SEBERANG PERAI – “Saya terjaga daripada tidur apabila mendengar bunyi hon kenderaan bertalu-talu disusuli dengan jeritan di bawah rumah yang memaklumkan parkir motosikal terbakar”.
Demikian menurut Mohd. Azmie Azman,36, salah seorang pemilik tiga daripada 15 motosikal yang musnah dalam kebakaran di Flat B4, Seberang Jaya, di sini pagi tadi.
Mohd. Azmie yang bekerja sebagai pemandu kren berkata, dia bersama-sama jiran lain bergegas turun ke kawasan parkir namun ketiga-tiga motosikal miliknya gagal diselamatkan kerana api marak dengan pantas.
“Ketiga-tiga motosikal jenis Yamaha Ego, Yamaha Y15 dan Yamaha Lagenda digunakan oleh saya, isteri dan adik untuk ke tempat kerja dan menghantar anak ke sekolah.
“Saya pun runsing memikirkan sama ada boleh membuat tuntutan insuran memandangkan kerugian yang ditanggung mencecah RM20,000 dan inilah pertama, namun kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk jalankan siasatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Selain itu, Abdul Jamil Mat Isa,62, pula berkata, motosikal miliknya juga gagal diselamatkan dalam kebakaran terbabit.
“Kebanyakan motosikal yang musnah diletakkan bersebelahan stor dan kita pun tidak tahu punca kebakaran.
“Sebelum ini, kalau setakat kes kecil-kecilan seperti curi alat ganti motosikal tu sudah biasa berlaku tapi kejadian hari ini memang mengejutkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














