fbpx
FOTO Blue Marble yang ikonik dirakam oleh angkasawan-angkasawan NASA, Apollo 17 pada 7 Disember 1972.

Potret Bumi sambut ulang tahun ke-50

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PADA tanggal 7 Disember 1972, sekumpulan angkasawan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) berjaya mencatatkan sejarah besar yang menambah cinta manusia kepada Bumi.

Sejarah dunia yang berlangsung 50 tahun lalu itu menyaksikan para angkasawan berjaya merekodkan imej keseluruhan Bumi secara jelas.

Itulah kali pertama warga Bumi dapat menatap rupa penuh planet yang selama ini didiami.

Foto ikonik dikenali sebagai Blue Marble itu dirakam sendiri oleh tiga angkasawan, Eugene Gene Cernon, Ronald Evans dan Harrison Schmitt dengan kamera jenis Hasselblad dan kanta Zeiss pada jarak 45,000 kilometer dari Bumi ketika mereka dalam misi ke Bulan.

Blue Marble jelas memperlihat Bumi yang kelihatan bulat dilingkari warna hijau kebiruan, selain dapat dilihat awan-awan berarak melintasi benua Afrika serta lapisan ais Kutub Selatan di Antartika.

Para angkasawan bagaimanapun tidak mendedahkan siapa antara mereka yang sebenarnya membidik foto Blue Marble itu.

TIga angkasawan NASA misi Apollo 17 terdiri daripada Eugene Gene Cernon (duduk), Ronald Evans (kanan) dan Harrison Schmitt (kiri).

Memetik laporan Science Alert, salah seorang angkasawan yang terlibat dengan misi Apollo 17 itu mengakui, Blue Marble bukan mudah untuk dirakamkan seperti yang difikirkan.

“Untuk melihat Bumi sebagai bola dunia secara penuh yang mengambang di angkasa lepas, aspek pencahayaan perlu diambil kira dan menjadi keutamaan dalam fotografi.

“Matahari mesti berada tepat di belakang kamera,” katanya.

Pasukan dan kru Apollo 17 itu secara tidak langsung telah mengubah landskap dan sejarah fotografi dunia selain planet Bumi itu sendiri.

Hakikatnya, kru Apollo 17 yang bertugas langsung tidak merancang apatah lagi berhasrat untuk merakamkan imej ikonik tersebut dalam misi mereka.

“Semuanya berlaku secara tidak sengaja. Perkara tersebut (rakam imej) langsung tiada dalam perancangan.

“Tambahan pula, ia bukan komponen utama yang ada tertulis dalam misi rancangan kami,” ujar ahli Jabatan Sejarah NASA, Stephen Garber.

Pun begitu, sejak program Gemini diperkenalkan bermula tahun 1960, NASA dalam pelannya memastikan semua angkasawan mendapat latihan khusus dalam fotografi.

Jelas kurator Apollo di Muzium Udara dan Angkasa NASA, Teasel Muir, latihan fotografi tersebut diberikan kepada semua angkasawan mereka agar dapat merakamkan lebih banyak pengalaman berharga yang tidak akan dilalui di mana-mana tempat lain.

“Ia sebenarnya merupakan satu penghargaan dan bukan sekadar dilihat sebagai imej semata-mata.

“Sebaliknya, ia dilihat dari segi nilai estetika gambar itu sendiri. Tidak setakat sains, tetapi turut meliputi budaya dan beberapa aspek lain yang mendorong angkasawan untuk bawa kamera ke angkasa lepas,” katanya.

Detik bersejarah tersebut juga mengingatkan satu lagi peristiwa yang berlaku empat tahun sebelum imej Bumi penuh itu dirakamkan.

MISI Apollo 17 turut berjaya melakukan pendaratan di Bulan.

Menerusi misi pada tahun 1968, angkasawan Apollo 8 iaitu Frank Borman, Jim Lovell dan William Anders telah menjadi kumpulan angkasawan pertama yang berjaya merakamkan Bumi dari Bulan.

Imej yang berjaya dirakam Anders pada 24 Disember 1968 itu dikenali sebagai Earthrise atau Bumi Terbit.

“Kami datang berpuluh ribu kilometer jauhnya adalah untuk pergi dan meneroka Bulan, tetapi Bumi yang kami temui,” kata Anders ringkas.

Foto pertama Bumi Terbit atau Earthrise tersebut menjadi topik utama berita dan diterbitkan di setiap muka hadapan akhbar pada ketika itu.

Pelbagai jurnal dan penerbitan lain turut siarkan mengenai Earthrise dan sentiasa menjadi bualan.

Sebaliknya berlaku kepada Blue Marble empat tahun selepas itu. Walaupun ia satu penemuan hebat, tetapi media pada ketika itu tidak memberikan liputan besar.

Penemuan itu tidak mendapat liputan muka depan akhbar di seluruh dunia kerana terpaksa bersaing dengan pelbagai cerita sensasi lain yang berlaku serentak. Antaranya penglibatan Amerika Syarikat (AS) dalam perang Vietnam, berita kemangkatan bekas Presiden AS, Harry Truman dan penemuan mangsa nahas pesawat di Andes pada bulan sama yang jauh menenggelamkan kisah sejarah dari angkasa lepas itu.

Meskipun tidak mendapat liputan media secara besar-besaran seperti Earthrise apatah lagi mencipta sensasi, ia memainkan peranan penting dalam isu alam sekitar dunia.

Hal ini kerana, setiap kali Hari Bumi disambut pada 22 April, imej Blue Marble menjadi foto wajib yang digunakan bagi acara berkenaan alam sekitar sehingga ke hari ini.

Hari Bumi sebenarnya telah disambut warga Bumi sejak tahun 1970, tetapi sebelum ini sambutannya hanya memaparkan foto pencemaran alam atau hidupan liar terancam.

Misi Apollo 17 yang tiba ke Bulan dan menamatkan misi di Bulan secara tidak langsung turut menandakan berakhirnya penerokaan Bulan.

Ujar Muir, fokus NASA sejak itu beralih dan lebih bertanggungjawab dalam memberi tumpuan saintifik kepada penerokaan angkasa lepas secara lebih mendalam.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN