fbpx
KOMUNITI hospis memberikan perhatian dan penjagaan kepada pesakit-pesakit yang sedang meniti detik-detik akhir kehidupan.

Bakti murni jaga pesakit kronik menunggu ajal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PAGI itu, Ruzianah Mohd. Noor memandu ke kediaman salah seorang pesakit kanser tahap empat yang kini sedang terlantar di kediamannya.

Sebagai seorang jururawat kanan bagi Yayasan Kasih Hospis, sebuah pertubuhan yang menjaga dan merawat pesakit kronik yang sedang ‘menunggu hari’, tugasannya pada pagi itu adalah untuk memberikan ubat dan juga peralatan kesihatan diperlukan pesakit.

Selain itu, Ruzianah yang sudah berkhidmat sebagai jururawat kanan hospis sejak hampir sedekad lalu berkata, dia turut memberi sokongan psikososial kepada ahli keluarga terdekat pesakit, yang mungkin tidak tahu kaedah penjagaan intensif hospis.

Hospis merupakan terma penjagaan pesakit menderita penyakit kronik yang dikategorikan bakal meragut nyawa bagi membolehkan mereka menjalani saki-baki kehidupan dengan lebih baik.

“Selaku jururawat hospis atau penjagaan paliatif, adakalanya kami menerima panggilan daripada ahli keluarga pesakit yang keliru atau tidak tahu bagaimana menjaga dan memastikan pesakit kronik ini supaya mereka berada dalam keadaan selesa.

“Justeru, selain memberi bantuan perubatan dan peralatan, tugas kami juga adalah untuk memberi tunjuk ajar yang mana sedikit sebanyak membantu meringankan bebanan emosi ditanggung oleh keluarga pesakit,” ujarnya kepada K2.

Yayasan Kasih Hospis merupakan sebuah komuniti hospis yang ditubuhkan sejak tahun 1997.

ruzianah membantu dalam penjagaan kesihatan salah seorang pesakit yang memerlukan bantuan penjagaan paliatif.

Presidennya, Datuk Dr. Goh Pik Pin berkata, semasa awal penubuhannya, petugas penjagaan hospis berkhidmat dengan menawarkan perkhidmatan penjagaan dengan berkunjung ke hospital-hospital bersama pasukan sukarelawan.

“Kemudian, pada 2005, kami memulakan penjagaan ‘end of life care’ menerusi kunjungan rumah ke rumah, bersama pasukan jururawat dan juga doktor,” ujarnya.

Tambahnya lagi, rawatan rumah ke rumah secara percuma itu juga mendapat sokongan korporat, kerajaan dan juga masyarakat dalam bentuk sokongan sumbangan kewangan dan sebagainya bagi membolehkan yayasan itu membantu lebih ramai lagi pesakit di negara ini.

Malah, sehingga kini, Yayasan Kasih Hospis sudah membantu memberikan penjagaan kepada hampir 10,000 orang pesakit di sekitar Lembah Klang, yang kebanyakannya merupakan pesakit kanser tahap empat atau pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan sudah tidak lagi menjalani rawatan dialisis.

Ujar Dr. Goh, komuniti hospis akan memberi penjagaan kepada pesakit-pesakit ini dengan memberikan bantuan bagaimana untuk mengawal simptom dan juga meminjamkan peralatan perubatan yang diperlukan seperti katil dan tilam yang bersesuaian.

Jelasnya, matlamat utama bagi penjagaan hospis ini adalah untuk memberikan keselesaan kepada pesakit sepanjang melalui tempoh-tempoh terakhir dalam hidup mereka.

“Pokoknya, peranan penjagaan hospis atau penjagaan paliatif ini adalah supaya kualiti hidup pesakit ketika mereka sedang berada dalam perjalanan terakhir kehidupan itu terasa lebih baik,” ujarnya.

DR. GOH (kanan), Ruzianah (tengah) dan Shenwei antara tonggak Yayasan Kasih Hospis yang berpejabat di Petaling Jaya, Selangor.

Bercakap tentang kekerapan kunjungan ke rumah, Ruzianah menjelaskan bahawa ia bergantung kepada keadaan pesakit.

“Begitu pun, setiap bulan, kami wajib mengunjungi pesakit sekurang-kurangnya sekali untuk memberikan rawatan kepada mereka.

“Bagi pesakit yang memerlukan rawatan lebih intensif pula, kekerapannya mungkin lebih tinggi iaitu dua atau tiga kali sebulan,” katanya sambil menambah setiap sesi rawatan akan mengambil masa antara 45 minit sehingga dua jam, bergantung kepada kerumitan.

Begitu pun, kata Ruzianah, apa yang lebih mencabar sepanjang berkhidmat sebagai jururawat penjagaan hospis bukanlah bantuan rawatan terhadap pesakit, tetapi memikul tugas sebagai pendamai kepada keluarga pesakit yang adakalanya berdepan konflik.

“Selain memberikan rawatan dan penjagaan kepada pesakit, kami juga bertindak sebagai orang tengah yang akan membantu untuk berbincang dengan ahli keluarga pesakit.

“Setiap keluarga mempunyai dinamik yang tersendiri. Sebagai contoh, konflik yang berlaku dalam sesebuah keluarga itu adakalanya boleh memberikan kesan terhadap kesejahteraan pesakit.

“Justeru, kami selaku jururawat hospis perlu ambil peranan untuk menerangkan dan berkomunikasi dengan ahli keluarga pesakit untuk menyelesaikan konflik keluarga kerana apa yang lebih penting dan seharusnya menjadi keutamaan mereka ketika berdepan dengan seorang pesakit dalam jagaan paliatif adalah untuk memastikan pesakit itu sentiasa berada dalam keadaan selesa,” tuturnya.

KOMUNITI hospis yang mempunyai kemahiran dalam penjagaan kesihatan membantu pesakit-pesakit di hospital atau di rumah.

Sementara itu, bercakap tentang konflik, Dr. Goh berkata, konflik antara ahli keluarga tidak seharusnya dianggap remeh kerana ia boleh menyebabkan keadaan pesakit yang sedang meniti hari-hari terakhirnya boleh bertambah buruk.

“Apabila bercakap tentang penyakit, ia lazimnya boleh dirawat dengan ubat-ubatan, namun perbalahan dalam kalangan ahli keluarga dan konflik berpanjangan ini adalah situasi yang berbeza dan tiada ubatnya.

“Oleh sebab itu, kami sentiasa bantu mencari jalan penyelesaian terbaik bagi keluarga pesakit dan sentiasa mengingatkan mereka untuk membuang ego dalam diri kerana apa yang penting pada saat-saat akhir kehidupan pesakit ini adalah supaya mereka berada bersama orang yang tersayang,” jelasnya.

Mengulas tentang dana dan peruntukan yang digunakan bagi kerja-kerja rawatan pesakit, Dr. Goh berkata, pihaknya memperoleh sumbangan orang ramai dan juga inisiatif seperti anjuran aktiviti-aktiviti kebajikan.

“Sebagai contoh, awal bulan ini, Yayasan Kasih Hospis menganjurkan acara mencukur rambut melibatkan 40 orang individu bagi mengumpul dana berjumlah sekitar RM250,000,” ujarnya.

Selain acara kebajikan, yayasan itu turut menganjurkan ceramah dan bengkel kepada orang awam tentang kepentingan membuat persiapan dalam menghadapi kematian insan tersayang.

“Topik kematian merupakan topik yang tidak begitu dibicarakan memandangkan masih ramai yang kurang selesa untuk bercakap mengenainya. Namun, kami berharap agar kelak, lebih ramai lagi individu yang akan lebih terbuka untuk membicarakan tentang kematian kerana tidak kira siapa pun anda, kita akan berdepan dengan kematian orang tersayang,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN