BAJU Melayu sudah menjadi pakaian yang wajib digayakan oleh golongan lelaki setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri.
Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, banyak rekaan baju Melayu yang dilihat sudah terpesong daripada elemen-elemen tradisional sehingga mencetuskan kontroversi dalam kalangan masyarakat.
Bukan itu saja, isu harga turut menjadi bualan apabila sepasang baju Melayu boleh mencecah ratusan ringgit tanpa aksesori seperti songkok, butang dan samping.
Kewujudan opsyen lain seperti kurta juga menyumbang kepada kepupusan budaya pemakaian baju Melayu kerana dilihat lebih mudah dan murah.
Bagi mengupas isu ini, wartawan Kosmo! Ahad, Ghazali Alias menemui pereka fesyen yang tidak asing lagi dalam pembuatan baju Melayu, Zaharudin Abd. Wahab atau lebih dikenali dengan panggilan Den Wahab.
Kosmo! Ahad: Den Wahab adalah satu nama yang begitu sinonim dengan baju Melayu. Kalau boleh diimbas semula, sejak bila anda menceburi bidang rekaan baju Melayu dan apakah pandangan anda apabila sering dikaitkan dengan pakaian tradisional itu?
Den Wahab: Saya mula menceburi bidang rekaan baju Melayu sekitar akhir tahun 1986 selepas pulang daripada melanjutkan pengajian di London.
Ketika itu, saya mengambil alih perniagaan arwah bapa, Abdul Wahab Zakaria yang mempunyai kedai jahit pakaian tradisional khususnya baju Melayu, baju kurung dan songkok di Wisma Yakin, Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Pakaian tradisional khususnya baju Melayu sudah sebati dengan keluarga saya memandangkan arwah ayah membesarkan kami hasil perniagaan kedai jahit tersebut dan saya meneruskan legasinya dengan menyambung pengajian dalam bidang jahitan.
Ini secara tidak langsung menjadikan jenama Den Wahab sinonim dengan baju Melayu memandangkan perniagaan itu sendiri berkait rapat dengan pembuatan pakaian tradisional.
Ramai tidak tahu bahawa anda memiliki kelulusan dalam bidang rekaan fesyen dari luar negara? Apakah faktor yang mendorong anda melanjutkan pengajian dalam jurusan rekaan fesyen?
Saya mula belajar jahitan di Institut Kemahiran Mara selama lebih kurang dua tahun, bermula 1982 sebelum menyambung pengajian di London dalam jurusan rekaan dan potongan pada pertengahan 1984.
Apa yang mendorong menyambung pengajian dalam bidang tersebut ketika itu adalah harapan ibu bapa yang mahu salah seorang anak mereka meneruskan legasi perniagaan di Wisma Yakin yang kemudian membawa kepada kelahiran jenama Den Wahab.
Anda pernah menghasilkan pakaian kepada Allahyarham Sudirman Arshad. Siapa lagi selebriti atau orang kenamaan (VIP) yang pernah mendapatkan sentuhan kreatif anda terutama baju Melayu?
Allahyarham Sudirman sudah lama menjadi pelanggan arwah ayah, malah beliau menempah baju kahwin di kedai kami.
Selain beliau, terdapat ramai golongan ternama termasuk menteri dan artis popular sekitar tahun 1990-an yang menempah pakaian dengan kami khususnya baju Melayu.
Sekitar tahun 1990-an juga, jenama Den Wahab sering memberi tajaan kepada artis dan media yang memerlukan baju Melayu untuk program atau sesi fotografi terutama semasa Aidilfitri.
Kelebihan jenama Den Wahab ketika itu adalah nafas baharu yang diberikan seperti baju Melayu bercorak dan trend sedondon, namun masih mengekalkan kualiti jahitan serta pemilihan fabrik.
Boleh anda kupas senario bisnes baju Melayu pada masa ini, misalnya dari aspek persaingan, menguntungkan atau bagaimana?
Senario perniagaan pada hari ini jauh berbeza berbanding pada zaman kegemilangan jenama Den Wahab iaitu sekitar 1990-an.
Banyak faktor yang menyumbang kepada perkara tersebut termasuk pertambahan saingan, kewujudan model perniagaan baharu seperti kedai dalam talian, munculnya rekaan baharu, trend terkini dan sebagainya.
Selera orang terutama anak muda juga sudah berubah dan mahu rekaan lebih moden seperti yang dipopularkan pada hari ini.
Malah, ada yang memilih harga murah dan membeli baju Melayu siap daripada menempah.
Tambahan pula, saingan yang bertambah dan kewujudan pelbagai jenama baharu turut menyumbang kepada perubahan tersebut, sekali gus menenggelamkan Wisma Yakin sebagai pusat mendapatkan baju Melayu.
Perubahan ini juga memberi kesan terhadap pendapatan perniagaan, namun kami masih boleh bertahan kerana mempunyai pelanggan tetap yang masih setia.

Anda pernah mengeluarkan kenyataan bahawa Sudirman adalah ‘trendsetter’ kerana beliau bertanggungjawab mempopularkan baju Melayu sepasang daripada songkok hinggakan kain samping berwarna sedondon. Boleh ulas mengenai kenyataan ini dan impaknya kepada perniagaan anda?
