fbpx
Di Taiwan, terdapat restoran makanan halal cita rasa Taiwan, selain makanan halal cita rasa luar seperti Indonesia dan Turkiye.

Taiwan, pulau mesra pelancong Muslim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DI pintu masuk sebuah restoran, kelihatan dua orang wanita sedang tekun menyiapkan dumpling atau ladu yang merupakan menu yang sinonim dengan masyarakat Cina.

Di sisi mereka terdapat sebuah besen besar berisi inti ladu tersebut diperbuat daripada daging lembu kisar yang digaul bersama garam dan juga lada hitam.

Kepingan doh bersaiz sebesar tapak tangan wanita dewasa yang berada di satu sudut lain pula kemudiannya dileperkan sebelum diisi dengan inti, lalu bahagian atasnya dilipat membentuk sebiji ladu.

Begitulah rutin harian pekerja restoran Ende Yuan Dumpling House yang terletak di Jalan Wenxin, bandar Taichung, yang merupakan salah satu restoran yang menyajikan makanan halal di Taiwan.

Selain dumpling, restoran itu juga turut menyajikan menu istimewa iaitu ‘hot pot arang’ yang merupakan sajian berupa daging lembu, bebola daging dan juga sayur kubis yang disajikan bersama kuah istimewa dalam periuk panas.

Aroma dan rasa arang yang meresap masuk ke dalam kuah sup tersebut menjadikan menu itu cukup istimewa, lebih-lebih lagi apabila dimakan pada musim sejuk.

Hidangan hot pot arang halal yang boleh didapati di restoran Ende Yuan Dumpling House di Taichung, Taiwan.

Difahamkan, sajian hot pot arang juga adalah antara menu wajib apabila berkunjung ke Taiwan memandangkan menu itu paling digemari penduduk tempatan.

Mungkin tidak ramai yang tahu bahawa Taiwan yang merupakan negara pulau kecil yang terletak di antara Laut Timur China dan Laut China Selatan merupakan sebuah destinasi percutian yang mesra Muslim.

Lazimnya, apabila mendengar tentang Taiwan yang didominasi penduduk berbangsa Cina, pelancong beragama Islam seakan-akan kurang tertarik untuk mengunjungi dan meneroka lokasi menarik di pulau yang pernah dijajah Jepun itu, mungkin kerana khuatir berdepan kesukaran untuk mendapatkan sajian halal.

Penulis juga tidak terkecuali dan sering menganggap sajian makanan halal pastinya terhad di situ.

Namun, persepsi tersebut berubah apabila penulis baru-baru ini berpeluang mengunjungi tiga buah bandar di Taiwan dan dibawa meneroka restoran-restoran halal yang ada.

Ternyata, setibanya di Taipei yang juga merupakan ibu negeri Taiwan, carian di internet menunjukkan banyak lokasi restoran dan kemudahan mesra Muslim di kawasan sekitar.

Selain Ende Yuan Dumpling House, penulis turut dibawa mencuba mi kuning berkuah sup yang dihidang bersama potongan daging yang diperap dengan cuka di restoran Halal Beef Noodle Shop yang terletak di Ximen, Taipei.

Restoran tersebut merupakan salah sebuah restoran halal yang sudah pun wujud di Taipei sejak hampir 70 tahun lalu.

Antara restoran menarik yang kami kunjungi juga ialah Kaohsiung Teochew Halal Offal Restaurant yang turut menyajikan sup-sup Taiwan halal.

Menurut wakil Biro Pelancongan Taiwan, Zhi Qing, Taiwan sebenarnya merupakan destinasi percutian yang menarik untuk dikunjungi kerana selain menawarkan pemandangan menawan, ia juga menyediakan pelbagai kemudahan untuk orang Islam.

“Terdapat banyak restoran halal yang boleh dicuba oleh pelancong beragama Islam apabila mereka datang ke Taiwan.

“Di Taipei, terdapat 342 buah restoran halal dan hotel yang mesra Muslim dan jumlah tersebut adalah bersamaan dengan 44.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kemudahan mesra Muslim yang ada di negara tersebut,” ujarnya kepada K2.

Penyediaan restoran yang menyajikan makanan halal di Taiwan bukanlah satu perkara baharu, namun masih ramai pelancong yang kurang yakin untuk mengunjungi Taiwan.

Justeru, Qing berkata, pihaknya telah pun melancarkan kempen ‘Salam Taiwan’ pada awal tahun ini dan berharap untuk menyalurkan lebih banyak maklumat berkenaan seleksi restoran halal di situ.

“Kami telah pun melancarkan video promosi kempen ‘Salam Taiwan’ pada awal tahun ini dan menerusi langkah ini, kami berharap ia mampu menjadi daya penarik kepada orang ramai untuk datang ke sini dan meneroka kemudahan mesra Muslim yang disediakan,” jelasnya.

Pengusaha Taiwan turut menitikberatkan kebersihan dalam penyediaan makanan.

Bagi memberikan lebih banyak pilihan kepada pelancong, restoran halal yang disediakan pula tidak hanya tertumpu kepada makanan asli cita rasa Taiwan, tetapi turut meliputi restoran yang menyajikan masakan dari Turkiye dan juga Indonesia.

Antaranya termasuk masakan asli Turkiye di Restoran Anatolia dan juga restoran Lili Chen yang menyajikan juadah enak dan asli dari Indonesia.

Bagi penginapan pula, Taiwan menyediakan banyak kemudahan penginapan mesra Muslim dan ini boleh dilihat di hotel-hotel yang mengasingkan perkakas masakan seperti pinggan mangkuk, sudu dan juga garpu yang digunakan oleh orang Islam dan juga bukan Islam.

Malah, pihak hotel mesra Muslim di Taiwan turut menyediakan kemudahan seperti panduan arah kiblat, sejadah dan juga senaskhah al-Quran dalam setiap bilik, bagi memudahkan urusan ibadah pelancong Islam.

Faktor sedemikian pastinya menjadi satu tarikan yang membuatkan Taiwan sebagai destinasi pilihan untuk diteroka pelancong Muslim apabila berkunjung ke rantau Asia.

Pemandu pelancong di Taiwan, Cecilia Chen pula berkongsi bahawa pengusaha-pengusaha restoran di negara itu amat mementingkan kualiti dan mutu makanan yang disajikan.

Ujarnya, di bandar Taichung, pengusaha restoran cukup menitikberatkan rasa makanan dan akan memastikan sajian yang dijual itu menepati cita rasa pelanggan.

“Di Taichung, terdapat begitu banyak restoran yang menyajikan pelbagai jenis sajian, menjadikan pemilik restoran berdepan saingan yang sengit.

“Di sana, pemilik yang mahu mengusahakan restoran akan diberi masa selama tiga bulan yang dipanggil sebagai tempoh percubaan untuk melihat sama ada restoran tersebut mendapat sambutan atau pun tidak.

“Sekiranya restoran milik mereka gagal memikat selera pelanggan dalam tempoh tersebut, maka ia akan akan ditutup,” ujarnya.

Ini jelas menunjukkan bahawa pengusaha restoran di Taiwan komited dalam menyediakan sajian terbaik kepada penduduk tempatan dan juga pelancong.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN