fbpx
ABDUL KADIR menasihati orang ramai supaya tidak melakukan sebarang provokasi kepada gajah.

Fahami punca gajah ‘turun minyak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ISU pencerobohan gajah liar di kawasan penempatan manusia kerap dilaporkan media sejak kebelakangan ini. Dalam bulan ini saja, dua kejadian pencerobohan gajah liar berlaku iaitu di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke dan Felda Aring, Kelantan. Kemunculan gajah liar itu bukan sahaja memusnahkan tanaman penduduk, malah nyawa mereka juga terancam.

Bagi mengupas isu pencerobohan gajah liar itu, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI menemu bual Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Menurut dapatan Perhilitan yang terkini, berapakah jumlah populasi gajah yang masih ada di negara ini?
ABDUL KADIR: Anggaran populasi gajah di Semenanjung Malaysia adalah antara 1,220 hingga 1,680 ekor, manakala populasi di Sabah dianggarkan 1,000 hingga 1,500 ekor dan tiada populasi gajah di Sarawak.

Berdasarkan perbandingan rekod tahun 90-an yang dibuat, kami dapati terdapat peningkatan kira-kira 20 peratus populasi gajah di Semenanjung Malaysia.
Ini disebabkan beberapa faktor seperti penggunaan teknik yang berbeza bagi membuat anggaran populasi gajah. Pada masa lalu, anggaran dibuat menggunakan kaedah pemerhatian terus atau mengira berdasarkan tapak.

Berbanding dengan kaedah sekarang yang menggunakan pelbagai teknik seperti dung-count survey, perangkap kamera serta kajian Ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Penggunaan dron dalam memantau gajah juga dapat membantu pihak Perhilitan membuat anggaran populasi dengan lebih tepat.

Selain itu, pembukaan kawasan berhutan telah ‘mendedahkan’ keberadaan populasi gajah yang dahulunya tidak dikesan dan direkodkan.

Boleh Datuk ceritakan serba ringkas mengenai spesies dan ciri-ciri gajah di negara ini?
Di Malaysia hanya terdapat satu spesies iaitu gajah Asia atau nama saintifiknya, Elephas maximus yang terdiri daripada dua subspesies iaitu Elephas maximus indicus di Semenanjung dan Elephas maximus borneensis (dikenali sebagai gajah pygmy) di Sabah.

Perbezaan kedua-dua subspesies ini adalah berdasarkan kajian DNA yang dijalankan oleh pakar saintis, selain daripada bentuk morfologi gajah pygmy lebih kecil berbanding dengan gajah di Semenanjung.

Gajah di Semenanjung bertaburan di sekitar habitat yang dikenali sebagai Managed Elephant Ranges (MERs). Ia merangkumi tiga landskap yang utama iaitu Kompleks Hutan Belum-Temengor,

Kompleks Hutan Taman Negara dan Kompleks Hutan Endau-Rompin. MERs juga merangkumi enam buah negeri iaitu Kedah, Perak, Pahang, Kelantan, Terengganu dan Johor.

Sementara taburan gajah pygmy bertaburan di tiga MERs iaitu Lower Kinabatangan, Tabin dan Tengah Sabah.

Sejak kebelakangan ini, semakin banyak kejadian gajah menceroboh kawasan penduduk. Apakah punca utama gajah-gajah ini keluar dari habitat asalnya?
Antara faktor-faktornya adalah kehilangan dan fragmentasi (terpisah-pisah) habitat disebabkan perubahan atau pembangunan guna tanah seperti aktiviti perladangan, pembukaan kawasan perlombongan, pembinaan empangan hidroelektrik, dan pembinaan infrastruktur pengangkutan linear.

Keadaan ini telah menyebabkan berlakunya kekurangan sumber makanan kepada gajah yang mendorong berlakunya konflik dengan manusia.

Konflik berlaku apabila gajah cuba mencari dan mendapatkan sumber makanan di kawasan pertanian terutamanya yang berhampiran habitatnya.

Seekor gajah dewasa secara puratanya memerlukan makanan sebanyak 200 kilogram dan 200 liter air sehari untuk hidup. Kawasan keliaran gajah yang luas juga menyebabkan berlakunya konflik manusia-gajah apabila habitatnya telah fragmentasi.

SEPANJANG tahun lalu, sebanyak 41 ekor gajah telah berjaya ditangkap dan dipindahkan oleh pihak Perhilitan.
– Gambar hiasan

Baru-baru ini, media melaporkan kes seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dipijak gajah sehingga mati di Pos Sinderut, Lipis, Pahang. Ia mengulangi kejadian pada 7 Disember lalu apabila seorang wanita mati dipijak gajah di Simoi Baharu. Boleh Datuk ulas mengenai kedua-dua kejadian ini?
Kejadian ini melibatkan situasi yang berbeza. Kes melibatkan kematian seorang wanita dipijak gajah di Kampung Orang Asli Simoi Baharu, (Lipis, Pahang) adalah disebabkan keadaan panik yang berlaku apabila sekumpulan gajah datang menghampiri rumah mangsa sekitar pukul 4 pagi.

Cubaan menyelamatkan diri dalam keadaan panik dan suasana gelap telah menyebabkan mangsa bertembung dengan gajah yang kebetulan berada di luar rumah mangsa sebelum dipijak mati.

Siasatan lanjut mendapati rumah mangsa didirikan jauh dari kelompok rumah-rumah penduduk lain serta menjadi laluan gajah.

Kesan najis gajah lama serta kesan bakaran tayar membuktikan bahawa kawasan tersebut merupakan laluan gajah di situ.

Berbanding dengan kes di Pos Sinderut, siasatan mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 12 tengah hari apabila mangsa bersama tiga rakannya mengekori laluan gajah di dalam hutan untuk mengambil gambar.

Kemalangan berlaku disebabkan serangan selepas gajah yang sedang berehat terkejut dengan kehadiran mangsa dan rakan-rakannya.

Kemalangan itu mungkin dapat dielakkan jika gajah berkenaan tidak terkejut atau terancam disebabkan kehadiran manusia.

Apakah sebab haiwan ini boleh ‘naik minyak’ sehingga mengorbankan nyawa manusia? Adakah sifat gajah itu sendiri yang mampu bertindak ganas apabila diancam? Minta penjelasan?
Istilah sebenarnya adalah gajah turun minyak atau musth. Ia boleh mendatangkan bahaya kepada penjaganya atau gajah lain.

Pada masa ini, ia akan bertindak agresif dan berkeinginan tinggi untuk mengawan.

Jika di pusat konservasi, gajah yang sedang turun minyak akan diasingkan daripada kumpulan gajah lain dan jumlah makanannya pula dikurangkan.

Ini bagi mengurangkan tenaganya untuk bertindak agresif.

Tempoh turun minyak biasanya dalam beberapa minggu hingga tiga bulan.

Dalam tempoh ini, bahagian temporal gland membengkak dan akan mengeluarkan cecair yang berbau kuat serta kaya dengan testosterone.

Gajah jantan akan turun minyak pada setiap tahun bermula pada usia 10 tahun dan akan mencapai tahap paling aktif semasa berusia 30 hingga 40 tahun. Ia mula menurun apabila mencapai umur 50 tahun dan ke atas.

Apakah usaha dilakukan oleh pihak Perhilitan bagi memastikan kejadian serupa tidak berlaku lagi?

Bagi memastikan kejadian seumpama ini daripada berlaku, pihak Perhilitan telah dan akan mengambil beberapa langkah seperti menjalankan operasi pemantauan, kawalan dan tangkapan gajah.

Kami juga akan menjalankan program kesedaran keselamatan daripada gangguan gajah kepada masyarakat dengan mencadangkan kawasan penempatan selamat bagi masyarakat Orang Asli.

Pada masa sama, Perhilitan turut bekerjasama dengan agensi lain yang terlibat. Ia bagi mempromosi model pertanian yang sesuai dengan bentuk konflik hidupan liar di satu-satu kawasan.

Berapakah ekor gajah yang telah ditangkap dan dipindahkan bagi mengelak konflik dengan manusia? Boleh ceritakan kesukaran dihadapi Perhilitan bagi menangkap dan memindahkan gajah-gajah ini?
Sejumlah 132 ekor gajah telah ditangkap dan dipindahkan dari 2021 hingga 2022. Bagi tahun 2022 sahaja, terdapat 41 ekor gajah telah ditangkap dan dipindahkan meliputi Kelantan, Perak,

Pahang, Johor, Kedah, Terengganu dan Negeri Sembilan.

Mengenai cabaran dan kesukaran, anggota Perhilitan menghadapi pelbagai rintangan dalam menguruskan program tangkapan dan pemindahan gajah.

Antaranya, berhadapan risiko kecederaan atau kematian sekiranya gajah yang hendak ditangkap dan dipindahkan turun minyak serta menyerang anggota bertugas.

Anggota juga perlu menggunakan senjata api dengan berhati-hati sekiranya diperlukan dan mematuhi peraturan ketat bagi menjamin keselamatan anggota dan gajah.

Lokasi tangkapan dan pemindahan gajah yang melibatkan kawasan hutan, penempatan penduduk, ladang serta kebun akan menyukarkan pergerakan anggota. Ia juga memerlukan kesabaran dan kemahiran tinggi dalam menguruskan operasi tangkapan dan pemindahan gajah.

Negara mempunyai beberapa pusat konservasi gajah. Apakah tujuan utama pusat ini? Adakah ia perlu ditambah bagi menempatkan haiwan tersebut?
Buat masa ini terdapat tiga pusat konservasi gajah di Semenanjung Malaysia di bawah seliaan Perhilitan.

Tujuan utama pusat ini adalah bagi menempatkan gajah-gajah denak milik jabatan yang digunakan untuk operasi tangkap pindah gajah.

Selain itu, ia berfungsi sebagai pusat rawatan dan latihan bagi gajah-gajah yang tercedera atau diselamatkan. Bagi pusat konservasi di Lanchang, Pahang, ia juga berperanan sebagai pusat tarikan pelancongan.

Sebenarnya, apakah yang perlu dilakukan oleh orang ramai apabila melihat gajah berkeliaran di kawasan kediaman mereka?
Apabila orang ramai melihat gajah berkeliaran di kawasan kediaman, langkah yang terbaik adalah dengan menghindari dan tidak cuba memprovokasi gajah tersebut.

Dinasihatkan agar orang ramai tidak bertindak sendiri atau menjadi ‘hero’ dengan berlagak berani cuba menghampiri gajah itu.

Gajah tidak akan menyerang manusia jika tidak diganggu atau rasa diancam. Jika cuba untuk mengambil gambar elakkan menggunakan flash kerana akan menarik perhatian gajah yang mungkin akan menyerang.

Beradalah pada jarak yang selamat dan terlindung dari pandangan gajah ketika merakam video atau gambar. Orang ramai juga boleh menghubungi talian hotline Perhilitan, 1-800-88-5151 atau hubungi pejabat Perhilitan terdekat.

Gajah-gajah di negara ini turut diburu oleh pemburu haram. Apakah faktor gajah ini diburu?
Tidak dinafikan berlakunya pemburuan haram gajah di negara ini untuk mendapatkan gading.

Bagaimanapun, pemburuan haram ini masih terkawal dengan beberapa sindiket pemburuan haram telah berjaya ditumpaskan sejak akhir-akhir ini.

Ini adalah kesan daripada aktiviti risikan yang dijalankan Perhilitan dengan kerjasama polis.

Kebiasaannya, pemburu akan menggunakan senjata api buatan sendiri atau diseludup dari negara jiran. Bagi kes-kes melibatkan senjata api, pelaku akan dirujuk kepada pihak polis untuk didakwa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN