PETALING JAYA – Penjualan pelbagai jenis jajan atau makanan ringan yang diimport seperti konjak jeli dan gula-gula viral perlu dikawal sebaiknya bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini terutama melibatkan kanak-kanak.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui mengakui, ramai pihak cuba mengambil kesempatan menjual makanan ringan berkenaan di media sosial ekoran permintaan tinggi daripada kanak-kanak.
Malah, kata mereka, anak-anak juga mudah terdedah kepada makanan itu memandangkan terdapat peniaga kecil yang berniaga di luar kawasan sekolah dan turut menjual makanan ringan tersebut.
Seorang suri rumah, Siti Hajar Ramli, 34, berkata, dia amat bimbang apabila peniaga-peniaga kecil di sekitar kawasan sekolah mahupun kedai runcit menjual gula-gula dari luar negara itu secara terbuka.
“Jika makanan ringan yang dibeli di pasar raya, kita tahu kebanyakannya ada mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dijual sebagai produk makanan.
“Apa yang membimbangkan mengenai makanan ringan dari luar negara ini, kita tidak tahu adakah kandungan di dalamnya selamat untuk dimakan. Sebagai ibu bapa kita boleh kawal dengan tidak membeli produk itu, tetapi kami tidak boleh kawal penjual-penjual di luar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Jelasnya, kerajaan juga perlu memperketatkan lagi syarat penjualan makanan dari luar negara yang terdapat di platform e-dagang bagi memastikan keselamatan produk tersebut.
Sementara itu, seorang pekerja swasta, Nurin Talib, 41, berkata, beliau sendiri pernah melalui detik-detik cemas apabila anaknya mengalami muntah-muntah serta cirit-birit selepas memakan gula-gula tersebut yang dibeli di sebuah kedai runcit. “Anak saya berusia sembilan tahun baru-baru ini secara tiba-tiba muntah-muntah, sakit perut dan cirit-birit yang teruk sehingga tidak bermaya,” katanya.














