KULAI – Seorang pemandu mabuk ditahan polis selepas terlibat dalam satu kemalangan maut membabitkan seorang penunggang motosikal di Jalan Parit Panjang, Kulai, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek yang berusia 31 tahun itu ditahan selepas kejadian berkenaan.
Menurut beliau, ujian pernafasan yang dijalankan terhadap suspek mendapati dia positif alkohol.
“Suspek yang memandu sebuah lori dalam keadaan mabuk telah terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 48 tahun di Jalan Parit Panjang, Kulai, pada pukul 5.15 petang, kelmarin.
“Mangsa yang cedera parah di bahagian badan dan kepala maut di tempat kejadian, manakala suspek tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Beng Yeow, suspek telah dikenakan tahanan reman selama empat hari bermula semalam.
“Manakala kenderaan dipandu suspek akan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom),” jelasnya.-KOSMO! ONLINE














