fbpx
PENAGIH dadah yang diberi rawatan didapati lebih cepat bebas daripada cengkaman dadah daripada dihukum penjara. – GAMBAR HIASAN

Penagih perlu rawatan pakar psikiatri bukan hukuman penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Negara memerlukan lebih ramai pakar psikiatri untuk membantu proses pemulihan penagih dadah sintetik yang cenderung mengalami masalah mental selepas terjebak dalam tempoh lama.

Setiausaha Agung Majlis Pe­nyalahgunaan Bahan Terlarang Malaysia (Masac), Raja Azizan Suhaimi Raja Abd. Latiff berkata, penagih yang mengalami kerosakan otak perlu menjalani rawatan dan pemulihan, bukan hukuman.

“Cara rawatan penagih dadah jenis sintetik ini adalah di bawah kesihatan mental dan bukan hukuman.

“Mereka ini perlukan rawatan daripada pakar psikiatri dan kaunselor bertauliah, namun jumlah pakar tersebut tidak mencukupi,” katanya kepada Kos­mo! baru-baru ini.

Kata beliau, kebanyakan pena­gih yang mengalami masalah ke­sihatan mental itu biasanya akan kembali menagih kerana mereka hanya dihukum dan tidak di­rawat.

“Kalau masuk penjara, mereka dikurung dan tidak menerima rawatan daripada aspek masalah kesihatan mentalnya. Bila bebas, mereka akan hisap (dadah) balik,” ujarnya.

Menurutnya, selain rawatan di Kementerian Kesihatan, penagih juga boleh menjalani pemulihan di pusat pemulihan persendirian yang berdaftar dengan Agensi Antidadah Kebangsaan.

“Ketika ini, lebih 80 peratus yang mendapatkan rawatan di pusat pemulihan adalah dalam kalangan mereka yang mengalami kesan psiko atau kerosakan otak. Mereka turut dibawa mendapatkan rawatan lanjut di hospital,” jelasnya.

Masac adalah sebuah gabu­ngan 46 pertubuhan bukan kerajaan berkaitan dadah, pusat pemulihan swasta serta penyedia perkhidmatan berkaitan pe­nyalahgunaan bahan dari seluruh negara.

Orang ramai boleh melayari laman web www.masac.my bagi membantu mereka melakukan kerja amal bagi meringankan beban ahli keluarga penagih termasuk pada Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri ini. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN