GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu berhubung kenaikan tambang baharu bagi perkhidmatan bas sekolah yang jumlahnya nanti akan menambahkan lagi bebanan golongan ibu bapa.
Pegawai Pendidiknya, N.V. Subbarow berkata, kenaikan tambang baharu sehingga mencecah RM300 sebulan sememangnya bersifat tidak masuk akal selain pengusaha syarikat terbabit dilihat cuba mengaut untung secara keterlaluan.
Menurutnya, dia juga ada menerima banyak rungutan daripada golongan ibu bapa berhubung nasib sama selain bimbang berlaku lagi susulan kenaikan beberapa barangan keperluan sekolah lain nanti.
“Hari ini (semalam), ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati dan terkejut dengan kenaikan tambang baharu perkhidmatan bas sekolah anak-anak mereka.
“Rata-rata ibu bapa mula resah memikirkan apa lagi barang lain yang akan naik selepas tambang baharu diumumkan pengusaha syarikat bas sekolah.
“Mungkinkah harga beg sekolah pula akan dinaikkan, uniform sekolah atau buku dan peralatan menulis juga akan terkesan sama selepas ini,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Berita berkaitan: Ibu bapa mengamuk bayar tambang bas sekolah RM300
Semalam, ahkbar Kosmo! melaporkan golongan ibu bapa tidak berpuas hati apabila terdapat pengusaha perkhidmatan bas sekolah menaikkan lagi kadar tambang sehingga mencecah RM300 sebulan pada tahun depan bermula 3 Januari ini.
Jumlah tambang baharu itu dikatakan naik mendadak antara RM30 hingga RM40 daripada bayaran yang dikenakan pada tahun ini (2022).
Subbarow menambah, pihaknya meminta pihak berwajib mengambil peranan menyelesaikan segera perkara berkenaan sebelum sesi persekolahan di negeri ini bermula Selasa depan.
“Jangan sesekali beri laluan mudah kepada mereka (pengusaha bas sekolah) untuk menaikkan tambang dengan sesuka hati sehingga RM300. Nilai itu hampir menyamai kadar bayaran bulanan sebuah kereta Perodua Viva.
“Nilai RM300 untuk tambang seorang pelajar dan bagaimana pula sekiranya ibu bapa yang mempunyai tiga anak yang bersekolah di lokasi berhampiran.
“Pengusaha terbabit perlu ingat sama masalah yang dihadapi keluarga yang berpendapatan rendah dan terdesak untuk guna perkhidmatan bas sekolah untuk anak,” tambahnya.














