fbpx

Mahkamah: Siti Bainun nafi beri Bella makan makanan digaul cili

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun semasa hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali menafikan remaja Sindrom Down dikenali Bella diberi makanan digaul cili seperti keterangan saksi pendakwaan kelapan Suhana Zam.

Siti Bainun, 31, menafikan berbuat demikian ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad pada sesi pemeriksaan balas ketika ditanya mengenai insiden Bella diberi makan cili.

Nor Azizah: Suhana ini kawan baik kamu…..kamu akan bantu Suhana dan Suhana akan bantu kamu. Jadi apa keperluan Suhana untuk mereka-reka cerita (Bella diberi makan cili) jika kejadian ini tidak berlaku?
Siti Bainun: Saya tidak tahu.

Nor Azizah: Saya katakan apa Suhana ceritakan itu adalah betul dan Suhana tidak mereka-reka cerita.
Siti Bainun: Tidak setuju.

Semasa prosiding hari ini, Siti Bainun turut tidak bersetuju dengan cadangan soalan pendakwaan Suhana turut terpengaruh dengan keterangan saksi pendakwaan pertama Zurianty Sudin.

Nor Azizah: Saya juga katakan apa Suhana beritahu di dalam mahkamah bukanlah terpengaruh dengan cerita Zurianty (saksi pendakwaan pertama) dan cerita di media sosial.
Siti Bainun: Tidak setuju.

Sementara itu dalam keterangan bela dirinya juga hari ini, tertuduh mengatakan Tambahnya dalam Suhana juga tidak pernah mengambil peduli mengenai anak-anak Rumah Bonda walaupun kerap datang ke rumah selain wanita itu juga tidak menyukai kanak-kanak.

Pada 13 Jun tahun lalu, Suhana, 41, memberitahu mahkamah melihat sendiri Siti Bainun memegang dagu dan memaksa Bella makan nasi goreng digaul cili yang banyak.

Ketika kejadian, Suhana duduk di meja makan manakala Bella berdiri depan peti ais sebelum Siti Bainun menyuap remaja itu nasi goreng mengandungi sejumlah cili yang nisbahnya lebih banyak berbanding nasi.

“Dia (Siti Bainun) gaul-gaul nasi goreng itu, dia pegang dagu Bella dan suapkan Bella dengan nasi goreng dengan cili.

Bella elak tak nak makan tetapi dia paksa Bella makan, saya terkejut kenapa buat Bella macam ini, saya tak cakap apa-apa sebab pada waktu itu saya tak nak ada ‘confront’ (bersemuka) dengan Siti Bainun sebab saya bimbang kalau confront nanti saya tidak pasti reaksi dia,” kata saksi itu yang tidak mengingati secara tepat tarikh dan waktu kejadian semasa memberi keterangannya pada Jun tahun lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi bersambung lagi pada Isnin ini.

Siti Bainun, 31, didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI