DOHA – Pengendali Portugal, Fernando Santos memberi bayangan akan menggunakan ‘formula’ yang sama bagi memastikan pasukan mencapai keputusan positif menjelang aksi suku akhir saingan Piala Dunia 2022 menentang Maghribi malam ini.
Sebagai rekod, Selecao berjaya mara ke kelompok lapan negara terbaik selepas menewaskan Switzerland 6-1 pada pusingan terdahulu, manakala Maghribi meneruskan momentum selaku ‘pembunuh gergasi’ dengan menyingkirkan Sepanyol menerusi penentuan penalti.
Lebih mengejutkan, Santos mengubah corak taktikal dengan meletakkan kapten pasukan, Cristiano Ronaldo di bangku simpanan, manakala penyerang muda berusia 21 tahun, Goncalo Ramos diberi peluang dalam kesebelasan utama.
Kata Santos, kemungkinan besar bekas pemain Manchester United berusia 37 tahun itu akan diturunkan pada pertemuan menentang Maghribi, tetapi masih belum diputuskan sama ada dalam kesebelasan utama ataupun skuad simpanan.
“Sudah pasti Ronaldo akan bersama dengan pasukan pada perlawanan suku akhir dan bukan dia seorang, malah semua pemain yang sebelum ini beraksi di bangku simpanan turut memiliki peranan yang sama.
“Saya mahu pemain bersedia sepenuhnya, tetapi mengenai kesebelasan utama, saya hanya akan putuskan pada hari perlawanan nanti.
“Secara keseluruhan, saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan Ronaldo kerana dia adalah salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman dan kapten pasukan kami,” katanya.
Sementara itu, Ronaldo menafikan bahawa dirinya menimbulkan konflik dalaman kem latihan pasukan itu dengan mengugut untuk pulang ke Portugal sekiranya tidak dibenarkan beraksi, sebaliknya mendakwa spekulasi tersebut hanya mahu memecahkan semangat membara pasukan ketika ini.
“Saya tidak tahu kenapa timbul isu tersebut kerana ini adalah pasukan yang cukup jitu dengan semangat kenegaraan yang tinggi. Spekulasi yang didakwa oleh pihak luar tidak akan memecahkan semangat kami untuk berikan yang terbaik di atas padang.
“Kami akan terus berjuang untuk merealisasikan impian negara dan penyokong perlu percaya dengan pasukan. Terus berjuang, Portugal,” kata Ronaldo menerusi ciapan Twitternya. – AGENSI