HASIL seni seperti lukisan telah sekian lama menjadi medium yang digunakan oleh seseorang untuk menceritakan tentang sesuatu.
Artis seni boleh mempersembahkan naratif melalui pelbagai cara, termasuk menggunakan satu siri imej yang mewakili detik dalam cerita atau dengan memilih momen utama bagi mewakili keseluruhan cerita.
Karya naratif lazimnya menggambarkan kisah-kisah sejarah, legenda atau kisah-kisah mitos yang terkenal.
Bagi peminat karya-karya seni berbentuk naratif, mereka pastinya pernah mendengar nama Shaq Koyok yang merupakan seorang pelukis Orang Asli di negara ini yang cukup terkenal dengan karya-karyanya yang berbentuk penceritaan.
Bahkan, populariti diri dan nama lelaki ini sehingga tercatat dalam buku teks sekolah subjek Pendidikan Seni Visual Tingkatan 5.
Pemilik nama penuh Shahar a/l Koyok itu yang merupakan suku kaum Orang Asli Temuan adalah seorang aktivis yang begitu aktif memperjuangkan isu-isu berkaitan Orang Asli di negara ini, yang baginya tidak mendapat perhatian meluas.
“Terdapat banyak isu dan juga kisah Orang Asli yang jarang diperkatakan kepada umum, memandangkan Orang Asli bukanlah kaum dominan di negara ini.
“Oleh sebab itu, ia jarang dibicarakan atau pun diperkatakan oleh masyarakat Malaysia,” ujarnya yang berasal dari Kampung Orang Asli Pulau Kempas, Banting, Selangor kepada K2.
Kongsi lelaki yang lebih mesra disapa sebagai Shaq itu, dia mula mengenali seni lukisan ketika berusia lima tahun selepas melihat peralatan lukisan yang dibawa pulang oleh abangnya, Ramlan dari sekolah.
“Apabila pulang dari sekolah, abang akan membawa pulang alat-alatan lukisannya.
“Dia kemudian akan melukis di hadapan saya dan daripada situ timbul minat terhadap melukis.
“Abang juga merupakan individu yang mengajar saya untuk melukis, sehinggalah menjadi kerjaya saya kini,” ujar Shaq, 37.

Shaq kemudiannya menyambung pengajian dalam bidang seni halus di Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan memulakan kerjaya sebagai seorang pelukis.
Akui Shaq, membesar sebagai Orang Asli di Malaysia, dia melihat sendiri bagaimana cabaran kehilangan tempat tinggal apabila hutan berhampiran kampung kelahirannya menjadi mangsa aktiviti perlombongan.
Selain itu, cabaran lain yang dihadapi Shaq adalah semasa bersekolah, dia sering menjadi mangsa buli.
“Ketika di bangku sekolah menengah, saya dan beberapa rakan lain yang juga merupakan suku kaum Orang Asli menjadi mangsa buli di sekolah, mungkin kerana kami dianggap berbeza,” ujarnya.
Lantaran itu, Shaq menggunakan lukisan sebagai medium menterjemah kemelut dan juga isu-isu yang dihadapi Orang Asli antaranya termasuk kehilangan tempat tinggal.
Malah, lukisan pertama yang dihasilkannya adalah bertajuk Burnt, yang dihasilkannya ketika berusia sembilan tahun.
Lukisan tersebut merujuk kepada sebuah hutan berhampiran kampung kelahirannya yang terbakar.
Menariknya, kertas lukisan bukanlah satu-satunya kanvas yang digunakan lelaki berusia 37 tahun itu untuk melukis kerana Shaq turut menterjemahkan lukisannya di atas tikar mengkuang yang cukup sinonim dengan Orang Asli.
“Saya dibesarkan dalam keadaan serba kekurangan dan semasa kecil, ibu akan menganyam tikar mengkuang yang dijadikan sebagai alas tempat tidur kami.
“Bagi saya, tikar mengkuang mempunyai kualiti yang unik dan ia mewakili identiti Orang Asli dan juga juga penduduk Malaysia,” ujarnya.

Shaq terkenal dalam menerapkan elemen Orang Asli dalam komposisi gaya catan kontemporari.
Antara karyanya ialah Age of Tomorrow yang menggunakan media akrilik di atas kanvas, selain karya menggunakan akrilik di atas tikar mengkuang iaitu Embrace, Mah Meri Dancer dan Red Tape.
Pada 2017, Shaq menjadi salah seorang penerima Geran Anugerah Merdeka yang membolehkan dia menjadi suara masyarakat Orang Asli dengan melakukan lebih banyak kempen memperjuangkan hak Orang Asli melalui seninya.
Shaq diangkat sebagai pelukis signifikan bagi Orang Asli memandangkan hasil lukisannya sarat berkisarkan kisah Orang Asli, yang seterusnya menjadi suara bagi kelompok itu.
Malah, Shaq juga pernah mengadakan pameran solo bukan sahaja dalam negara, tetapi juga di Australia, Britain dan juga Amerika Syarikat.
Biarpun sudah menempa nama di peringkat dunia, Shaq mengakui kerjaya sebagai seorang pelukis di Malaysia sebenarnya cukup mencabar, memandangkan artis seni tidak cukup diangkat atau dianggap penting.
“Jika dinilai, industri seni di Malaysia adalah lebih kecil berbanding di negara-negara luar yang mana seni tidak begitu dianggap sebagai satu kerjaya penting di negara ini.
“Malah, ada sekolah-sekolah di negara ini yang menggunakan subjek seni sebagai bentuk hukuman dengan mengatakan bahawa jika mereka tidak mendapat keputusan yang cemerlang, mereka hanya akan diterima masuk ke kursus-kursus seni di universiti,” ujarnya.
Shaq bagaimanapun tidak membiarkan tanggapan orang menenggelamkan semangatnya untuk terus berkarya.
“Saya berharap untuk menghasilkan lebih banyak lagi karya seni yang berkisar penebangan hutan dan isu hak tanah Orang Asli,” ujarnya.
Baginya, seni telah mengubah hidupnya dari segi mental dan fizikal, serta mendorongnya untuk keluar dari zon selesa. Seni juga merupakan ruang terbaik kepada Shaq untuk mengembara dan membincangkan isu-isu berkaitan komunitinya.
“Seni juga merupakan medium komunikasi terbaik untuk sesebuah komuniti, kerana ia membolehkan Orang Asli menterjemahkan buah fikiran dan juga emosi mereka dengan lebih baik, apatah lagi bagi mereka yang tidak berpeluang menyuarakan isu dihadapi kerana masalah keciciran pendidikan dan juga kurang keyakinan diri untuk bercakap di khalayak ramai,” jelasnya.














