DITAKDIRKAN melalui kehidupan berpoligami, bukan sedikit kata-kata nista menghimpit penyanyi Adira ketika awal pernikahan bersama suami, Datuk Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red.
Banyak spekulasi liar muncul berbanding kata-kata yang baik sehingga membuatkan penyanyi Pujaan Hati itu memilih untuk tidak menonjolkan kemesraan bersama suami demi mengelak orang lain mendapat dosa mengata.
Dari satu sudut lain, ibu kepada empat cahaya mata itu mengakui sengaja mengurangkan perkongsian gambar berdua dalam media sosial bagi menjaga hati madunya.
Bagai diluahkan Adira, mukadimah perkahwinan mereka barangkali cukup mudah untuk dijadikan bahan bualan, namun selepas lapan tahun menganyam suka duka, mereka semakin lali.

Abai soalan tak penting
“Bahagia kita kena cari sendiri. Betul bagai dikata, lima tahun pertama dalam sesebuah ikatan memberikan cabaran besar sama ada kita mampu bertahan atau berundur.
“Darah muda juga antara faktor yang membuatkan kita lebih mengikut emosi iaitu dengan bertindak dahulu, kemudian baru berfikir tentang impak.
“Pada fasa sekarang, cukup saya katakan kami masih bahagia. Alhamdulillah, lapan tahun bersama dan apabila ada yang bertanya di mana suami, saya abaikan soalan sebegitu. Tak penting.
“Paling utama saya tahu situasi sebenar dan saya sendiri pilih untuk kongsikan gambar yang hanya dimahukan dalam media sosial,” katanya yang kekal anggun selepas melahirkan anak keempat pada September tahun lalu.

Lebih matang
Akui Adira, pada usia melewati angka 32 tahun, kematangan dalam berfikir serta sebelum melakukan sesuatu perkara membuatkannya lebih bijak membuat pertimbangan.
“Sebenarnya dari dulu lagi saya jarang ‘post’ pasal suami kecuali acara membabitkan anak-anak macam terima anugerah atau sebagainya saya akan kongsikan buat kenangan.
“Semua ini saya sudah pertimbangkan lebih awal. Saya sedar di mana kedudukan saya. Ada hati perlu dijaga. Jadi saya kena hormat perkara itu.
“Untuk saja-saja buat perkongsian dengan suami tanpa sebab, mungkin tidak. Urusan berkenaan keluarga saya selesa simpan sendiri,” kongsinya yang baru-baru ini mengundang perhatian dengan perkongsian bersama madu, Datin Seri Syarifah Nor Shafila Hassim atau dikenali Datin Red ketika hadir ke sebuah acara fesyen.

Bisnes sambal ‘menjadi’
Enggan larut dengan kisah peribadi, perbualan ketika bertemu dengan penyanyi asal Sabah itu beralih tentang perniagaan sambal yang diusahakan sejak lebih setahun lalu.
Bermula sekadar hobi, produk yang diberi nama Air Tangan Adira itu semakin galak mendapat sambutan.
“Ada juga yang cakap kenapa perlu susah-susah berpeluh di dapur, fokus saja dengan kerja menyanyi. Tetapi saya bukan jenis boleh duduk diam.
“Bisnes juga mengajar otak kita lebih cerdas, cepat berfikir serta pantas bertindak. Meskipun agak meletihkan, saya puas terima maklum balas memberangsangkan daripada pelanggan.
“Pada masa sama saya bersyukur dapat buka pintu rezeki untuk pekerja selain ejen jualan. Siapa tahu dapat buka kilang pula selepas ini?” ujarnya teruja.

Bukan ‘supermom’
Keterujaan Adira yang mesra dipanggil Yayang jelas terserlah apabila membicarakan perkembangan empat permata hatinya.
Biarpun sibuk mengemudi kerjaya seni dan bisnes, urusan mengendalikan Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayub yang baru berusia lima bulan tetap menjadi keutamaan buat dirinya.
“Setakat ini semuanya terkawal dan masih boleh saya lakukan. Saya bukan ‘supermom’, cuma saya buat yang terbaik untuk anak-anak dan keluarga,” ujar naib juara Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) menutup perkongsian.














