Apakah hukum membaca Al-Fatihah kepada si mati? Ada yang dapati bahawa perbuatan ini adalah bidaah dan tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW sendiri dan dalam kalangan para sahabat juga. Walaupun begitu, rata-rata rakyat Malaysia melakukan perkara ini apabila seseorang meninggal dunia.
Jawapan: Amalan membaca Al-Fatihah kepada si mati telah menjadi kebiasaan bagi orang Islam sama ada di Malaysia atau di negara-negara lain.
Setiap amal ibadah haruslah berpandukan daripada al-Quran dan sunnah.
Terdapat banyak nas yang menjadi sandaran terhadap amalan ini, antaranya adalah hadis yang diriwayatkan Ibnu Umar, beliau mendengar bahawa Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: “Jika di antara kalian ada yang meninggal, maka janganlah diakhirkan, segeralah dikebumikan. Dan hendaklah di dekat kepalanya dibacakan pembukaan al-Quran (Surat Al-Fatihah) dan dekat kakinya dengan penutup surat al-Baqarah di kuburnya.” (Riwayat Al-Thabrani dalam Al-Kabir, 13613)
Hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Majah dalam bab berkaitan bacaan yang dibacakan ke atas jenazah daripadah Ummu Syarik RA bahawasanya beliau berkata:
Maksudnya: Rasulullah SAW memerintahkan kami supaya membacakan ke atas jenazah dengan surah Al-Fatihah. (Sunan Ibn Majah, 1496)
Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud daripada Talhah Ibn ‘Abdullah, bahawa beliau RA berkata:
Maksudnya: Aku telah bersembahyang di belakang Ibn ‘Abbas ke atas seorang jenazah, lalu beliau RA membacakan surah Al-Fatihah.
Beliau RA berkata, “Supaya mereka tahu ini merupakan daripada sunnah.” (Sahih Al-Bukhari: 1335)
Amalan menghadiahkan bacaan al-Quran kepada si mati adalah antara amalan-amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Dan mana-mana orang Islam atau kumpulan dilarang membidaah atau menghina atau memperlekehkan amalan tersebut sama ada dengan perkataan, penulisan, perbuatan atau apa-apa tindakan yang membawa maksud yang seumpama dengannya.
Kesimpulannya, amalan membaca surah Al-Fatihah ke atas si mati bukanlah amalan bidaah kerana surah berkenaan adalah sebahagian daripada al-Quran dan setiap yang membaca dan mendengarnya akan diberi ganjaran.














