MEMBESAR sebagai anak pengusaha kantin di Taman Budaya di bawah Kementerian Kebudayaan dan Sukan pada tahun 1970-an menjadi titik permulaan buat pemuda itu berkecimpung dalam dunia muzik.
Sering bersama bapanya semasa bekerja di kantin, di usia kanak-kanak dia secara tidak langsung berada dalam persekitaran dan terdedah kepada dunia seni.
Tidak hanya itu, konduktor muzik, Nasran Nawi, 56, turut berpeluang mempelajari instrumen muzik seperti biola dan selo yang menjadi identiti serta kepakaran dalam karier seninya sehingga hari ini.
“Pada awalnya saya belajar biola tetapi tidak lama dalam setahun dua, kemudian di usia 12 tahun saya belajar selo yang seterusnya membawa saya kepada dunia orkestra sebagai pemain alat muzik tersebut.
“Saya bermula dengan Orkestra Simfoni Muda, kemudian pernah menyertai Orkestra Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Orkestra Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum menyertai Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) dari awal penubuhannya hingga kini,” katanya kepada K2 baru-baru ini.

Tambahnya lagi, seiring kariernya, dia juga menyaksikan perkembangan OSK yang juga menjadi sebahagian dalam hidupnya selama 30 tahun.
OSK bermula pada tahun 1989, apabila Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang ketika itu telah melantik seramai 17 ahli muzik profesional sepenuh masa sebagai asas kepada penubuhan orkestra tersebut.
Meskipun bermula awal, OSK secara rasmi ditubuhkan pada tahun 1993 yang sehingga hari ini menjadi antara kumpulan orkestra berprestij di Malaysia.
OSK masih di bawah kementerian tersebut pada masa ini.
Jelas Nasran, berbeza dengan orkestra lain di Malaysia, OSK merupakan pasukan pancaragam yang menghimpunkan majoriti bakat tempatan yang merupakan pemain instrumen seperti biola, selo, trompet, saksofon dan sebagainya.
Dianggotai kini oleh 39 ahli, OSK juga merupakan orkestra simfoni yang versatil dan boleh mengiringi pelbagai genre muzik seperti klasik, pop, opera, balet dan macam-macam lagi.
“Sepanjang 30 tahun penubuhan OSK, kita sudah bermain bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa.
“OSK juga sudah menempa nama dengan menjayakan konsert ternama seperti Video Games Live, West Side Story, Harry Potter and the Philosopher’s Stone in Concert, Final Fantasy in Concert Opera and Ballet.
“Selain itu juga, OSK telah berjaya mengadakan persembahan-persembahan di luar negara seperti di Esplanade, Singapura (2003), Tokyo dan Osaka, Jepun bersempena dengan Asia Orchestra Week 2004,” ujarnya.

Tambahnya lagi, OSK juga pernah mengiringi persembahan artis-artis terkemuka tanah air seperti Yuna, Datuk Seri Siti Nurhaliza, Wings, Jamal Abdillah, Jaclyn Victor, Stephen Rahman Hughes dan ramai lagi.
Pada tahun 2018, OSK menyambut 25 tahun penubuhannya melalui Konsert Ulang Tahun ke-25 yang telah mempersembahkan repertoir yang meluas dalam pelbagai jenis muzik termasuk persembahan lagu-lagu Malaysia dalam bentuk simfoni.
Pencapaian OSK dalam memperluaskan pengaruhnya sebagai orkestra ternama turut dibantu melalui hubungan eratnya dengan kedutaan luar negara dan menerima pimpinan daripada konduktor undangan terkenal dunia.
Portfolio yang dimiliki OSK turut menarik minat bakat-bakat muda untuk mengembangkan lagi karier mereka termasuk pemain biola, Joey Young, 30.
Menurutnya, penglibatan bersama OSK memberikan dirinya pendedahan yang lebih luas sekali gus mengukuhkan profil seninya sebagai pemuzik.
“OSK berada dalam liganya yang tersendiri dan pada masa sama turut melahirkan ramai pemain muzik yang berpengalaman luas dan berkemahiran tinggi dengan instrumen mereka.
“Tidak hanya itu, OSK juga membawa identiti kebangsaan dan menerapkan budaya pasukan yang mendorong kita untuk sama-sama berkembang serta menampilkan persembahan yang berkualiti,” kongsi wanita asal Puchong, Selangor itu.

Jelasnya yang menyertai OSK sejak 2019, menyertai pancaragam itu memberikan dia peluang untuk meneruskan cita-cita dalam bidang muzik yang mana agak terhad bagi arena muzik orkestra simfoni.
Ia juga sekali gus mendidiknya untuk menjadi seorang pemuzik yang lebih baik dengan pendedahan kepada persembahan-persembahan berprestij dan panduan daripada pemain profesional yang berpengalaman.
Selain barisan pemuzik berpengalaman, kejayaan yang dicapai OSK turut didukung oleh pengurusan yang efisien dalam menguruskan setiap persembahan pancaragam itu.
Pengurusnya, Sharifah Nadirah, 35, memberitahu, OSK merupakan pancaragam yang profesional dalam melaksanakan setiap persembahan yang dijalankan.
“Pemuzik-pemuzik dalam OSK terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman dan pendidikan dalam muzik, malah mereka juga sudah sebati dalam persekitaran orkestra yang dilatih dalam etika serta disiplin yang tersendiri.
“Menguruskan OSK mempunyai cabaran tersendiri, bagaimanapun ia tidak sukar kerana setiap pemuzik sudah profesional dan mereka juga sangat komited dalam setiap persembahan dianjurkan,” katanya yang bersama OSK sejak 2013.
Tambahnya yang mesra disapa Sherry, antara kunci utama dalam membentuk sebuah orkestra yang berjaya adalah sikap menepati masa dan kerjasama yang baik kerana ia adalah sebuah kumpulan yang sama-sama mendukung antara satu sama lain.
Selain itu, Sherry turut memberitahu, menguruskan sebuah orkestra simfoni memerlukan pemahaman yang mendalam tentang selok belok bidang tersebut yang mana itu amat diperlukan dalam pengurusan sebuah persembahan dengan pihak luar.
















