PUTRAJAYA – Peningkatan kos sara hidup terutamanya di bandar-bandar besar sudah pastinya merunsingkan banyak pihak lebih-lebih lagi mereka yang berpendapatan rendah dan hanya bergantung kepada gaji setiap hujung bulan untuk meneruskan kehidupan.
Bank Dunia pada Disember tahun lalu turut memberi amaran tentang ancaman kemelesetan ekonomi global yang dijangka berlaku pada 2023 menerusi laporan tahunannya mengakibatkan banyak pihak mula mengambil langkah berjaga-jaga dan berjimat cermat.
Bagaimanapun, dalam usaha untuk mengawal perbelanjaan dan berbelanja dengan lebih bijak, timbul pula rungutan baharu daripada orang ramai yang mengaku terbeban peningkatan caj perkhidmatan penjagaan kanak-kanak di rumah transit.
Seorang penjawat awam, Ila, 35, mendakwa, berlaku peningkatan terhadap kadar caj perkhidmatan transit anaknya di sebuah tadika di Presint 9, di sini, bermula Januari lalu mengakibatkan dia kini perlu mengeluarkan lebih belanja untuk dua anaknya yang berusia 3 dan 8 tahun.
“Sebelum ini caj transit bagi anak yang bersekolah adalah sebanyak RM170 sebulan, bagaimanapun melalui mesyuarat ibu bapa dan pengasuh pada Disember lalu, pihak tadika berkenaan memaklumkan bahawa kadar tersebut dinaikkan sehingga RM30 menjadi RM200 sebulan.
“Ibu bapa dimaklumkan ia adalah susulan kenaikan kos bahan mentah untuk menyediakan makanan bagi anak-anak selain kos seperti gaji pengasuh, minyak kenderaan dan lain-lain,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menurut Ila, caj tersebut dikenakan bagi perkhidmatan mengambil anak dari sekolah untuk dibawa ke pusat transit, makan tengah hari dan petang serta pembelian bahan-bahan untuk aktiviti anak sepanjang berada di pusat berkenaan.
“Selain caj transit, yuran bulanan dan tahunan bagi anak saya yang berusia tiga tahun juga telah dinaikkan kepada RM540 sebulan dan RM1,450 tahunan berbanding RM490 sebulan dan RM974 setahun sebelum ini.
“Jika sebelum ini saya mengeluarkan sebanyak RM660 sebulan untuk dua orang anak, kini jumlah tersebut meningkat menjadi RM740 sebulan dan ia belum termasuk yuran tahunan anak yang berusia 3 tahun,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi penjawat awam, Wan Ahmad, 33, memaklumkan bahawa dia kini sedang mempertimbangkan untuk berhenti menggunakan perkhidmatan transit bagi anaknya yang berusia 9 tahun selepas merasakan kenaikan tersebut seperti menekan ibu bapa.
“Pihak tadika memaklumkan terpaksa menaikkan caj transit kerana peningkatan pelbagai kos dalam menguruskan anak-anak bermula tahun ini namun tidakkah mereka terfikir yang ibu bapa juga turut terkesan dengan kenaikan itu?
“Sebelum ini saya membayar sebanyak RM150 untuk caj transit anak, namun bermula Januari tahun ini kadar tersebut dinaikkan kepada RM200. Peningkatan RM50 sebulan secara mendadak ini saya rasakan tidak sepatutnya berlaku,” katanya.
Wan Ahmad berkata, dia dan isteri ada merancang untuk menghentikan perkhidmatan transit berkenaan dan mengambil sendiri anaknya daripada sekolah, namun tidak berani membiarkan anaknya tinggal seorang diri di rumah.
“Saya ada merancang untuk mengambil anak sendiri dari sekolah dan menghantar ke rumah, namun yang menjadi kebimbangan adalah untuk membiarkan dia seorang diri di rumah tanpa pemantauan orang dewasa sehingga petang kami pulang dari pejabat.
“Banyak kemungkinan yang boleh berlaku jadi kami tangguhkan dulu,” katanya.
Ujarnya, sesuatu perlu dilakukan pihak kerajaan bagi membantu ibu bapa yang seolah-olah ditekan pengusaha pusat jagaan kanak-kanak kerana mereka tiada pilihan selain menggunakan perkhidmatan tersebut.
“Kita faham alasan peningkatan kos yang dikenakan, namun pada masa sama sudah tentu ibu bapa juga mengalami perkara serupa, pelbagai benda yang perlu dibayar,” luah beliau. -KOSMO! ONLINE














