MELAKA – Seorang guru wanita di sebuah syarikat swasta rugi RM78,000 selepas menerima tawaran kerja membuat ‘review’ lokasi dalam peta enjin carian Google, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, kejadian berlaku selepas mangsa berusia 27 tahun menerima pesanan mesej di aplikasi WhatsApp daripada penama Yasmin pada 31 Mac lalu.
“Suspek telah menawarkan kerja membuat reviu di kawasan-kawasan yang ada di dalam Google Maps.
“Guru itu kemudian telah bersetuju dan menjalankan kerja tersebut, namun suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat bayaran ke dalam akaun bank terlibat untuk tujuan menambahkan keyakinan pelabur terhadap syarikat,” katanya dalam satu kenyataan akhbar dikeluarkan di sini, hari ini.
Tambahnya, tanpa mengesyaki apa-apa, mangsa telah membuat pindahan wang miliknya secara berperingkat pada Sabtu dan Ahad lalu ke dalam nombor akaun yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan mencecah RM78,000.
“Mengikut laporan dibuat mangsa, bayaran itu dibuat atas dasar pelaburan kepada syarikat suspek dan dia hanya mendapat bayaran awal sebanyak RM46 sahaja daripada suspek.
“Mangsa kemudian menyedari dirinya ditipu dan hadir membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah semalam,” katanya.
Arshad berkata, siasatan lanjut sedang dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE














