TATKALA manusia mulai bersatu.
Kata Tuhan kepada sang virus, tugasmu sudah selesai.
Tinggalkan secuit saki-bakimu buat penentu.
Peringatan pedih agar manusia tidak lalai.
Itulah sebahagian untaian bait-bait puisi puitis bertajuk Kembali yang dideklamasikan oleh Pakar Perunding Anestesiologi Hospital Kuala Lumpur, Dr. Hana Hadzrami.
Dr. Hana memberitahu, puisi itu berkisar Covid-19 dan luahan para petugas kesihatan barisan hadapan (frontliners) sewaktu Covid-19 melanda negara.
“Apa yang menekan ialah persepsi buruk daripada masyarakat yang mengatakan frontliners hanya melakukan drama, Covid-19 hanya dicipta, vaksin difitnah dan apa yang Kementerian Kesihatan Malaysia lakukan semua salah,” katanya ketika ditemui K2.
Tambahnya, puisi tersebut adalah hasil karyanya sendiri dan beliau mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkannya bagi dideklamasikan kali pertama di hadapan orang ramai di Malam Puisi Kemanusiaan 2023.
Baru-baru ini seramai 24 orang pengamal perubatan kerajaan dan swasta mendendangkan puisi bagi meluahkan hati dan perasaan berkisar cabaran diharungi sepanjang perjuangan menentang Covid-19 serta lain-lain isu kesihatan pada majlis tersebut yang berlangsung di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Malam puisi tersebut disertai oleh petugas kesihatan kerajaan dan swasta termasuk pakar bedah otak, pakar perubatan kecemasan dan trauma, pakar bedah, pakar sakit puan, pakar forensik, penolong pegawai perubatan dan jururawat.
Program itu ditonton oleh kira-kira 70 petugas kesihatan dan orang awam.

–SHIDDIEQIIN ZON
Bertemakan Bangkit dari Jatuh, ia satu manifestasi bahawa semua petugas terus mengumpul semangat dalam memberikan khidmat dan bakti kepada setiap lapisan masyarakat.
Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi di KPJ Damansara, Prof. Dr. Imelda Balchin juga mengambil bahagian mendeklamasikan puisi pada majlis tersebut.
Beliau menyampaikan puisi bertajuk Keguguran: Bangkit Dari Jatuh.
Dalam puisi itu, beliau meluahkan apa yang wanita rasa apabila berhadapan dengan keguguran.
“Sepanjang hidup saya tidak pernah membaca puisi dan menulis puisi, tetapi saya cuba untuk menulis puisi sendiri sempena majlis ini.
“Kalau kita tidak pernah mencuba, kita tidak tahu bahawa kita boleh melakukannya,” katanya sebelum mendeklamasikan puisi tersebut.
Sementara itu, Pengerusi Jawatan Penganjur, Datuk Dr. Alzamani Mohammed Idrose berkata, malam puisi tersebut menjadi pentas untuk pengamal perubatan memberikan ekspresi emosi sebagai terapi buat semua.
Menurutnya, kecerdasan minda (IQ) boleh membawa kita pergi tinggi, tetapi untuk pergi jauh kita memerlukan kecerdasan emosi (EQ).
“Malam Puisi ini adalah aktiviti EQ untuk semua meneroka dan melepaskan semua emosi kerana pengamal perubatan mendepani hal-hal kemanusiaan setiap hari dalam memberi perawatan.
“Emosi adalah satu kuasa yang besar dan malam ini, puisi juga menjadi terapi kerana doktor juga boleh ‘sakit’,” katanya.

Jelasnya, tujuan malam puisi itu diadakan sebagai terapi hati dan minda setelah mengharungi tahun-tahun yang penuh dengan dugaan terhadap kemanusiaan daripada bencana pandemik hinggalah bencana alam.
“Ia juga menjadi manifestasi semua emosi yang terkurung sekian lama dalam mendepani semua ribut perasaan dari ketakutan dan menjadi ekspresi untuk harapan bagi hidup yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya.
Alzamani memberitahu, petugas kesihatan sentiasa berhadapan dan menangani isu tentang kemanusiaan, namun mereka tidak pernah dipanggil untuk meluahkan atau memberi satu ekspresi.
“Apabila berhadapan dengan isu kemanusiaan, ia sentiasa akan bermain dengan emosi
“Oleh itu majlis ini menjadi platform untuk mereka melepaskan emosi dan rasa,” terangnya.
Malah, katanya, kebanyakan puisi yang dideklamasikan ini ditulis sendiri oleh para petugas kesihatan tersebut.
Selain itu, acara juga disertai oleh pakar-pakar perubatan antarabangsa melalui platform Zoom.
Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Asmayani Khalid berkata, pada majlis itu para pemuisi ‘membentangkan’ rasa hati bagi tahun yang teramat besar cabarannya kepada kita.
“Tahun 2022 menyaksikan kita telah bergelut untuk menangani Covid-19 dan hingga kini, 5.04 juta mendapat jangkitan Covid-19, manakala 36,940 rakyat Malaysia tersungkur dan maut akibatnya.
“Setelah bertarung dengan varian-varian seperti Delta dan Omicron, varian-varian baharu terus muncul dan risikonya masih ada di luar sana,” katanya sewaktu berucap merasmikan majlis tersebut.
Tambahnya, semua pihak harus terus memantau dan mengamalkan langkah-langkah perlindungan dengan mengambil vaksin penggalak.

Asmayani menambah, kita kini di fasa peralihan endemik dan pada ketika ini kes-kes kronik melimpahi hospital-hospital di seluruh negara.
Dalam masa yang sama, berlaku bencana seperti banjir dan tanah runtuh termasuk indisen di Batang Kali, Selangor pada tahun lalu yang melibatkan 31 kematian.
“Dalam keadaan semua ini melanda, petugas-petugas kesihatan di seluruh negara berkhidmat sesungguh hati.
“Sebelum, semasa dan selepas pandemik mereka tidak berganjak dan sentiasa ada untuk anda. Ibarat ribut yang berterusan melanda, mereka tetap ada untuk memberikan rawatan biarpun sukar. Semua bencana demi bencana kita perlu mendepaninya dengan sabar tanpa ada rasa putus asa,” ujarnya.
Asmayani berkata, di sebalik semua bencana yang melanda, kita juga dapat saksikan semangat kekitaan serta kesungguhan untuk membantu dan bersama mahu bangkit semula walau ramai yang ‘jatuh’ berulang kali.
“Malam Puisi Kemanusiaan ini menjadi wadah untuk kita semua memberikan harapan di sebalik semua kepayahan dan kesulitan.
“Semua orang pernah jatuh, tetapi yang paling penting adalah terus bangun dan bangkit setiap kali jatuh,” katanya.
Melalui puisi yang berkisar tentang kemanusiaan, ia menyalakan harapan untuk semua terus kukuh, bersatu hati dan mara dengan pencapaian dan kejayaan yang lebih tinggi pada tahun hadapan.














