fbpx
EMMA MAEMBONG

Kehamilan kedua, Emma Maembong bersederhana

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IMPIAN Emma Maembong dan suami tercinta, Muhammad Shazli Azhar untuk mempunyai keluarga besar sedang berjalan mengikut progres apabila bakal menimang cahaya mata kedua dalam masa terdekat.

Pernah menyimpan seketika momen kehamilan untuk keluarga terdekat sahaja yang tahu, Emma kemudian mendedahkan berita gembira tersebut menerusi konten menarik dalam media sosial.

Dalam video ‘prank’ terhadap suami sendiri, perkongsian Emma yang awalnya agak melucukan dengan paparan menyembunyikan alat penguji kehamilan di dalam kotak bertukar menjadi syahdu.

Pertama kali bertemu si cantik itu sejak hamil, Emma kekal gila-gila, bezanya hanya perut yang memboyot ke depan.

TIDAK seperti semasa menunggu kelahiran anak pertama, kali ini Emma hanya membeli apa yang patut kerana enggan membazir.

Berkongsi momen puasa sepanjang Ramadan ini, walaupun sarat hamil dan masih berdepan alahan teruk, Emma tetap mampu untuk berpuasa penuh.

Malah ketika ditemui HibGlam, dia tampak bertenaga selain teruja melakukan persediaan sekiranya perlu bersalin lebih awal dari tarikh jangkaan doktor.

“Doktor kata sepatutnya tarikh jangkaan bersalin adalah pada 6 Mei tetapi berdasarkan pengalaman sebelum ini, kemungkinan anak saya keluar tiga hingga empat minggu awal.

“Jadi pada kali ini saya akan bersedia bermula 15 hingga 19 April kerana sekarang pun kalau jalan banyak sudah mengah dan kuat makan.

“Kali terakhir buat pemeriksaan pun doktor cakap kedudukan bayi sudah di tempatnya, jadi saya dan suami hanya bersedia, cuma tunggu masa,” katanya.

Bersederhana

Tidak mahu terus membuat kesilapan sama seperti pengalaman bersalin pertama kali, Emma hanya melakukan persediaan sederhana.

“Sebenarnya sewaktu kehamilan pertama, saya bersedia satu bulan sebelum seperti mahu pindah ke luar negara.

“Kali ini saya akan bersalin di hospital sama, jadi sudah tahu apa yang diperlukan. Saya tidak buat banyak sangat untuk persediaan kali ini kerana belajar daripada kehamilan pertama,” ujar pelakon berdarah Melayu-Scotland itu.

ANTARA barangan tidak perlu yang dibeli Emma ketika hendak menyambut anak pertama adalah membeli tong sampah automatik dan lampu diod pemancar cahaya (LED) untuk membasmi kuman di atas katil bayi.

Enggan boros berbelanja seperti kehamilan pertama, pelakon berusia 31 tahun itu mengitar semula baju anak pertamanya, Shariq Gabriel memandangkan masih dalam keadaan elok.

“Kesilapan semasa kehamilan pertama lalu adalah saya terlalu boros apabila membeli barang tidak perlu.

“Jadi saya belajar untuk tidak membazir. Lagipun ramai yang memberi hadiah semasa buat majlis ‘baby shower’ baru-baru ini

“Tambahan pula, saya memang nak jarak anak yang dekat-dekat jadi semua barang anak pertama masih elok dan boleh pakai,” luahnya sambil ketawa.

Bertanya tentang pemilihan nama anak keduanya yang juga lelaki itu, Emma berkata, tugas tersebut sudah diambil oleh suami yang sangat teruja menanti kehadiran cahaya mata kedua mereka.

“100 peratus keputusan tentang nama, suami yang buat. Dia sudah pun memilih nama untuk bayi.

“Kalau saya ada cadangan pun dia akan pekakkan telinga sahaja pura-pura tidak mahu ambil tahu idea saya. Jika seorang daripada kami jadi lebih teruja,” kongsinya.

Sekadar mengusik sama ada Emma yang juga kakak kepada Chacha Maembong ingin menambah bilangan anak selepas ini, aktres itu sekadar menerima rezeki yang ditentukan Allah.

KALI ini, Emma mengakui gemar bersiap dan bergaya ke mana-mana majlis sehingga dikatakan sedang hamil anak perempuan. – SADDAM YUSOFF

“Kami tidak merancang dan berbincang soal anak cuma kalau Allah bagi memang kami terima sahaja.

“Kalau lambat pun saya terima tetapi jika anak sudah ada tujuh orang memang kena merancang,” tuturnya.

Seperti ibu-ibu mengandung lain, mereka sering berkongsi kisah mengidamkan sesuatu makanan sepanjang hamil.

Aktres itu juga tidak lari daripada mengidam makanan tertentu tetapi dia tahu cara mengawal perkara tersebut.

“Buat masa sekarang tiada lagi mengidam apa-apa kerana saya tidak buka media sosial.

“Kalau buka dan nampak makanan memang mengidam sangat. Contohnya terlihat asam di Alor Setar, Kedah baru-baru ini terus saya buat pesanan,” ujarnya.

PEMILIHAN nama anak, segala persediaan raya termasuk baju dan kuih raya tahun ini, semuanya disediakan oleh suaminya, Shazli.

Sebelum menggulung bicara, Emma berkongsi pengajaran yang diperoleh sepanjang melalui fasa kehamilan kali kedua.

Semasa kehamilan pertama dahulu, pelakon Kimchi Untuk Awak itu mengakui banyak merungut dan berasa cepat penat memandangkan baru pertama kali ingin menjadi ibu.

Namun, pengalaman hamil kali ini berbeza apabila sudah dapat membiasakan diri dalam keadaan berbadan dua.

“Semasa kehamilan kedua ini, saya belajar untuk menghargai kehidupan berumah tangga dengan lebih menjaga suami dan anak selain membahagikan masa.

“Selain daripada itu, tidak ada apa sangat untuk dikongsi. Cuma saya lebih bersemangat untuk bersiap menghadiri acara. Beza sangat berbanding kehamilan sebelum ini,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN