SHAH ALAM – Seorang bekas pengurus kewangan syarikat peralatan muzik didakwa di dua mahkamah berasingan di sini atas pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM28juta antara tahun 2018 dan 2020.
Tertuduh, Foo Yong Xian,35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas 22 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir dan Hakim Norazlin Othman.
Yong Xian yang masih bujang didakwa 10 pertuduhan menerima dan melupuskan berjumlah RM9.6juta di hadapan Muhamad Anas.
Dalam prosiding di hadapan Norazalin, lelaki itu yang kini tidak bekerja turut didakwa 12 lagi pertuduhan pindah dan melupuskan wang berjumlah RM18.4juta.
Kesemua perbuatan itu dilakukan menerusi cek dan pemindahan dalam talian akaun milik syarikat peralatan muzik ke dalam akaun miliknya dan beberapa akaun syarikat lain.
Kesalahan dilakukan di dua buah cawangan bank di Bangsar dan Bandar Puteri Puchong pada Febuari 2018 hingga Disember 2020.
Dia didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001.
Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5juta.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zulfadli Mohd. Nawawi manakala tertuduh diwakili Peguam Tuw Min Ric.
Kedua-dua mahkamah membenarkan jaminan keseluruhan RM154,000 bersama dua penjamin dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Sebutan semula kes yang dibenarkan dipindahkan untuk dibicara di hadapan Norazlin pada 22 Mac ini. – KOSMO!ONLINE














