fbpx

Laluan pejalan kaki LRT Kampung Baru dihalang motosikal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Laluan pejalan kaki LRT Kampung Baru yang dihalang motosikal.

PETALING JAYA – Sekeping gambar memaparkan keadaan laluan pejalan kaki di stesen perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Kampung Baru dijadikan tempat meletak motosikal tular di media sosial hari ini.

Gambar itu difahamkan dimuat naik oleh seorang pengguna Facebook dikenali sebagai Lisa Ahmad yang mengeluh kerana keadaan itu menyukarkan pengguna kerusi roda sepertinya.

“Laluan pejalan kaki di LRT Kampung Baru. Susah kami yang berkerusi roda ini nak lalu lorong ini. Dah lah sekarang selalu hujan,” tulisnya di ruang kapsyen.

Tinjauan di ruang komen mendapati, rata-rata pengguna mengecam tindakan penunggang motosikal yang dianggap tidak bertanggungjawab meletakkan kenderaan mereka di situ sehingga menyusahkan orang lain.

“Mentaliti kelas ketiga, bila ditegur dimakinya kita balik. Kebanyakan penunggang motosikal memang pentingkan diri sendiri, ruang pejalan kaki pun mereka ceroboh lepas itu bunyikan hon suruh pejalan kaki ke tepi sebab mereka nak lalu,” kata Lina.

“Perangai begini memang susahkan orang lain, langsung tak fikir pasal pejalan kaki,” kata Isa.

“Macam mana nak jadi negara maju kalau minda rakyatnya masih kuno. Dah terang-terang lorong pejalan kaki, macam mana boleh terfikir nak letak motosikal di situ?,” soal Ismail.

Dalam pada itu juga, beberapa pengguna menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang menyalahgunakan kemudahan awam.

“Selagi penguatkuasaan lemah, jangan harap ada yang ikut peraturan. Penguatkuasaan dan tindakan perlu dibuat supaya orang ramai lebih berdisiplin,” kata Hadie.

“Bukan dekat LRT ini saja, kebanyakan tempat pun ramai halang tempat pejalan kaki. Harap pihak berkuasa lebih tegas, kasihan pejalan kaki terutama sekali yang berkerusi roda,” kata Liz.

Sehingga kini, hantaran itu mendapat lebih 2,000 tanda suka dan mendapat lebih 700 komen. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI