fbpx
M. NASIR dan Hattan.

Epik kembara M. Nasir, Hattan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA siapa mampu menidakkan keampuhan aura Datuk M. Nasir dan Datuk Hattan. ‘Tanda dagang’ yang sudah melekat dalam kepala itulah isyarat awal buat konsert Sifu & Aku 38 kelak menjadi sebuah pentas mega dengan kepuasan maksima.

Lama menunggu, impian penyanyi tersohor, Datuk Hattan untuk beraksi sepanggung dengan sifunya, Datuk M. Nasir dalam sebuah konsert besar akhirnya bakal terlestari menjelang Mei dan Jun depan.

Dibawakan Westzone Entertainment dan GC Productions, Hattan dan M. Nasir bakal meledakkan konsert Sifu & Aku 38 yang memilih Borneo sebagai lokasi pertama.

HATTAN dan M. Nasir mempunyai sejarah hubungan yang panjang.

Lima tahun tunggu sifu

Sebetulnya, Hattan sendiri pasti bagaimana guru pertamanya dalam industri muzik itu sedia menerima pelawaan tersebut.

Dedah Hattan, idea yang disimpan selama lima tahun itu terus disambut M. Nasir tanpa bersoal jawab panjang sebaik diperincikan inti pati konsep persembahan.

“Sudah tentu saya berbesar hati apabila sifu memilih saya sebagai anak murid pertama yang dia setuju untuk sepanggung dalam konsert besar itu nanti.

“Saya pun tak tahu kenapa dia setuju, mungkin sebab saya selalu memuaskan hati. Macam album, tiada orang buat album mentor, tetapi saya dah buat dua album mentor.

“Secara peribadi konsert Sifu & Aku 38 adalah sebuah epik dalam pengembaraan kami sebagai sifu dan anak murid dalam tempoh menghampiri empat dekad ini,” kata pemilik nama sebenar Mohd Shukri Shahabudin, 58.

HATTAN menjadi anak murid pertama yang berjaya memujuk M. Nasir untuk berduet dan berkongsi panggung dalam sebuah konsert mega. – SYAKIR RADIN & IHSAN OPR NETWORK

M.Nasir minta cari Hattan

Menyingkap ‘kedekatan’ hubungan jiwa bersama komposer prolifik dengan jolokan sifu muzik itu, semuanya bermula sekitar akhir 1980-an selepas Hattan balik kampung di Seri Menanti, Negeri Sembilan akibat merajuk dengan industri.

Katanya, M. Nasir yang ketika itu diminta menjayakan projek bersama Lan Mamat dan Man Toba meminta mereka mencarinya terlebih dahulu.

“M. Nasir punya pengaruh besar dalam industri sampailah sekarang. Dia minta mereka cari saya yang pada masa itu dah ada di kampung jual burger kerana sudah putus asa dengan kumpulan FRU.

“Katanya kalau nak buat lagu kena dapatkan saya dulu. Sebenarnya sebelum itu saya dah kerja dengan M. Nasir, saya jaga vokal penyanyi yang datang buat rakaman lagu.

“Kiranya saya banyak jadi pembantu penerbit. Kemudian tahun 1987, dia bagi saya lagu Memburu Rindu dan saya bawa ke EMI, tapi pihak tersebut tak pandang jadi saya balik kampung.

“Lagu tu saya simpan sampai 1990 barulah dirakamkan. Selepas itu banyak lagi sejarah kami. Kiranya memang panjang kisah silam saya bersama M. Nasir,” kongsi penyanyi yang juga pencipta lagu itu.

M. NASIR mengakui tona suara dan nilai kemelayuan milik Hattan menjadikan bekas vokalis kumpulan rock FRU itu relevan sehingga kini.

Hattan punya pesona

Sementara itu, M. Nasir atau Mohamad Nasir Mohamed, 65, menganggap Hattan dianugerahkan vokal dan keperibadian unik sehingga membuatkan pesonanya berbeza dengan penghibur lain.

“Tarikan Hattan lain macam. Dia juga mempunyai tarikan memujuk. Bukan tiada penyanyi lain undang saya berkongsi pentas, tapi saya sedia berduet dengannya sebab kami lebih rapat.

“Dari segi kemerduan suara pun dia ada kelebihan bersama teknik menyanyi dan tona suara.

“Penyanyi rock lain punya suara alto (tinggi), Hattan pula berada di tengah-tengah.

“Sama tahap dengan Rahim Maarof yang punya tona tersendiri. Sebab itu dia relevan sehingga 38 tahun. Hattan juga menonjolkan unsur kemelayuan dalam lagunya.

“Bukan itu saja, dia berpengaruh dalam media sosial, bagi pandangan yang diterima masyarakat,” kata M. Nasir yang melihat kebangkitan anak muridnya itu sejak berdekad lalu.

PERSAHABATAN antara M. Nasir dan Hattan terjalin sejak sekitar 1980-an yang menyaksikan Hattan dipertanggungjawabkan sebagai pembantu penerbit dalam rakaman album penyanyi lain di Studio Luncai Emas milik komposer bergelar sifu itu.

Dendang 20 lagu

Bercerita tentang repertoire konsert, sebanyak 20 lagu bakal dipersembahkan dalam Aku & Sifu 38 seperti Sahabat Gua, Mentera Semerah Padi, Hati Emas, Bonda dan Tanya Sama Itu Hud Hud.

Hattan pula akan menyampaikan karya garapan tok gurunya termasuk Memburu Rindu dan Mahligai Syahdu selain menyajikan dendangan duet termasuk Apokalips, Sekuntum Mawar Merah serta Keroncong Untuk Ana.

Konsert Sifu & Aku 38 bakal berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak pada 25 Mei ini disusuli Sabah International Convention Centre di Kota Kinabalu pada 1 Jun 2023.

Meneruskan kecintaan dan enggan mengecewakan harapan ramai, konsert tersebut akan dibawa ke Kuala Lumpur menjelang Ogos tahun ini.

Tiket-tiket dibahagikan kepada beberapa kategori berharga RM188 hingga RM1,000 kini boleh didapati menerusi www.myticket.asia.

SELAIN di Sabah dah Sarawak, konsert Sifu & Aku 38 juga akan menemui peminat di Kuala Lumpur menjelang Ogos depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN