LIMBANG: Seramai 10 orang hilang tempat tinggal apabila dua buah rumah yang didiami mereka terbakar pada awal pagi tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak, berkata, kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Limpaong di sini, menyebabkan seorang mangsa dari penghuni rumah pertama yang terbakar 100 peratus, melecur ringan di leher.
Manakala rumah kedua yang terbakar 40 peratus didiami sembilan sekeluarga, terdiri daripada seorang wanita warga emas, seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan tiga kanak-kanak perempuan.
Beliau berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian kira-kira pukul 1.26 pagi dan segera mengerahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang ke lokasi yang terletak sejauh tiga kilometer dari balai.
“Setiba di lokasi, pasukan bomba terus memadamkan api menggunakan sumber air dari pili bomba dan operasi ditamatkan pada pukul 3.24 pagi setelah memastikan tiada lagi punca api,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE














