fbpx
PISAHKAN antara azan dan iqamat dengan tempoh tertentu untuk memberi kesempatan kepada jemaah membuat persediaan sebelum mendirikan solat. – Gambar hiasan

Tunggu jemaah atau terus iqamat?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Saya ingin bertanya berkenaan keutamaan mempercepatkan iqamat dan solat terutama waktu Maghrib
Imam masjid telah mengarahkan pintu masjid ditutup apabila masuk azan sedangkan ramai lagi jemaah yang baru tiba untuk menyahut seruan azan tersebut. Soalan saya yang mana lebih afdal, tunggu jemaah tiba lebih ramai atau segera iqamat dan dirikan solat?

Jawapan:
Azan dan iqamat merupakan salah satu daripada syiar-syiar Islam.

Ia bertujuan menyeru dan memaklumkan kepada seluruh manusia bahawa telah masuk waktu solat serta bersiap sedia untuk menunaikannya.

Perbuatan ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Malik bin al-Huwairith RA sabda Nabi SAW: “Apabila telah masuk waktu solat, maka hendaklah salah seorang dari kalian melaungkan azan.”

Berbalik kepada persoalan yang diajukan di atas, para fuqaha’ berpendapat bahawa disunatkan untuk memberi ruang masa di antara waktu azan dan iqamat dengan tempoh tertentu.

Ia bagi membolehkan orang ramai sempat membuat persediaan untuk melakukan solat. Ini berdasarkan daripada hadis diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah RA bahawa Nabi SAW bersabda kepada Bilal RA:

“Dan jadikanlah di antara azan dan iqamat kamu satu tempoh masa, supaya seseorang yang sedang makan dapat menyelesaikan makanannya, dan seorang yang sedang minum dapat menghabiskan minumannya, dan seseorang yang memerlukan masa untuk menunaikan hajatnya, dan janganlah kamu berdiri sehingga kamu melihat aku.”

Imam Khatib al-Syirbini di dalam kitabnya menyebutkan: “Dan disunatkan Muazin dan Imam untuk memisahkan di antara waktu azan dan iqamat dengan kadar kesempatan waktu untuk manusia berhimpun di tempat melakukan solat dengan kadar menunaikan solat sunat yang dilakukan sebelum menunaikan solat fardu.

“Dan memisahkan di antara keduanya (azan dan iqamat) pada waktu solat Maghrib dengan berhenti sebentar seperti duduk sebentar kerana tempoh waktunya yang singkat, dan bertujuan untuk menghimpunkan orang ramai sebelum mengerjakan solat Maghrib mengikut tempoh secara adat.

“Dan mengikut apa yang tepat di sisi pengarang sesungguhnya pada waktu solat Maghrib terdapat solat sunat sebelumnya maka tempoh yang memisahkannya dengan sekadar menunaikan solat sunat itu juga.” (Lihat Mughni al-Muhtaj, jld.1, hlm.325)

Kesimpulannya, berdasarkan kepada nas yang diberikan dan persoalan yang diajukan, maka kami berpandangan bahawa adalah sunat dan lebih afdal untuk memisahkan antara azan serta iqamat dengan tempoh waktu tertentu.

Ia mengikut keperluan walaupun sekadar menunaikan solat sunat qabliyah sebelum solat fardu khususnya pada waktu Maghrib.

Malah, makruh sekiranya terus diiqamatkan selepas melaungkan azan tanpa memberi sedikit masa selepas azan.
Ini bertujuan meraikan waktu yang disunatkan seperti disebutkan di dalam hadis di atas.

Ia juga dapat memberi kesempatan kepada para jemaah membuat persediaan sebelum mendirikan solat seperti berwuduk dan sebagainya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN