisa menjadi pilihannya.
Mungkin tidak ramai yang tahu, Anis Nabilah sebenarnya mempunyai bakat meniru suara.
Katanya, dia begitu meminati watak Smeagol dalam filem The Lord Of The Rings dan pandai meniru suara tersebut.
“Sebenarnya saya memang sukakan naskhah filem tersebut terutama watak Smeagol, tapi saya tak pernah dedahkan atau muat naik audio suara parodi tersebut di mana-mana.
“Mungkin terlalu fokus dan asyik menonton, jadi saya boleh hafal suara bagi watak animasi fiksyen tersebut. Macam ahli keluarga terdekat tahulah,” katanya tergelak.
Ditanya mengenai ciri-ciri lelaki idaman memandangkan dirinya masih solo, Anis memberitahu, soal jodoh itu di tangan Tuhan dan dia hanya mampu berdoa dipertemukan dengan orang yang tepat nanti.
“Sekarang ini saya belum jumpa lelaki yang sesuai lagi. Allah mungkin nak saya jaga emak dan ayah dulu. Berkenaan ciri-ciri lelaki pilihan sudah tentu yang berhati baik, sedap mata memandang dan paling penting boleh berkomunikasi serta faham diri saya dan ahli keluarga kami yang besar,” katanya.
Memecah rahsia kelangsingan tubuh badannya meskipun gemar memasak dan makan, Anis mengakui dia sangat mengawal pengambilan gula dalam diet seharian.
“Rahsia saya kekal langsing dan kurus senang saja iaitu kurangkan pengambilan gula,” ujarnya.