Allahyarham Sudirman merupakan ikon dan pakaian dipakainya akan menjadi ikutan peminat pada ketika itu. Beliau juga secara tidak langsung suka mempromosikan budaya memakai baju Melayu, khususnya buat golongan muda serta membantu mempromosikan jenama kami.
Sudirman juga merupakan pelanggan kami sejak zaman arwah ayah dan dia banyak menyumbang idea kepada pakaian yang dihasilkan oleh jenama Den Wahab termasuk trend sedondon dan baju Melayu bercorak.
Pada pandangan anda, apakah ciri-ciri yang perlu ada pada sepasang baju Melayu bagi mengekalkan keasliannya? Adakah terdapat ciri-ciri tertentu atau falsafah dalam pemakaian baju Melayu?
Baju Melayu itu sendiri merupakan busana tradisional dan dihasilkan sebagai pakaian yang mengetengahkan elemen keselesaan serta kekemasan.
Setiap ciri yang terdapat pada rekaan baju Melayu mempunyai fungsi dan identiti tersendiri seperti pesak, kekek, leher tengku teluk belanga, cekak musang dan sebagainya.
Keaslian baju Melayu terletak pada ciri-ciri ini yang mana menjadikan ia berbeza dengan pakaian lain.
Mereka yang memakai rekaan baju Melayu tradisional impak gayanya berbeza dan si pemakai akan nampak lebih segak serta tegap.
Sejak kebelakangan ini, kita dapati ada usaha daripada beberapa pihak yang cuba memodenkan baju Melayu sehingga merosakkan identitinya. Antara usaha dilakukan termasuklah membuang pesak supaya kelihatan ‘fit’ dan terbaharu menampilkan baju Melayu ketat seperti baju renang. Apakah pandangan anda mengenai perkara ini?
Zaman sekarang memang banyak rekaan dan trend baharu baju Melayu yang direka dengan lebih moden.
Pada saya, ia dibolehkan sekiranya tidak mencemarkan elemen tradisional yang menjadi identiti baju Melayu itu sendiri.
Pada saya, perubahan itu membantu mengekalkan budaya memakai baju Melayu. Jika rekaannya sudah jauh daripada ciri asal, maka anak muda tidak akan kenal baju Melayu asli.
Kita boleh melakukan inovasi dalam rekaan tetapi tidak boleh terlalu keterlaluan. Anda setuju dengan pernyataan tersebut?
Betul, sebaiknya kekalkan elemen tradisional pada baju Melayu supaya generasi pada masa akan datang dapat membezakan antara baju Melayu tradisional dan moden.
Pada masa sama, elakkan inovasi yang mencemarkan imej baju Melayu itu sendiri.
Terdapat rungutan daripada pengguna yang mengatakan harga baju Melayu ketika ini semakin mahal sehingga mencecah ratusan ringgit sepasang. Adakah rungutan ini berasas atau itu memang harga yang sepatutnya dibayar oleh mereka?
Soal harga sebenarnya bergantung kepada kemampuan pembeli itu sendiri.
Saya akui, harga baju Melayu berbeza antara yang sudah siap dijahit dan ditempah.
Bagaimanapun, perkara yang membezakannya adalah kualiti baju itu sendiri. Bagi yang biasa menempah baju Melayu, mereka tidak kisah dengan harga dan lebih mahukan keselesaan serta kualiti.
Setiap orang ada pilihan masing-masing, tetapi peniaga juga perlu jujur menjual baju Melayu pada harga setara dengan kualiti.
Apakah nasihat anda kepada orang kita yang tidak menghargai atau memperlekeh baju Melayu?
Baju Melayu merupakan antara pakaian yang mencerminkan identiti negara dan memakainya perlu dibudayakan sama ada dari peringkat keluarga, sekolah hingga dalam organisasi.
Memperlekehkan baju Melayu sama sahaja seperti menghina budaya dan bangsa kita sendiri.
Generasi muda perlu diberi pendedahan kepada budaya memakai baju Melayu supaya tradisi ini dapat dikekalkan sampai bila-bila.
Sebagai ‘otai’ dalam industri baju Melayu, selama mana anda akan terus memperjuang dan memartabatkan pakaian tradisional ini?
Saya sentiasa memperjuangkan budaya memakai baju Melayu dan akan terus melakukannya sampai bila-bila.
Malah, saya menggalakkan anak-anak untuk menyambung perjuangan ini agar ia dapat diteruskan.
Bagaimanapun, saya juga mengharapkan agar pihak berkaitan dapat sama-sama membantu perjuangan ini dengan terus memartabatkan pakaian tradisi negara kita.
Boleh cerita sedikit perkembangan hidup anda sekarang. Adakah masih aktif berlakon?
Ketika ini saya masih terlibat dengan perusahaan pakaian, Den Wahab Industries Sdn. Bhd. tetapi sebagai penasihat kepada anak yang mengambil alih pengurusan syarikat sejak dua tahun lalu.
aya juga masih lagi berlakon tetapi tidak aktif seperti dahulu. Saya hanya menerima tawaran jika ia tidak mengganggu urusan harian.














