KERTAS nipis berbentuk watak adiwira, Batman ditekapkan ke atas kulit kambing yang telah dibersihkan dan dijemur.
Proses tebukan setiap lorekan dan garis lubang dilakukan dengan cermat agar tidak merosakkan lukisan berukuran lebih kurang 10 inci tersebut.
Biarpun tidak pernah berpeluang menonton persembahan wayang kulit, Chin Kong Lai, 30, tertarik untuk menyertai bengkel pembuatan wayang kulit kerana wujudnya watak kesayangannya itu.
Menurutnya, kewujudan karakter-karakter terkenal budaya pop menyuntik rasa kedekatan pada dirinya terhadap seni warisan yang sinonim dengan masyarakat Melayu itu.
“Sebaik sahaja saya tahu watak kegemaran saya merupakan antara yang ditawarkan di bengkel pembuatan kraf wayang kulit, saya terus mendaftar.
“Saya harap dapat menonton persembahan wayang kulit fusion secara langsung satu hari nanti.
“Siapa tahu, ini akan membuka minat kepada saya untuk menerokai wayang kulit traditional pula,” ujarnya kepada K2.

watak-watak
yang berjaya dihasilkan dalam wayang kulit fusion.
Kong Lai merupakan salah seorang daripada 15 peserta bengkel kraf wayang kulit yang diadakan pada Ahad minggu kedua dan minggu keempat setiap bulan di pusat beli-belah GMBB, Kuala Lumpur.
Bengkel tersebut diusahakan oleh pengasas Fusion Wayang Kulit (FWK), Tintoy Chuo, 50, sebagai usaha untuk melestarikan seni warisan yang semakin pupus itu.
Biarpun penghasilkan kraf wayang kulit hanya sebahagian kecil daripada seni persembahan wayang kulit secara keseluruhan, namun menurut pereka karakter tersebut, ia satu permulaan yang baik.
Usaha Tintoy untuk menghidupkan kembali budaya lama Malaysia melalui gabungan bentuk seni tradisional dengan unsur-unsur moden pernah mencetuskan fenomena satu ketika dahulu.
Anak jati Pulau Pinang itu menggunakan inspirasi daripada watak Star Wars iaitu Darth Vader dan Luke Skywalker dalam menghasilkan boneka wayang kulit pada pameran seni di Publika sekitar tahun 2012.
Umpama orang mengantuk disorongkan bantal, kehadiran tok dalang wayang kulit Kelantan, Muhammad Dain Othman atau lebih dikenali sebagai Pak Dain, 71, di pamerannya pada masa itu dimanfaatkan sebaiknya.
Dengan tunjuk ajar Pak Dain yang merupakan pakar dalam mempersembahkan seni wayang kulit Kelantan, Tintoy mampu mereka patung wayang kulit fusion yang menepati ciri-ciri wayang kulit Kelantan.
“Sebelum bertemu Pak Dain, saya banyak lakukan rujukan berdasarkan pembacaan dalam buku daripada Kraftangan Malaysia dan Google tentang cara hasilkan patung wayang kulit.
“Dengan adanya Pak Dain, saya dan rakan pengasas bersama FWK, Take Huat, 48, dapat menghasilkan karakter mengikut prinsip sebenar wayang kulit Kelantan.
“Jadi kami berkolaborasi dengan Pak Dain untuk menghasilkan persembahan wayang kulit Peperangan Bintang (Star Wars) yang diasaskan dengan prinsip wayang kulit Kelantan, di pelbagai negara termasuk Singapura, Thailand, China, Austria dan Jerman,” jelasnya.

Dalam persembahan wayang kulit fusion, FWK menggunakan projektor bagi menggantikan penggunaan teknik cahaya dan bayang secara tradisional sekali gus menambahkan lagi ‘drama’ dalam penceritaan.
Selain itu, penggunaan teknik pengubah suara menerusi perisian di komputer menjadikan penceritaan tok dalang lebih berkesan apabila suara-suara karakter berintonasi tersendiri.
Tambahnya, persembahan wayang kulit fusion tidak terhad pada kisah Star Wars sahaja kerana pihaknya terbuka untuk melakukan penceritaan wayang kulit mengikut permintaan pelanggan.
“Kami tidak mengubah elemen dalam wayang kulit tradisional sama sekali, kami hanya memperkaya lagi elemen-elemen itu dengan menggunakan peralatan moden.
“Wayang fusion kami tidak terhad pada Star Wars sahaja, kami juga ada persembahkan kisah Batman, kisah berunsurkan persahabatan dan juga kisah berdasarkan permainan Playstation seperti Horizon Forbidden West.

“Ini semua berdasarkan tempahan pelanggan. Persembahan kami sering diadakan dalam majlis-majlis tertutup,” ujarnya yang berkongsi watak baharunya di laman Facebook Fusion Wayang Kulit.
Datang jauh dari New York, Amerika Syarikat, Linnea Welker, 50, teruja berkesempatan menghasilkan kraf wayang kulitnya sendiri setelah sekian lama mengimpikan momen itu.
Memiliki pengalaman menonton persembahan wayang kulit, Welker dan rakannya, Kim Endel, 38, memilih watak tradisional bernama Puteri sebagai kraf pilihan.
“Saya pernah tonton persembahan wayang kulit sebanyak dua kali iaitu di KL Park dan di Indonesia.
“Sejak itu, saya simpan azam untuk cuba aktiviti penghasilan wayang kulit sekiranya berkesempatan.
“Walaupun jari saya lenguh mengetuk kulit kambing ini untuk tebuk lubang, saya gembira dapat menyiapkan kraf ini dalam masa ditetapkan,” kongsinya.
















