fbpx

Program pujuk orang Islam cenderung agama bukan Islam dilarang di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Sebarang program bertujuan memujuk atau mempengaruhi mana -mana orang Islam untuk cenderung kepada agama bukan Islam adalah dilarang sama sekali di Selangor.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, ini adalah menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

“Dalam menyantuni perbezaan bangsa, budaya dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia, MAIS berpendirian bahawa kesefahaman, toleransi dan perpaduan masyarakat sangat penting untuk memastikan keharmonian dan keamanan.

“Justeru, mana-mana penganjur sama ada daripada sektor awam, pertubuhan bukan kerajaan atau badan lain yang berhasrat mengadakan aktiviti dan program atas dasar perpaduan dan keharmonian dinasihatkan agar perlu lebih berhati-hati dan menjaga sensitiviti umat Islam dan masyarakat di negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada iklan dan risalah yang telah diedarkan melalui media sosial dan eletronik sejak beberapa hari yang lepas berkaitan dengan “Projek Artikel 11 Jom Ziarah,” satu program yang dianjurkan oleh Impact Malaysia iaitu sebuah pertubuhan di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

Melalui program ini, para belia di Malaysia yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelbagai agama yang berlainan daripada agama yang dianutinya dijemput untuk menyertai program yang diatur termasuk program yang akan diadakan di Gereja The Church of Our Lady of Lourdes, esok.

Abdul Aziz memberitahu, berdasarkan penelitian iklan dan risalah tersebut, MAIS berpandangan program ini mempunyai unsur-unsur bagi menarik minat belia khususnya belia Islam untuk mempelajari atau menimba ilmu berkaitan dengan agama selain daripada agama Islam.

Tambah beliau, program sebegini sekiranya dibenarkan untuk dianjurkan, boleh mempengaruhi pemikiran para belia Islam secara halus dan tanpa disedari untuk cenderung atau tertarik dengan agama selain dari agama Islam yang sedang dianuti oleh mereka.

“Walaupun objektif program ini dikatakan untuk memberi pendedahan tentang sesuatu agama dan menjalin perpaduan erat di kalangan para penganut pelbagai agama, namun memerlukan kepada kawalan dan sekatan tertentu.

“Ini bagi memastikan tiada elemen memujuk orang Islam untuk terpengaruh dan minat dengan agama lain selain Islam dan tiada juga penglibatan orang Islam dalam ritual agama lain,” tegasnya.

Jelas beliau, MAIS mengambil maklum tentang kenyataan terbaru Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh di Parlimen bahawa program ini yang pada asalnya terbuka kepada semua, kini telah ditukar dan dihadkan kepada para belia bukan Islam sahaja.

“Namun semakan pihak MAIS setakat ini mendapati bahawa risalah dan iklan yang telah diedarkan di media-media sosial dan elektronik masih tidak dipinda bagi menunjukkan program ini dikhaskan hanya untuk orang bukan Islam, “katanya.

Justeru, Abdul Aziz berkata, MAIS menyeru semua masyarakat agar menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

“Walaupun Fasal 11(1) Perlembagaan Persekutuan menjamin hak tiap-tiap orang untuk menganuti dan mengamalkan agama masing-masing, namun masih tertakluk kepada undang-undang yang digubal untuk mengawal dan menyekat pengembangan apa- apa doktrin dan kepercayaan agama lain di kalangan orang Islam sepertimana yang dijelaskan dalam Fasal 11(4) perlembagaan sama ,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI